Sunday, October 26, 2008

Kembara Sufi (i)




Malam Sabtu- sempat ke Mesjid Kampung Cheng. Terserempak dengan kuliah Tuan Guru Ustaz Baharum.

Sebelum solat Isyak, diadakan majlis ringkas memberi saguhati kepada bakal jemaah haji. Tuan Guru sempat juga memberi tazkirah tentang ibadah haji. Menurut beliau dua perkara yang menjadi pra syarat sebelum seseorang itu dijemput menjadi tetamu Allah- ketaqwaan dan perbelanjaan yang cukup.

Sekiranya kedua-dua ini telah dipenuhi beerti mereka telah benar-benar bersedia melakukan kembara ke Baitullah.

Mewakili bakal jemaah haji memberi ucapan ringkas adalah Tok Sidang Jaafar. Dengan perasaan sebak To Sidang dengan rendah diri memohon kemaafan di atas sebarang keterlanjuran beliau sebagai pemimpin kecil. Beliau juga menyeru sekiranya terdapat hutang piutang yang masih belum terlangsai mohon dimaklumkan agar segalanya dijelaskan sebelum tarikh beliau berangkat Makkah Al Mukarramah pada pertengahan November nanti.

Itulah antara intipati ketaqwaan bagi seorang yang bakal menjadi tetamu Allah. Terbit dari sudut hati yang ikhlas memohon keampunan pada khilaf dan salah yang bagi seorang insan memang tidak dapat dielak.

Suasana sebegini sering kita lihat setiap kali seseorang akan berkunjung ke Makkah. Mereka sebenarnya mahukan redha sesama manusia sebelum mengharapkan keredhaan Allah SWT dalam kembara penuh rahsia dan kemurniaan ini.

Teringat pula pada sebuah buku tulisan Professor Muhd Kamil Ibrahim-Travelog Haji yang memaparkan seribu satu kerahsiaan yang dialami beliau semasa menunaikan ibadah haji.

Dan pastinya teringat kembali pada ketika saya sendiri dijemput menjadi tetamu Allah ada tahun 1999-juga diulit kerahsiaan dari sejumlah sirr ilmullah yang tidak terhingga. Betapa tidak terlintas di hati untuk dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah seawal itu.

Namun Allah telah membuktikan qudrat & iradatnya pada hamba yang lebih seni daripada sekelumit debu kotor ini. Walaupun atas dasar melaksanakan tugas melakukan laporan haji untuk Radio & TV namun berpeluang melaksanakan tuntutan rukun Islam kelima-subhanallah. Rahsia yang tiada siapa dapat menyingkap.

Justeru berazamlah untuk menjejakkan kaki ke rumah Allah. Dan alamilah 'kejutan' apabila kali pertama menatap Baitullah yang selama ini dihadap ketika solat tetapi pada ketika itu benar-benar berada di hadapan mata. Dan cucurkanlah air mata sebanyaknya tanda mensyukuri nikmat Allah ini.

No comments: