Saturday, August 30, 2008

Mencari Kemerdekaan...

Kurang satu jam menjelang detik dua belas malam………

Mungkin benar juga kata-kata pujangga……..ada kalanya kita seperti merindui kemerdekaan di bumi merdeka. Dalam maksudnya……….merindui kemerdekaan di bumi nan sudahpun mengecapi nikmat merdeka.

Kalaulah pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah menjadi ahli alam baqa dapat melihat hasil jerih perih yang mereka lunaskan dahulu, apa agaknya bunyi bisikan hati mereka?

Tapi putaran masa tidak mungkin akan membelok ke lorong yang ditinggalkan sejauh 51 tahun dahulu.. Apa yang dikecapi hari ini tidak siapa dapat menafikan adalah ranum buah yang dipetik dari pohon jihad. Cuma apakah jiwa anak-anak generasi kini dapat menyelami kolam pengorbanan tokoh-tokoh seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad(Pak Sako) dan ramai lagi?

Apakah semangat kehadiran tanggal 31 Ogos hanya terpalit pada muntahan bunga api, gelagat artis yang beraksi di pentas menanti detik jam 12 berdenting, kibaran Jalur Gemilang terpanjang atau perarakan raksasa di Dataran Merdeka?

Awal Ogos lalu berkesempatan hadir pada satu malam baca puisi patriotisme di Melaka Mall. Bergemalah deklamasi puisi oleh penggiat yang separuh usia dan penuntut di instituisi pengajian tinggi.

Lepas satu satu puisi dilontar ke udara yang suam-suam panas malam itu. Audien yang terdiri daripada 100 peratus Melayu ada waktunya berbisik sesame sendiri..cuba menafsir erti puisi barangkali.

Malam yang turut dihiasi dendangan lagu-lagu puisi itu sebenarnya menantikan kunjungan Ketua Menteri Dato’ Seri Mohd. Ali Rustam yang akhirnya sekadar menghantar wakil sahaja.

Selepas dua jam majlis melabuhkan tirai. Apakah yang terkesan? Hanya hadirin yang tahu.

Terus sahaja melangkah keluar menuju parkir kereta. Sedang berjalan laju, terpandang sepasang insan remaja sebangsa duduk menebeng di bawah sinaran lampu neon.

Yang lelaki sibuk menekan bebutang telefon bimbit sedang si perempuannya pula menenggek di atas peha.

Hati spontan membisik…..baru tadi hangat puisi kemerdekaan dan keinsafan dilontar ke udara sedang sepasang insan ini langsung tidak ambil kisah tentang itu semua dan karam dalam jerangkap samar usia muda mereka.

Betullah kata pujangga ada kalanya kita seakan mencari kemerdekaan di bumi merdeka.

Dengan langkah yang seakan menyesal dan bersalah, hati terus berkata, betapa lemahnya diri ini yang tidak mampu mencegah aksi mungkar tadi.

Semangat Bendera, Semangat Merdeka

Esok genap usia kemerdekaan negara 51 tahun. Esok sekali lagi rakyat Malaysia akan menghidu harum kemerdekaan yang telah disemai oleh pejuang-pejuang terdahulu. Tengah malam ini 'gemuruh padang Kelab Selangor' akan terngiang-ngiang di telinga buat sekian kalinya. Tepat jam dua belas tengah malam malam ini 'roh' semangat kebebasan akan hidup kembali.

Namun setelah 51 tahun berlalu apakah semangat dan roh yang 'hidup'itu sama panas baranya? Sementelah bahu yang memikul tidak akan sama dengan mata yang melihat. Tapi jangan sampai tidak langsung terpanggil atau tercium harum kemerdekaan seperti yang dinikmati pada 31 Ogos 1957.

Generasi hari ini walaupun tidak berkesempatan merasai perit sakit menuntut kebebasan tanah air dari belenggu penjajah, setidak-tidaknya mereka jangan sampai melunasi tarikh keramat itu dengan sorakan 'lupa jatidiri'. Semoga para ibu bapa memberi perhatian serius dalam hal ini.

