Monday, June 16, 2008

Kak Qurei

Pagi tadi sebaik ingin memasuki bilek mesyuarat, terima sms mengatakan kak Qureisha Raphay kembali ke rahmahtullah di rumahnya di Bangsar.
Kak Qureisha atau kak Qurei yang saya kenali adalah seorang penerbit radio yang berkeliber khasnya dalam menerbitkan program kanak-kanak sekitar tahun 70-an. Beliau akhirnya bertukar ke tv dan menerbitkan rancangan agama.
kak qurei adalah di antara penerbit yang memberi saya peluang membaca suara latar dan amat menghargai bakat yang saya miliki itu. Pada peringkat awal pembabitan saya beliaulah antara yang mengatakan bahawa saya berbakat besar dalam bidang suara latar dan turut memberi tunjuk ajar.
Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al fatihah.

Hari Bapa

Semalam rupanya Hari Bapa. Berbahagialah seluruh bapa di muka bumi ini. Semalam juga menerima sms daripada anakanda di Gunung Semanggol.
"Selamat Hari Bapa buat abah yang tersayang. Zarif akan doakan abah panjang umur dan murah rezaki"
Terima kasih anakku.
Nanti kita jumpa dan singgah makan di restoran Doli, Taiping, menikmati nasi ayam dan kueh teow 'special'

setelah sekian lama

Sejak melapor diri di Melaka fm pada Isnin 9 Jun lalu ini baru berkesempatan menghadap pc utk membuat posting baru. itupun sebab ada masa terluang selepas menghadiri Mesyuarat di Kuala Teremgganu.
Mesyuarat baru selesai. Esok baru terbang ke KL.
Petang tadi pergi ke Pasar Payang yang terkenal tu bersama rakan sebilik Noriman dari Asyik fm. Yang uniknya si Noriman ni bolehlah digelar 'raja' sms kerana asyik melayan perasaan ber sms dengan teman di KL. Menurutnya koleksi sms yang tersimpan ialah sebanyak 1,500. Dan dia bercadang untuk 'membukukannya'. Aduhai macam-macam dunia ini.

Thursday, June 5, 2008

Salam Terakhir













Akhirnya......

Khamis 5 Mei 2008. Hari terakhir di Pusat Berita Radio. Esok bercuti sehinggalah mula melapor diri di Melaka fm.

Pagi tadi hadiri mesyuarat editorial terakhir. Sempat merakam foto dengan pengurusan PBR dan seterusnya dengan rakan-rakan lain. Akan kusimpan jadi kenangan.

Kalau tuan datang ke Melaka
Singgah-singgahlah ke pondok kami,
Kasihnya tuan panjang sedepa
Kasihnya saya berlebih lagi

Kusangka ikan keli
Rupanya ikan duri,
Kusangka lama di sini
Kiranya perlu berundur diri

Jika tuan keliling kota
Jangan lupa beli berangan'
Pahit dan manis di Pusat Berita
Akan kusimpan dalam kenangan

Terima kasih semua dari hujung rambut ke hujung kaki. Maaf zahir dan batin. Halalkan yang termakan dan terminum.

Kepada rakan-rakan di unit ICT.....teruskan usaha kalian, berkreatiflah dan bersikap lebih proaktif dan hormatilah antara satu sama lain.

Selongkar & Membongkar






Eh rupa-rupanya selain memperoleh kepenatan, kerja menyelongkar dan membongkar barang-barang yang disimpan lama ni mendatangkan keseronokan. Apa tidaknya umpama terjumpa harta karun, dapat membelek kembali apa yang disimpan bertahun-tahun.
Membuka fail-fail peribadi, terburai keratan akhbar lama serta beberapa helai surat peminat yang dikirim ketika Pujaan Sepuluh Nescafe masih di puncak.



