




Mesjid Al Azim - Seperti yang dihajati, tiba ke Mesjid Al Azim ketika Azan Maghrib dikumandangkan. Solat maghrib berjemaah diimamkan oleh Imam Besar , Haji Mohd. Hashim Al Hafiz.
Selesai solat jemaah menyambut kehadiran Al Habib Syed Hassan Muhammad Al Attas(yang mempunyai sanad kepada penyusun Ratib Al Attas yang cukup terkenal) dan rombongan dari Singapura. Habib hadir untuk bersama-sama dalam majlis tahlil memperingati Almarhum Tun Syed Ahmad Shahbudin mantan Yang di-Pertua Negeri Melaka yang kembali ke rahmatullah pada 4 Rejab lalu.
Dalam tazkirahnya Habib ketika mengenang kembali Almarhum mengatakan Tun cukup banyak jasanya dalam melaksanakan kemajuan Islam khususnya di Melaka. Malah Almarhum sendiri menurut Habib adalah seorang yang komited dalam menunaikan ibadah.
Habib mengenali Tun ketika Almarhum menjadi Duta Malaysia ke Singapura sebelum Tun dilantik menjadi Yang di-Pertua negeri Melaka. Habib masih ingat betapa Tun pernah menyuarakan 'keresahannya' apabila dimaklumkan bahawa beliau akan bertugas di Melaka. nNmun Habib telah memberi kata-kata perangsang bahawa itu semua adalah urusan Allah SWT dan seharusnya beliau perlu menerimanya dengan redha.
Satu lagi keresahannya menurut Habib ialah apabila Mesjid Al Azim berhadapan kelewatan dalam pembinaannya dan Tun dikatakan telah berusaha bersungguh-sungguh agar Mesjid Negeri itu berdiri seperti dirancang.
Malah Habih masih ingat apabila beliau telah diminta oleh Almarhum Tun untuk mengadakan kuliah subuh pertama di mesjid itu-begitulah akrabnya hubungan Habib & Almahrum Tun.
Menurut Habib lagi surau yang terletak di Kampung Mata Kucing(berhadapan dengan RTM Melaka) diperbaiki struktur bangunannya dari inisiatif Almarhum Tun. Tun juga dikatakan sering datang berjemaah di surau itu bersama-sama Habib.
Demkianlah sedikit tentang Almarhum Tun yang sempat diperkatakan oleh Al Habib Syed Hassan.
Dalam tazkirahnya juga Habib turut memperingatkan beberapa hak mereka yang hidup terhadap saudara yang telah meninggal dunia lebih-lebih lagi jika mereka adalah ayah atau ibu. Antaranya mendoakan mereka dan meneruskan silaturrahim kepada sesiapa juga yang pernah menjadi kenalan mereka.
Terdahulu menantikan masukknya waktu Isyak, Habib telah memimpin majlis Qasidah yang mendayu-dayu menusuk ke jiwa yang gersang lagi kelabu ini.
Majlis malam itu diakhiri dengan menikmati hidangan yang cukup menyelerakan tambahan pula dapat makan berkongsi empat orang sedulang-mengeratkan ukhwah Islamiah.
Sebelum berpisah malam itu sempat mendakap Al Habib sambil membisikkan ke telinganya agar mendoakan kesejahteraan diri yang hina lagi banyak dosa ini.
No comments:
Post a Comment