Namun ironinya apabila dihujani dengan persoalan kenapa sambutan ulangtahun kemerdekaan tahun ini kelihatan hambar, terjentik jauhh di sudut hati membuat beberapa andaian.

Mungkin kebetulan tarikh 31 Ogos tahun ini berjiran dengan kedatangan 1 Ramadhan. Mungkin juga langkah berjimat cermat rakyat. Atau mungkin iklim politik negara hari ini membuatkan rakyat merasa kurang 'bernafsu' untuk melaungkan kalimat kemerdekaan sehingga serak-serak suara.

Dalam pada itu ada yang menilai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dengan kibaran Jalur Gemilang di sana sini.

Jelas jumlah kebaran Jalur Gemilang juga tidak 'segemilang' tahun-tahun sebelumnya. Jumlah kenderaan yang memacakkan bendera merah putih juga boleh dikira dengan jari.
Malah ada juga pihak yang tergamak untuk mengibarkan bendera terbalik atas alasan protes tertentu.

Apapun, dengan perang ke atas rasuah yang sedang giat dijihad oleh BPR, pergelutan kerajaan BN kembali memenangi hati rakyat pasca kemelut politik selepas 8 Mac 2008, pastinya mentari 'pembaharuan' semangat setiap individu anak Malaysia akan mewarnai senario bumi tercinta ini. MERDEKA! MERDEKA!MERDEKA!

Friday, August 29, 2008

Gegau Melakafm Di Melaka Mall, Ayer Keroh


Urusetia yang terdiri daripada petugas dari unit Rancangan,
Kejuruteraan & Pentadbiran


DJ Reen melayani gelagat maskot Merrybrown


Antara menu hasil Pertandingan Memasak


Aksi Rizani dari Unit Berita Ehwal Semasa(BES)


Rombongan dari KL bersama Yusof Ab Hamid

Sabtu (23/8) & Ahad (24/8) lalu Melakafm telah mengadakan aktiviti menemui audien di Melaka Mall. Bertemakan Gegau Melakafm, aktiviti anjuran Kelab Sukan & Kebajikan Melakafm itu berjaya menjalankan aktiviti bagi mendekatkan petugas Melakafm dengan masyarakat pendengar sempena Hari RTM ke-62 dan Hari Kebangsaan Ke-51.

Aktiviti- aktiviti yang dijalankan ialah Pertandingan Suara Emas & Suara 60-an, Pertandiangan Bintang Kecil, Street Soccer dan Mencari Harta Karun & Pertandingan Memasak.

Gegau bermaksud Gegar dalam loghat tempatan.Jadi kedua-dua hari itu wargakerja Melakafm telah mengegau suasana di Melakafm. Program turut dihadiri Pengarah Penyiaran Melaka, Yusof Abd. Hamid. Gegau Melakafm juga turut menerima kunjungan Pengarah Urusan Radio, Norliza Ali, Pengarah Sumber Manusia, Che Rohana Che Omar yang kebetulan berada di Melaka selepas mengikuti aktiviti Mencari Harta Karun anjuran Penyiar Kebangsaan dari Kuala Lumpur ke Melaka.

Jom Sahur

Jom Sahur...apa halnya ni puasa pun belum. Belum, belum pun ada baki dua hari lagi sebelum kita melangkah ke bulan yang penuh barakah tu. Teringat masa kecil-kecil dulu, masa-masa begini orang lelaki khususnya yang tua-tua sibuk mencari kain pelikat baru untuk dibawa bersolat tarawikh.

Yang kanak-kanaknya pula seronok sebab makanan melimpah ruah di mesjid. Ke mesjid bukan nak sembahyang sangat tapi suka menolong Tok Siak menghidang jamuan untuk moreh.

Berbalik pada Jom Sahur.......

Jom Sahur sebenarnya ialah sebuah program TV terbitan JAKIM yang akan disiarkan di RTM 1 sempena bulan Ramadhan ini. Waktu siarannya 4.00 pagi.

Pengalaman baru semasa menjalani rakaman suara latar(voice over) rancangan ini ialah untuk memenuhi keinginan penerbitnya(Mispiah) agar ia disampaikan secara bersahaja. Tidak seperti kebiasaanya yang sering menggunakan kaedah hard core atau medium core reading.