Juga ketemu karya lukisan peminat misteri bernama Suri dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang kerap melakar foto artis popular ketika itu lebih-lebih lagi penyanyi lagu juara pada minggu-minggu tertentu.
Rupanya masih tersimpan surat braille kiriman seorang pendengar cacat penglihatan bukan Melayu dari Pulau Pinang yang ketika itu masih menuntut. Di mana agaknya beliau kini?
Terjumpa juga skrip PJSN tahun 1992 yang pada masa itu masih menggunakan mesin taip. Di hujung skrip tertera tag line....Jaga Diri, Hiasi Peribadi.
Hah, juga kenangan penuh sentimental kad jemputan Konsert Puncak PJSN. Penuh warna warni.
Belek punya belek ketemu keratan akhbar yang memuatkan gambar salah seorang teman yang pernah mengharumkan Rangkaian Nasional-Ainul Jamal Zainal (yang paling kanan). Beliau adalah di antara deejay yang disegani malah saya sendiri tidak mampu melakukan apa yang beliau praktikkan. Masuk bertugas kelihatan seperti tidak mempunyai apa-apa persiapan, tetapi apabila ke udara pelbagai maklumat bernas akan dilontarkan dengan fasih dan sususan ayat yang indah-indah. Itulah kelebihan Ainul. Ainul juga seorang penulis lirik lagu yang dikenali ramai pada era lagu-lagu rock 80-an. Antara lirik ciptaan beliau yang popular adalah Tika & Saat Ini(Medicine), Sufi(Damasutra) & Patahnya Sayap Malam(Massa). Dalam berkarya Ainul akan menggunakan beberapa nama pena antaranya Nurzauk. Di mana Ainul kini?






Wednesday, June 4, 2008

Haus Petrol Lapar Diesel


RM 1.92 seliter...tinggal kenangan

Antara petrol & diesel...siapa dulu?

Tiada lane kosong

Dalam perjalanan pulang kira-kira 8.30 malam, sempat meninjau beberapa stesen minyak di sekitar Bangsar dan Brickfields. Rata-rata dikerumuni pengguna yang dahagakan petrol.

Gara-gara Pak Lah umumkan kenaikan harga petrol dan diesel kira-kira 6.00 ptg, berjejeran kenderaan mengerumuni stesen-stesen pam minyak bak semut menghurungi gula sehingga ada yang beratur sehingga setengah kilometer.

Rungutan dan rintihan……rata-rata itulah senario pengguna yang sempat ditemui. Pendapat Encik Tan, seorang penuntut post graduate, kebimbangannya bukan sekadar kenaikan sehingga 40 peratus harga bahan api itu tetapi impak yang bakal dialami selepas ini…………..kenaikan harga barang.

Bagi Encik Ramadasan kenaikan sepatutnya sekadar di sekitar 10 atau 15 peratus sementara bagi Encik Asraf pula beliau risaukan respons rakyat pasca kenaikan ini..

Menerusi tinjauan tersebut juga didapati kebanyakkan pengguna berhasil beroleh penjimatan di antara RM20 hingga RM50 selepas tangki dipenuhkan….setidak-tidaknya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan lain.

Dalam pada itu menurut beberapa atendan pam yang ditemui menyatakan bekalan petrol adalah mencukupi walaupun dilaporkan di sebuah stesen petrol di Damansara Jaya keadaan agak gawat apabila sebuah lori tangki tidak dapat menghantar bekalan akibat terperangkap dalam kesesakan.

Malah kedapatan juga keadaan yang boleh dikatakan panik mendadak ini hampir mencetuskan perbalahan apabila dua pengguna berebutkan pam.

Namun segalanya akan reda menjelang tengah malam ini apabila harga yang ‘ditakuti’ itu akan menjadi realiti juga.

Berita Dari 1989-2008 & Ucap takziah

Ikutkan hari ini adalah hari terakhir menyampaikan berita radio. Buletin 2.00 ptg tadi yang ditangani oleh editor Haslinda Hassan menjadi saksi berlabuhnya tirai sebagai penyampai berita radio yang diceburi sejak 1989. 19 tahun menyebarkan maklumat sebagai penyampai berita.

Terima kasih kepada semua yang telah memberi tunjuk ajar, kerjasama, teguran, nasihat dan apa saja input. Jasa kalian tiada tolok banding. Tanpa kalian siapalah insan kerdil ini, sekadar menumpang di sudut yang kecil.

Terharu dan terkejut apabila Hjh Syarifah membawa berita kepulangan kerahmatullah Ustaz Ishak Hamidon, penerbit program-program Media Elektronik & Penyiaran(MEPS) Jakim kira-kira 1.00 tgh-ketika saya sedang menyampaikan Berita Nasional.

Lantas menghubungi Rahman Tahir di Kementah untuk dapat maklumat lanjut. Menurut beliau Allahyarham menghidapi kanser prostat dan sedang menjalani rawatan di Kelantan. Jenazah akan dibumikan di negeri kelahiran Allahyarham di Pahang.

Mengenali Allahyarham, beliau seorang yang bersahaja dan peramah. Berjiwa keusahawanan.

Semoga pemergiannya memperoleh keraehaan Allah SWT jua dan tempatkan di kalangan roh para solihin. Al fatihah.

Potret Allahyarham Ustaz Ishak Midun dan Isteri
diambil dari Business Card

Selongkar Oh Selongkar


Panca, Utusan Malaysia sabtu 9/9/1989

Sehari dua ini sibuk mengemas untuk persediaan berpindah ke Melaka fm. Ketika asyik menyelongkar ‘harta karun’ terjumpa dengan beberapa keratan akhbar lama tentang Pujaan Sepuluh Necafe(PJSN).

Kebetulan petang semalam bertemu Ameng Spring yang datang untuk rakaman di Auditorium Perdana. Dia yang menyapa dulu. Ingat lagi rupanya dia pada pengendali PJSN yang sama naik turun pentas satu ketika dulu. Sempat bertanya khabar tentang rakan-rakan artis yang kebanyakkannya menurut Ameng sudah tidak bergiat kecuali seorang dua. Rahmat Mega khabarnya kini usahawan yang berjaya bergitu juga Nizam Laksamana.

Terjumpa juga keratan akhbar yang dihasilkan khusus untuk publisiti rakan-rakan di Pusat Berita Radio termasuk beberapa karya karikatur(sekadar cuba bakat)yang pada mulanya dimuatkan dalam web PBR. Penuh warna warni-hasil kreativiti Syahkhairul.



Juga terselongkar foto ketika acara Santai Puisi sempena Hari RTM Ke-60 pada tahun 2006 lalu. Bercadang untuk meneruskannya melalui aktivtiti bulanan Kasturi tapi belum kesampaian.



Monday, June 2, 2008

Menghitung hari (III)

Bersyukur ke hadrat Ilahi atas anugerahNya sehingga memiliki sedikit bakat seni. Ia diterapkan dalam mencipta lagu, lirik, sajak, rencana, berita dan sebagainya.

Yang menarik ialah sering diberi kepercayaan mencipta tajuk rancangan atau tag line. Disenaraikan beberapa karya yang dihasilkan sepanjang bergelar sebagai penyiar.

Lagu :

1. Kita Penyiar-berkemundang setiap kali sambutan Hari RTM.
2. Megah Di Angkasa-dinyanyikan oleh Kumpulan Kasturi. Video klipnya kerap disiarkan di tv sempena sambutan Hari RTM Ke-60 lalu.
3. Kuntum Kenangan-dinyanyikan di hadapan mantan PM, Tun Dr Mahathir ketika menjadi tetamu RTM 1.
4. Mari Berpantun-lagu tema Pertandingan Pantun Antara Kementerian anjuran DBP pada tahun 2005 & 2006.

5. Dan berbelas lagi lagu yang kebanyakkannya dipersembahkan oleh Kumpulan Kasturi

Lirik :

1. Tetap Unggul-Lagu tema sambutan Hari RTM Ke-60 hingga kini

2. Beberapa lagu komersial dan lagu-lagu ciptaan sendiri yang dinyanyikan oleh Kumpulan Kasturi.


Tag line/akronim :

1. Radio 1 Di Mana Jua

2. Teman Informan Berita Radio, TIM BR

3. Pusat Berita Radio(sebelumnya Berita Radio)


Tajuk Rancangan :

1. Mentika : Nota & Pena

2. Aktif Positif

3. Arif IT

4. Radio 1 Dot Kom


Juga terbabit mencadangkan agar nama editor disebut pada setiap penghujung siaran berita agar mereka juga memperoleh aprisiasi daripada pendengar.

Tetapi yang menariknya ialah ramai memaklumi bahawa bait-bait kata yang indah itu terhasil apabila memperoleh ilham ketika menunggang 'kapcai'. Ramai yang bertanya kenapa begitu. Jawapannya mudah, sebaik mendapat ilham, akan segera berhenti di bahu jalan untuk mencatat atau merakam melodi kerana ditakuti lupa.

Bayangkan sekiranya memandu kereta, apakah peluang untuk berbuat demikian semudah ketika menunggang motosikal? Dan satu lagi perjalanan dengan motosikal boleh saja dilambat-lambatkan-justeru semakin lambat sampai ke destinasi semakin banyak ilham 'menjadi'....

Menghitung Hari (II)

Keseronokan bertugas di Pusat Berita Radio ialah dapat terlibat sama mengendalikan perkara yang sebelum ini belum wujud selain terbabit sama dalam memastikan pengiktirafan MS ISO 9000:2001 pada aspek penerbitan dan persembahan berita kekal.
Empat perkara besar yang saya terlibat sebagai perintis ialah pewujudan laman web PBR, penghantaran Info Teks(berita ringkas) ke stesen-stesen radio RTM , penyiaran Berita SMS(News Alert) dan membuka keahlian kepada pendengar menjadi sahabat PBR yang dikenali sebagai Teman Informan Media Berita Radio atau TIM BR. Semuanya terletak di bawah kelolaan saya dengan dibantu oleh Syahkhairul dan Tetitia selain penyampai berita dan wartawan yang terlibat melakukan updating berita di laman web dan Info Teks.
Bukan hendak mendabik dada tetapi paling tidak di Malaysia dan mungkin juga di rantau sebelah sini PBRlah yang merintis penghantaran berita melalui sms sama seperti yang dilakukan oleh agensi pemberitaan lain seperti akhbar dan perkhidmatan berita dalam talian seperti BERNAMA.
Sebenarnya idea mewujudkan semua ini terbit dari inisiatif mantan Pengawal Berita, Hji Mustapha Kamal Ab. Razak yang memandang jauh ke hadapan bagaimana media baru/alternatif boleh dieksploitasi oleh PBR.
Setidak-tidaknya akan tercatatlah nama mereka dalam sejarah PBR sebagai perintis usaha pembaharuan dan penambahbaikan tersebut.
ia juga secara tidak langsung akan menjadi sebab kenapa pengiktirafan ISO MS 2000:9001 yang sedia dimiliki itu dipertahankan.

Menghitung Hari (I)

Sekadar berbaki beberapa sahaja lagi bertugas di Pusat Berita Radio(PBR) sebelum berhijrah ke Melaka fm. Bulan Jun ini genap dua tahun enam bulan menjadi keluarga PBR walaupun secara tidak langsung telah menjadi sebahagian daripada entiti PBR apabila mula membaca/menyampai berita sejak 1989.
Terasa sekali kepicikan masa sedangkan masih banyak yang perlu dilunaskan sebelum menutup tirai perpisahan. Semuanya kenal lancar agar pegawai yang akan mengambil-alih tugas dapat menyambung tanggungjawab tanpa masalah.
Hampir 20 tahun bergelumang di bidang penyampaian berita. Masa mula-mula dulu sempat juga berdampingan dengan beberapa nama besar seperti Hjh Yong Rafidah, Hajah Wan Chik Othman, Hajah Hasnah Abdullah, Siti Hawa Majid, Hj.Ngasri Sain, Haji Ramli Samad, Hj. Othman Haji Mohd, Amran Sharif, Hjh Salasiah Zakaria dan Hjh Mariamah Tijo. Terasa kerdilnya diri....
Banyak mengutip ilmu daripada mereka. Rajin bertanya. Suka mengaya-gayakan cara mereka menyampai berita. Berpeluang berduet menyampai Berita Perdana yang pada ketika itu disiarkan selama setengah jam.....fuyoh.
Lama-kelamaan mereka akhirnya bersara. Tinggallah generasi seterusnya yang boleh dikatakan seangkatan seperti Hjh Sharifah Hj. Yusof, Noraini Ibnu, Hj. Salehuddin Ab. Rahman dan Zamhuri Hamzah.
Kini ada pelapis yang bakal menggalas tanggungjawab mewarnai penyampaian berita radio RTM. Mereka adalah Yoyo, Siti Aishah, Syahidah, Aznarina, Nizamiah, Syamel dan Firdaus selain Anizan dan Fadley yang kini tidak lagi bersama. Terkini adalah Zakuan dan menyusul pula adalah Angeline.
Kelahiran mereka betul-betul di depan mata kerana saya terlibat secara langsung melatih dan membimbing mereka sekitar tahun 2005. Setidak-tidaknya telah membuktikan gelaran Penyampai Berita Radio Terbaik yang diraih pada Anugerah Seri Angkasa 1999 itu tidak dipersiakan.
Terpulanglah pada mereka untuk menyahut cabaran semasa yang adakalanya sukar dimengerti sekiranya masih kekal di PBR sebagai penyampai. Apapun khabarnya mereka kini sedang sibuk mempersiapkan diri untuk menjalani ujian bertulis ke jawatan tetap kerana boleh dikatakan kesemua mereka berstatus sementara atau kontrak. Semoga mereka memperolehinya. Kejayaan mereka adalah kejayaan saya juga.

Selamat Tinggal Angkasapuri

Sebenarnya berita ini dah lama terpendam cuma tidak kesampaian untuk dipost kerana rasa terharu yang amat sangat. Segalanya bermula pada 8 Mei 2008 apabila menerima surat arahan bertukar ke Melaka Fm pada 15 Mei 2008. Aduhai setelah 27 tahun di Angkasapuri....
Apapun teringat pada ikrar hari pertama melapor diri dulu bahawa akan patuh pada sebarang arahan. Jadi inilah dia hasil ikrar itu....
Masih pada gred jawatan yang sama cuma tanggungjawab yang berbeza. Perlu mengawal keseluruhan hal ehwal rancangan di sebuah stesen radio negeri yang mempunyai lebih 60 kakitangan.
Pengalaman baru di tempat baru.
Apapun mohon penangguhan sehingga 9 Jun atas beberapa sebab. Antaranya ingin memastikan 'kelahiran' anak bongsu dalam penyampaian berita radio. Alhamdulillah mission accompalished! Anak bongsu berkenaan, Zakuan Azmi sudahpun dilepaskan ke udara pada 29 Mei lalu dan mula dijadualkan pada 1 Jun.
Menyusul adalah Angeline(bukan Melayu yang bakal menyampai berita Bahasa Malaysia). Mereka adalah generasi baru yang diharap dapat mewarnai penyampaian berita radio RTM.
Sekurang-kurangnya tidak rasa terkilan meninggalkan Pusat Berita Radio(tempat bertugas sekarang) kerana dapat mewariskan ilmu agar perjuangan diteruskan.
Sebelum ini sempat juga melatih penyampai-penyampai seperti Yoyo, Siti Aishah, Nizamiah, Norsyahidah, Aznarina dan Syamel . Pada merekalah terletak harapan agar berita radio terus diberi perhatian oleh audiens.
Berbalik pada cerita perpindahan, yang pasti tanggungjawab besar menunggu di Melaka fm. Yang uniknya Melaka fm turut menerima Pengarah baru. Jadi insyaAllah kami akan bergabung idea, tenaga dan kesungguhan untuk terus menjadikan Melaka FM pilihan ramai khususnya di bumi Hang Tuah.
Selamat tinggal Angkasapuri. Banyak kenangan pahit manis di sini. Nanti pada kesempatan lain akan cuba dikongsi bersama.
Apapun Taman Sinn di Samabok akan menjadi tempat tinggal baru. Tersentuh juga nostalgia sewaktu melangkah ke rumah sewaan semalam. Semasa di persimpangan untuk ke Taman Sinn terlihat Semabok Inn. Signifikannya hotel ini ialah di sinilah tempat menginap ketika bersama rombongan roadshow Pujaan Sepuluh Nescafe lebih 15 tahun lalu.
Bayangkan 15 tahun kemudian akan menetap lama di kawasan perumahan yang sama tetapi dengan misi yang berbeza.
Terimalah hamba aduhai bumi Melaka - bukan sebagai tetamu yang datang untuk bersantai tetapi petugas di salah sebuah stesen radio RTM tertua di Malaysia.

