

Itulah sebenarnya yang terjadi. Khabarnya dua hari lepas YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Najib Tun Razak telah melakukan lawatan ke Little India, Brickfields meninjau karnival beli belah Deepavali yang sedang berlangsung.
Lawatan pemimpin adalah perkara biasa. Jika musim pilihanraya dulu mereka akan'mencemar duli'tidak kira masa. Pastinya kehadiran orang nombor dua negara dan bakal jadi orang nombor satu ini ke Little India dilihat sebagai mendekatkan diri kepada pendokong dan penyokong satu dari parti komponen Barisan Nasional iaitu MIC.
Datuk Seri Najib khabarnya sempat bergurau mengatakan bahawa isteri beliau Datin Rosmah pasti akan bertanya aroma harum yang melekat dibaju beliau apabila pulang ke rumah. Tetapi Datuk Seri Najib tidak perlu risau kerana beliau memperoleh 'aroma' itu ketika mengunjungi karnival Deepavali berkenaan.
Tak kisahlah tentang aroma itu. Cuma yang agak 'dikesali' ialah sikap kita ketika berhadapan dengan pemimpin. Ia mungkin boleh dikatakan sebagai 'hipokrasi'.
Kisahnya begini. Kebetulan kuarters tempat tinggal saya terletak di lingkungan Little India. Menurut ceritanya kawasan tempat tinggal kami telah dibersihkan menerusi operasi besar-besaran oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sehinggakan keluar nota pekeliling melarang menjemur, mengampai baju dan lain-lain di hadapan dan belakang rumah.
Sampah sarap juga dibersihkan sebersih-bersihnya. Tar jalan turut diperbaharui.Satu langkah yang cemerlang-mengindahkan suasana bandaraya tercinta.Tak salah usaha sebegini.
Namun sekali fikir, sekadar meraikan pemimpin yang cuma 'hinggap' kurang sejam, satu persiapan yang tip-top telah dilakukan. Sedangkan di luar masa itu sampah di belakang rumah belum tentu diangkut mengikut jadual sehingga menimbulkan aroma hebat dan membiakkan koloni tikus. Dan keadaan ini terpaksa dilalui bukan sejam, seminggu atau sebulan malah bertahun.
Pemimpin yang sekiranya 'terlihat' kebersihan yang 'instant' itu tentu mempunyai tanggapan bahawa sistem penyampaian yang dilakukan oleh agensi kerajaan benar-benar berkesan dan ketua agensi tersebut wajar mendapat pujian.
Lalu ia seharusnya membuka minda kita. Di mana perlu diperbaiki atau apakah kita akan terus dihantui kepura-puraan terutama apabila berhadapan dengan pemimpin.
Betapa Deepavali adalah berkaitan dengan cahaya. Agar cahaya yang bersinar akan menyuluh hati-hati yang berjelaga agar terang gemilang.
No comments:
Post a Comment