Mispiah mahu ia kelihatan dan kedengaran santai. Ada waktunya seperti berinteraksi dengan chef jemputan. Suatu kelainan yang dilakukan dengan keyakinan-mujur ada pengalaman menjadi DJ sedikit masa dulu.

Sebenarnya Mispiah adalah antara penerbit yang suka kelainan dalam program terbitannya. Apa yang dipaparkan menerusi Forum Perdana Ehwal Islam setiap Khamis malam adalah hasil kreativtiti beliau yang kini diambil alih oleh penerbit lain.

Sebelum ini pernah juga bekerjasama dengan beliau menyampaiklan suara latar dokumentari kehidupan di penjara. Maklum balas yang diterima- ramai yang terharu dengan program tersebut. Malah saya juga saecara peribadi ada ketikanya tidak dapat menAhan sebaK apabila menyampaikan monolog. Seperti diri sendiri yang mengalami kehidpuan sebagai banduan.

Itulah serba sedikit pengalaman bekerja dengan Mispiah. Kini satu percubaan baru lewat Jom Sahur. Setakat posting ini sebanyak 15 episod Jom Sahur sudah selesai dirakam suara latarnya.

Baki 15 lagi pasti mencabar. Ini kerana rakaman akan dilakukan pada bula puasa. Namun apa jua limitasi akan cuba diatasi secara profesional.

Sebagai promo- sakasikanlah JOM SAHUR sepanjang Ramadhan nanti. Selain ada paparan menu-menu menyelerakan, penonton juga akan dihidangkan dengan tips nasihat bagaimana menjalani ibadah puasa dengan sebaiknya agar puasa kita tidak sekadar berlapar dan dahaga sahaja. SAlam RAMADHAN.

Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam(AKRAM)

Hari ini baru selesai menghadiri kursus Program Peningkatan Kemahiran Kauseling Tahap II di Bahagian Pengurusan Sumber Kementerian Penerangan, Jalan Dato Onn, KL. Kursus ini adalah lanjutan kursus yang telah diadakan bulan lalu.
Sebenarnya tidak menyangka terpilih mengikuti kursus ini. Memang asing pada peringkat awalnya tetapi mula rasa seronok apabila mendalami objektif kursus seperti dapat membantu rakan-rakan lain atau paling tidak dapat mengaplikasikan modul pembelajaran dalam menangani masalah keluarga.
Betu,l siapa yang tidak bermasalah. Justeru kehadiran rakan pembimbing setidak tidaknya dapat meneroka dan mengenalpasti masalah serta menyusun strategi dan perancangan yang perlu diambil untuk mengatasinya.
Memang rata-rata peserta rasa bertuah dapat mengikuti kursus ini. InsyaALLAH dalam kelapangan akan datang serta apabila sudah khatam menimba ilmu pasti banyak yang akan dikongsi bersama lebih-lebih lagi apabila mula mempraktikkannya.
Apapun perlu bersabar sehingga mengikuti kursus tahap III pada bulan Oktober nanti.

Thursday, August 21, 2008

What A Fast Learner & Not Bad For A Start

Ungkapan ini sebenarnmya ditujukan untuk Zakuan Arif, penyampai berita terkini di Pusat Berita Radio(PBR) KL. Zakuan sebenarnya adalah antara dua 'anak bongsu' yang sempat dilahir dan dibimbing ketika hari-hari terakhir di PBR.Sebenarnya itulah hasrat & 'permintaan terakhir' pada pihak pengurusan agar perpindahan ke Melaka ditangguhkan supaya misi meninggalkan pewaris terlaksana. Eh, eh macam meninggalkan harta pusaka pulak. Namun itulah hakikatnya, mewariskan pusaka yang dimiliki untuk diperturunkan kepada generasi pelapis.
Seorang lagi ialah Angeline-penyampai berita Bahasa Malaysia dari kalangan bukan Melayu. Apapun sehingga posting ini, Angeline belum lagi dilepaskan ke udara.Tidak ketahuan di mana sangkutnya. Cuma Zakuan nampaknya cepat diberi kepercayaan untuk membaca berita 10 minit. Syabas.
Hasrat di hati agar Angeline juga akan ke udara bagi mencatat sejarah bukan Melayu (selepas A.Arumugam)yang menyampaikan berita Bahasa Malaysia dengan fasih.