Anak Wak Raden

Berbaju Melayu serba hitam adalah Radin Umar.
Gambar diambil pada Aidil Fitri 1980.



Teringat masa kecil-kecil dulu pada seorang lelaki berusia lewat 50-an yang berkulit sawo matang dan bertubuh kecil. Beliau mempunyai semangat keusahawanan. Di belakang basikal tuanya terdapat sangkar buluh. Lelaki ini gemar bertopi ala koboi. Beliau juga tidak lupa membawa timbang dan dacing.

Setiap hari beliau akan berbasikal dari rumah di Kampung Batu 9, Ulu Chemor ke pekan Chemor. Dalam perjalanan beliau akan singgah bertanyakan orang-orang kampung samada ada ayam untuk dijual, termasuklah bapa saya.

Ayam-ayam yang akan dibeli ditimbang terlebih dahulu untuk menentukan harga. Sambil itu beliau akan berbicara dalam lpelat Jawa yang pekat. Dan saya memang sering menjadi usikan.

Lelaki keturunan Jawa ini mempunyai ramai anak. Usahanya itu adalah antara kewajipan demi mencari perbelanjaan membesarkan dan menyekolahkan anak-anak.

Ketika itu saya hanya mengenalinya sebagai Wak Raden. Sehinggalah sewaktu salah seorang anak beliau menjadi rakan persekolahan barulah nama sebenarnya saya ketahui iaitu Radin Sohadi.

Anak beliau yang menjadi rakan persekolahan saya ialah Radin Umar. Dalam kalangan teman-teman beliau kami panggil sebagai Radin sahaja.

Anak-anak Wak Raden memang dikenali bijak-bijak termasuklah Radin Umar. Beliau berada di kelas A sejak tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Sekolah kami adalah Sekolah Menengah Aminuddin Baki Chemor(SABC).

Seingat saya sepanjang tempoh itu beliau akan memperoleh nombor teratas samada dalam kelas atau tingkatan. Pencabar beliau ialah seorang lagi 'genius' ketika itu, Roslina. Mereka berdualah yang akan bersaing berebut nombor satu.

Setelah tingkatan tiga, Radin memasuki Maktab Tentera Di Raja. selepas itu melanjutkan pengajian di United Kingdom. Sejak itu kami 'terpisah'.

Sekembali dari sana beliau bertugas di UPM. Boleh dikatakan perkembangan beliau hanya saya ketahui menerusi perkhabaran daripada teman-teman sahaja.

Di UPM beliau terus menangga. Kemudian beroleh gelaran Doktor dan Professor di UPM juga.

Tahun lalu beliau dilantik menerajui Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya(MIROS). Terbaru iaitu 31 Mei lalu terpampang di dada akhbar bahawa beliau dilantik menjadi Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi mulai hari ini.

Itulah serba ringkas perjalanan hidup Prof, Datuk Dr. Ir. Radin Umar Radin Sohadi yang pernah menjadi teman 'berbasikal' ke sekolah setiap pagi lebih 30 tahun lalu.

Saya percaya sekiranya Wak Raden masih hidup beliau pasti tersenyum puas melihat kejayaan anak-anak setelah bertungkus lumus membesarkan mereka dengan seribu satu kepayahan.