

Nor, Zamri, Zamzuri & saya
Semalam dikunjungi rakan-rakan lama untuk bertanya khabar sambil menikmati juadah hari raya yang masih berbaki beberapa hari lagi. Mereka sebenarnya asalnya adalah peminat rancangan yang pernah saya kendalikan sewaktu bertugas di Radio Satu iaitu Hitam Putih Kehidupan.
Sejajar dengan tajuknya, Hitam Putih Kehidupan atau HPK memaparkan kenangan pahit manis yang dialami pendengar untuk dikongsi bersama dan diambil iktibar.Seingat saya pelbagai kenangan hitam putih yang dipaparkan dalam program itu. Siarannya ialah awal pagi Ahad- 12.00 tgh mlam hingga 3.00 pagi.
Dari program itulah saya mengenali beberapa tokoh di negara kita antaranya pengasas Pengasih(pusat pemulihan penagih dadah) Tuan Haji Yunus Pathi. Beliau pernah saya jemput menjadi tetamu sambil bercerita tentang sejarah hidup beliu dan sejarah penubuhan Pengasih.
Dalam ramai peminat HPK terdapat beberapa penuntut dari Universiti Malaysia. Mereka adalah peminat setia HPK malah turut mengikuti perkembagan program tersebut termasuk perkembangan diri saya sendiri.
Mereka terdiri daripada empat pemuda yang sedang mengikuti pengajian di UM mengambil kursus bidang psikologi, pentadbiran dan undang-undang.
Mereka adalah Mohd. Nor Don, Zamzuri Ghani, Zamri Ishak, Faizal Che Yusof dan Mohd. Hafiz Halim. Kelima-lima mereka sebenarnya cacat penglihatan namun celik mata hati kerana mampu sampai ke menara gading.
Mereka sebenarnya mempunyai cerita tersendiri. Ada yang bukan buta asal tapi terjadi akibat insiden yang menimpa diri. Mohd. Nor misalnya mengalami buta setelah mengalami tragedi yang berpunca tidak mendapat seluar untuk dipakai pada hari raya. Akibat menangis seharian matanya mengalami kerosakan dan terpaksa melalui operasi. Namun takdir menentukan bahawa penglihatannya hanya sekadar itu dan dia harus menjalani baki usia dengan kehitaman tanpa cahaya. Terharu mendengarkan kisah pilu itu.
Sejak itu Mohd. Nor tridak dapat melihat, Namun hidup perlu diteruskan. Tidak harus menoleh ke belakang menangisi nasib berlalu. Yang lebih utama adalah untuk memastikan nasib akan datang perlu lebih menjamin masa depan.
Itulah secebis kisah rakan-rakan istimewa saya. Itu sebelas tahun lalu. Kini mereka sudah berjaya melepasi ujian besar dan berhasil memperoleh ganjaran sarjana muda. Malah perjuangan diteruskan.
Mohd. Nor dan zamzuri sudah memiliki sarjana dan khabar terbaru Zamzuri sedang bergelumang untuk mendapatkan PHDnya. Zamri bertugas di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bharu. Hafiz pula menjadi Pegawai Saikoligi di Dewan Bandaraya sementara Faizal kini di Kota Bharu bertugas dengan sebuah firma undang-undang sebagai peguam.
Ternyata buta bukan penghalang malah menjadi perangsang untuk membuktikan bahawa mereka juga boleh berjaya.
Sejak perkenalan itu saban tahun pada hari raya mereka akan berkunjung ke rumah. Saban tahun jugalah saya memimpin tangan mereka, tangan insan yang punya kehebatan, tangan yang ikhlas meneroka ilmu milik Tuhan, insan yang ada kalanya lebih mulia daripada kita yang celik ini.
1 comment:
teringat citer yg hj citer pasal member istimew ni..mmg kuat semangat...
Post a Comment