Wednesday, August 20, 2008

Sekali Menyampai Berita...

Terakhir menyampaikan berita adalah seminggu sebelum berhijrah ke Melaka.
Sungguhpun dibebani dengan tugasan sebagai Ketua Bahagian Rancangan(KBR), sebenarnya jiwa terlalu melonjak-lonjak untuk ke udara menyampaikan berita...."sekali menyampaikan berita, pasti kepingin menyampaikan berita selagi terdaya"
Hasrat itu terlaksana pada bulan kedua bertugas di Melakafm. Di stesen negeri ini berita hanya ke udara dua kali sehari, jam 7.30 pagi dan 4.30 petang. Lazimnya ia disampaikan oleh dj bertugas. Justeru kehadiran ke sini memecahkan tradisi; berita disampaikan oleh penyampai khusus.
Selasa 8 Julai, KBR turun padang baca berita di stesen Melakafm. Pada peringkat awal maklumbalas yang diperoleh ialah-pendengar seolah-olah mendengar berita yang disiarkan dari Kuala Lumpur.
Berita di Melakafm sedikit berbeza treatmentnya dari apa yang ada di Pusat Berita RTM Kuala Lumpur lebih-lebih lagi tentang content. Al maklum boleh dikatakan keseluruhan berita Melakafm adalah berita tempatan. Jarang sekali bertemu dengan nama-nama pelik seperti kandungan berita Nasional yang sering berhadapan dengan nama-nama asing yang membelit lidah.
Pagi itu DJ bertugas ialah Azhari@ARI manakala sebelah petangnya pula Rahim Luwi. Agak janggal juga menyampaikan berita di Melakafm memandangkan utiliti studio yang agak berbeza dengan booth berita di KL. Apapun cara dan gaya penyampaian tetap 'mantain'.
Kali pertama menyampaikan berita pagi itu terasa agak sayu kerana terbayangkan suasana dan rakan-rakan penyampai berita di KL. Sehingga ke hari ini pun sebenarnya hati akan 'terusik' apabila mendengar berita Nasional khususnya sewaktu ia disampaikan oleh penyampai yang 'dilahirkan'. Semoga mereka akan terus improve dengan penyampaian untuk setanding dengan generasi terdahulu yang pernah mengharumkan nama RTM.
Selepas ini bercadang untuk adakan bengkel penyampaian berita dalam kalangan petugas Melakafm agar mereka lebih yakin sewaktu menyampaikan berita.Ini sebenarnya hasil saranan yang diterima daripada beberapa sms yang diterima daripada pendengar tempatan yang mahukan standard penyampaian Melakafm diperkasa walaupun memang sudah ada niat untuk menganjurkan bengkel berkenaan pada peringkat awal lagi.Semoga ia akan terlaksana dalam masa terdekat.

Hari Ke Hari...Jangan Bersedih

Semakin hari di Melakafm, semakin akrab. Dalam pada itu rutin berulang alik antara Kl-Melaka-Kl semakin berkurangan berbanding bulan pertama. Sekarang sudah mampu menunggu hujung minggu untuk balik ke Kuala Lumpur.Perbelanjaan? Pergi dan balik, minyak dan tol kira-kira RM45 ringgit. Itupun dengan Viva berkapasiti 1000 hp ditambah pula dengan penggunaan power saver e-charge yang didakwa boleh menjimatkan.
Bercakap pasal Viva ini pun ada cerita.
Sebenarnya baru bulan Disember lalu membeli Toyota Innova menggantikan Suzuki ERV yang nampak dan mula membuat ragam. Tup, tup pada bula Mei dapat arahan bertukar ke Melaka. Mulalah pandang-memandangkan dengan isteri. bagaimana ya? Anak sulung akan menduduki SPM hujung tahun. Risiko untuk berpindah sekolah. Isteri yang berkerja sebagai guru juga tidak semudah itu untuk mohon pertukaran.Ya tak ya antara akur dengan arahan dan terpaksa berhadapan dengan satu dugaan atau boleh dikatakan bebenan.
Perlu berpindah berseorangan dahulu. Perlu menyewa rumah. Perlu juga kenderaan untuk berulang alik. Fikir punya fikir tidak dapat tidak perlu cari satu lagi kenderaan. Satu keperluan. Akhirnya tercetus hasrat membeli kereta termurah di pasaran. Perodua Viva menjadi pilihan.
Beberapa cabaran besar yang dihadapi serantak. Berpindah ke tempat baru, berasingan dengan keluarga, menyewa rumah dan membayar ansuran kereta(yang dibeli semata-mata kerana bertugas di Melaka). Bayangkan berapa ongkos pembiayaan yang perlu djelaskan setiap bulan pak.Itulah pengorbanan yang perlu dhadapi.Itulah juga harga sebuah pengorbanan.
Namun atas kesedaran dan keyakinan setiap sesuatu itu ada hikmah-segalanya dilalui dengan ketabahan. Juga keyakinan setiap kesukaran pasti akan bertukar kemudahan kerama itu janji Allah SWT.
Namun segalanya seakan 'terubat' apabila suasana bertugas semakin menyeronokkan buat setakat ini. Tidak semena-mena banyak idea yang diperoleh khususnya semasa berada sekitar dua jam setiap perjalanan ergi dan balik antara Kl Melaka. Bukankah itu antara hikmahnya? Dua jam dalam perjalanan banyak yang boleh dibereskan. Berzikir semampu boleh, idea baru mencurah-curah, banyak berfikir tentang manusia dan kehidupan, menyaksikan kehebatan kuasa Ilahi lewat gunung ganaang dan bukit bukit yang memasak bumi, bahan untuk berkarya malah banyak lagi.
ITU SEBENARNYA NIKMAT YANG DATANG BUKAN MELALUI PENCARIAN...IANYA ANUGERAH ILAHI. SUBHANALLAH.
Teringat antara ayat yang diulang sebut dalam surah Ar Rahman.
Satu lagi hikmahnya penghijrahan ini ialah, sebelum ini ramai juga yang merujuk bertanyakan apakah yang perlu mereka lakukan apabila mendpat arahan berpindah? Sering disarankan agar mereka akur tetapi ketika itu sekadar memberi pendapat. Tetapi apabila terkena batang hidung sendiri baru tahu peritnya. Namun atas kesedaran tentang pendapat yang diberikan kepada teman-teman dulu, lantas mengakuri bahawa penghijrahan itu membawa kebaikan, perpindahan ke Melaka dipenuhi dengan ketabahan. Malah selepas ini jika ada yang merujuk bertanyakan pendapat tentang perpindahan pasti dengan senang hati menjawab 'pergilah, go for it, jangan fikir apa yang munkin terlepas, fikirkan apa yang bakal diperoleh, kerana segalanya aturan Allah SWT. Justeru haruskah kita kacau dan risau? Nakkan jawapan yang lebih mantap, tataplah bukan JANGAN BERSEDIH(DONT BE SAD)Pasti akan tenang jiwa, tenteram fikiran.

Ingat Lagi

Hari-hari yang dilalui di Melakafm merupakan saat dan detik penuh penglaman. Sarat dengan panggilan mesyuarat. Sarat dengan jemputan ke majlis-mejlis negeri. Ditambah pula dengan tugas-tugas pemantauan program dan pengawasan sumber manusia. Isy, isy, isy.
Apapun, segalanya dilalui dengan semangat untuk menabur bakti Kerjasama daripada rakan-rakan terus menerus diperoleh. Pandangan, nasihat dan saranan dalam mengendalikan stesen diperoleh pada bila-bila masa.
Bulan pertama dipenuhi dengan mendengar dan mengenali program dan rakan-rakan setugas. Biasalah, tak kenal maka tak cinta....
Melakafm yang bersiaran 18 jam sehari memiliki kira-kira 50 kakitangan-terdiri daripada bahagian rancangan, kejuruteraan, berita & ehwal semasa dan pentadbiran.
Yang berada secara langsung di bawah Ketua Bahagian Rancangan(KBR) semestinyalah bahagian rancangan.
Di bahagian rancangan petugas-petuganya merangkumi barisan lama dan baharu. Ada pegawai tetap dan sambilan.
Ikut statistik pendengar Melakafm kira-kira 200,000 ribu. Sebagai sebuah negeri kecil uang berpenduduk kira-kira 1/2 juta, jumlah 200,00 ribu tidaklah mengecewakan.Ia juga ada sahabat atau teman. Jumlah teman pula menjangkau 17 ribu.
Rancangan Melakafm seperti juga stesen-stesen RTM lain merangkumi hiburan, maklumat, berita, agama, budaya dan lain-lain. Boleh kata majoriti persembahan adalah melalui kaedah infotainment-dalam hiburan ada informasi.
Stesen beroperasi seawal 6.00 pagi dan melabuhkan tirai tepat 12 tgh malam.Setakat ini petugas atau dj sebelah malam ditangani oleh petugas sambilan yang dalam lingkungan umur di bawah tiga puluhan.
Rancangan yang digemari adalah segmen lagu-lagu 60-an pada pukul 5.15 ptg hingga 6.30petang. Dan semestinyalah audiennya juga berusia di atas 40-an.
Perihal Melakafm sepintas lalu.
Cuma nak dijadikan cerita apabila genap sebulan bertugas di Melakafm. Terdapat dua perkara besar berlaku. Pertama tentang pemilihan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Unesco dan kembalinya ke rahmatullah mantan TYT Yang Di-pertua Negeri, Tun Syed Ahmad Shahbudin.
Perkara pertama disambut dengan penuh keceriaan. Azhari yang bertugas pagi pada 8 Julai telah menghubungi Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam yang berada di Quebec, ketika itu.Berkat kemudahan yang ada pada hari ini.
Perkara kedua sebenarnya menjadi cabaran pada KBR yang baru 'sebulan jagung'.Pagi-pagi lagi dapat alert daripada Pengarah yang kebetulan bermesyuarat di KL mengatakan tentang mantan TYT yang kembali ke rahmatullah di KL dan akan disemadikan di Melaka.
Phuh, ini kes besar yang perlu ditangani tanpa sebaranmg persiapan awal yang terancang.
Dikhabarkan juga bahawa Dato SUK akan datang ke studio untuk membuat pengumuman rasmi. Alhamdulillah berkat pengalaman dan kerjasama rakan-rakan segalanya berjalan lancar.
Tepat 10.30 pagi Dato SUK bersama Datuk Speaker datang untuk live di studio. Pengumman pun dibuat. Sejurus selepas itu segala bentuk program hiburan atau pendek kata segala rancangan 'normal' akan dihentikan untuk menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al quran bagi menghormati pemergian mantan TYT.
Agenda hari itu ialah : jenazah akan dibawa dari KL ke Seri Negeri untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Mesjid al Azim bagi disemadikan di Makam Pahlawan. Satu gerak kerja adhoc perlu dilaksanakan berpandukan kepada Panduan Siaran apabila berhadapan dengan kematian pembesar atau pemerintah negeri.
Sekali lagi kerjasama rakan-rakan 'senior' diperoleh dan pembahagian tugas pun dilakukan.
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Semua pihak melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin sehingga ada yang bercuti pun sanggup dipanggil bertugas.
Cuma merasa sedikit terkilan sewaktu membuat liputan secara langsung pengkebumian di Makam Pahlawan. Sewaktu krew sudah bersedia untuk ke udara, talian yang sepatutnya dibekalkan oleh Telekom Malaysia tidak kedapatan. Entah di mana silapnya. Akhirnya liputan siaran secara langsung bertukar kepada laporan lintas langsung sahaja menggunakan telefon bimbit. Apa pun, pendengar pastinya tidak mengetahui apa yang berlaku di belakang tabir memandangkan laporan upacara pengkebumian dapat diikuti di corong radio mereka dengan profesional sekali. Terima kasih kawan-kawan untuk semua yang terlibat pada hari itu.
Setelah segalanya selesai dan sewaktu melangkah keluar dari perkarangan Mesjid Al Azim hati berbisik.....baru sebulan tapi sudah berhadapan dengan insiden sebegini, apa lagi agaknya yang menanti pada masa-masa mendatang? KL pengalaman yang kugali sewaktu berada di dadamu banyak membantuku ketika di bumi Melaka ini.

Lantaran Bercuti

Sebenarnya waktu ini sedang meluangkan masa bercuti. Justeru ada masa lapang jadi dapatlah mengadap laptop.
Oh ya banyak cerita yang ingin dipaparkan.Mana nak mula.....
Tentang tugas.....
Menjadi Ketua Bahagian Rancangan atau KBR sebuah stesen radio besar peranannya. Jika di stesen swasta beliaulah Programme Manager. Apa saja berkaitan program adalah di bawah tanggungngjawab seorang KBR.Apapun KBR masih punya ketua iaitu Pengarah Penyiaran Negeri.
Cerita tentang Pengarah Penyiaran negeri dan KBR ni pun boleh kata menarik juga.
Rasanya belum ada dalam sejarah RTM(selain sekiranya stesen baru dibuka)yang Pengarah serta KBRnya sama-sama baru. Tapi itulah yang tercatat di Melakafm.
Cuma barangkali Pengarah, Encik Yusof awal seminggu melapor diri.Aduhai, kedua-dua Pengarah dan KBR belum ada pengalaman bertugas di stesen negeri. Satu keunikan yang penuh cabaran.
Ingat lagi beberapa minggu sebelum bertugas di Melaka, sempat berjumpa sambil berbual-bual kosong dengan beliau tentang misi yang menunggu di Melaka. Masih tergiang di telinga kata beliau "zazmie, nanti kita tengok bersama-sama apa yang boleh kita buat di Melakafm"
Bagi seorang bakal KBR pada masa itu, ungkapan tersebut umpama 'magic word' yang tersembunyi segunung harapan untuk dipenuhi. Bayangkan kedua kami baru- siapa nak rely on siapa sekarang?
Namun apapun, berbekalkan kecekalan, pengalaman dan pastinya doa, alhamdulillah bulan pertama dan kedua dilalui dengan penuh pengajaran. Tambahan pula dapat bekerja dengan rakanrakan yang mudah menjalin kemesraan dan memberikan kerjasama. Phuh....
Setakat ini apa yang boleh 'ditengok 'itu sudah mula direalisasikan sedikit demi sedikit. Tapi perjalanan baru bermula dan masih jauh.

....setelah sekian lama.

Aduhai, kali terakhir posting rupanya pada 16 Jun lalu. Wah lebih dua bulan tak update apa-apa.
Jika nak cari alasan mudah saja. Iklim persekitaran tempat kerja baru tidak mampu mendamaikan jiwa untuk menulis. Tapi itu cuma alasan. Tapi ada benarnya.
Bayangkan selepas 27 tahun bertugas di Kuala lumpur dan tidak pernah tinggal berasingan dengan keluarga tiba-tiba perlu berjauhan dengan mereka sambil berhadapan pula dengan cabaran kerja baru. Huh, penin bak kata orang Perak, orang teman le.
Tapi setelah bertawakkal kepada Allah SWT, cabaran yang mungkin ringan bagi sesetengah orang(kerana apalah sangat Melaka dengan KL dibandingkan mungkin antara UK dengan malaysia)dapat diatasi dari hari ke hari.
Cuma peringkat awalnya menggagahkan diri berulang dari Melaka Bandaraya Bersejarah(kini Warisan Dunia) ke KL-kira-kira 150km x 2 sehari. Selewat-lewatnya jam 6.30 pagi bertolak dari KL. Apapun dah maklum pada boss(yang juga baru pindah dan senasib)bahawa masuk pejabat lewat sikit kerana tidur di KL. Alhamdulillah boss dan rakan-rakan sekerja lain memahami.
Lalu bermulalah ceritera hidup di perantauan-di bumi Hang Tuah.Banyak cerita sebenarnya nanti akan dicerita secara flashback.