Friday, February 13, 2009

PINDAH BLOG


http://kotakasturi.blogspot.com

kini sudah berpindah ke

http://kotakasturi.wordpress.com


Wednesday, February 11, 2009

11 Februari 2009

Ia tidaklah segah 31 Ogos 1959 atau segerun 13 Mei 1969,namun bagi seorang hamba bernama Zazmie Mohd. Zain ia adalah tarikh yang menabalkan usianya meningkat tua setahun lagi. Justeru tidak ramai yang ambil peduli selain keluarga. Awal pagi terima sms alert daripada bank yang dilanggani mengucapkan selamat hari ulang tahun kelahiran. Seterusnya sms diterima daripada jiran yang baru dikenali kurang lebih sebulan. Terima kasih.

Apapun saya tidak melihat ucapan itu penting namun jumlah usia yang semakin bertambah itu membuat jiwa sedikit runsing lantaran malam tadi beberapa jam sebelum tepat 12 tgh malam saya membuat sedikit pemeriksaan kesihatan. Hasilnya, berat melebihi yang sepatutnya termasuk kandungan lemak dalam badan yang jika tidak diambil langkah sesuatu kelak akan membahaya diri. Jadi apalah sangat ucapan yang bertalu-talu jika dibandingkan dengan situasi yang 'menyeramkan' itu.

Jadi kini perlu memikirkan sesuatu demi menjaga kesihatan terutama mengubah gaya hidup ke arah yang lebih mementingkan pengambilan makanan atau diet yang seimbang dan berkualiti.

Apapun tahniah buat Norsyahidah Jamsari(penyampai Berita Radio ) dan Tetitia(rakan sekerja semasa di Pusat Berita Radio) yang dimaklumkan selamat melahirkan anak selang beberapa hari sebelum saya menjangkau usia 48 tahun. Setidak-tidaknya tahun hadapan saya tidak keseorangan menyambut ulang tahun kelahiran dan kami sama-sama bernaung di bawah zodiak Aquarius yang antara lain memiliki jiwa yang cenderung meminati seni(betul ke?).

Ap Ceghita Hari Ni Weh?

Le Tour De Langkawi hari ini masuk hari kedua menjelajah bumi Hang Tuah. Walaupun banyak laluan ditutup dan menyebabkan sedikit kesesakan lalu lintas terutama di sekitar Dataran Pahlawan namun ia tidak menghalang peminat sukan lumba basikal ini menyaksikan kehebatan dan ketangkasan pelumba -pelumba bertaraf dunia memperagakan kayuhan mereka. Cuma saban tahun acara ini diadakan kita hanya berpeluang melihat kejuaraan dimiliki oleh pelumba-pelumba profesional luar negara. Apapun sekurang-kurangnya nama Malaysia selaku penganjur telah bermain di bibir masyarakat dunia seperti juga penganjuran LIMA yang menjadi medan memperagakan teknologi aeronautik dan marin yang berlangsung di Langkawi.Biarpun cuma menyimpan cita-cita dan hasrat agar ada anak tempatan yang bakal mencipta nama sehebat Mattia Gavazzi dalam Le Tour de Langkawi misalnya, kita tidak harus menoleh ke belakang lagi kerana kita telah berjaya mendirikan asas seiring dengan keperluan prasarana yang bertaraf dunia.

Sunday, February 8, 2009

Apa Ceghite Hari Ni Yob?

Seharian berada di bumi 'Hang Jebat'. Jika Melaka dikenali sebagi negeri Hang Tuah, mungkin negeri tanah tumpah darahku, Perak boleh digelar sebagai bumi Hang Jebat kerana kononnya di sini berlaku insiden rakyat yang derhaka kepada sultan. Semuanya gara-gara melunasi tuntutan politik.

Bertolak malam tadi menuju Bagan Datoh, Perak. Sebaik sebelum memasuki sempadan negeri Perak terdapat 'road block'. Di simpang empat Hutang Melintang tergantung kain rentang agar DUN dibubarkan.

Pagi tadi sempat meninjau ke pekan Bagan Datoh. Cuba memantau di satu-satunya restoran di pekan kecil itu, memasang telinga kot-kot ada berita baik. Terdengar dari suatu meja seorang lelaki berhujah dengan mengatakan bahayanya jika rakyat menderhakai raja. Ternyata beliau penyokong kerajaan baru yang dibentuk.

Membaca akhbar arus perdana, sekali lagi tajuk berita utama diwarnai dengan merah yang menandakan kemarahan rakyat terhadap instituisi raja yang dihina sehingga ada ura-ura ingin mengheret Paduka Tuanku ke mahkamah. Ditambah pula dengan beberapa pendapat tokoh politik dan orang ramai yang rata-rata kesal dengan perlakuan 'muflis adab' itu.

Jika sebelum ini muka hadapan boleh dikatakan semua akhbar utama akhbar arus perdana tidak ada bahan lain selain daripada memaparkan senario di Palestin tetapi tidak lagi sebaik peristiwa gejolak politik di Perak. Jika sebelum ini akhbar-akhbar berkenaan menagih simpati dan airmata rakyat tetapi kali ini mereka mahu membangkitkan rasa kemarahan di atas
Keutuhan raja yang diderhakai. Cuma kali ini tidak ada tabung simpati yang dilancarkan malah tidak kedengaran seruan untuk mendirikan majlis solat hajat agar ditunjukkan kebenaran pada yang hak.

Timbul pula pendapat agar ditarik balik gelaran kehormat daripada mereka yang jelas 'mohon derhaka' terhadap raja. Soal melucutkan gelaran atau kuasa ini sebenarnya telah jelas dalam Al Quran di mana kuasa atau pangkat yang dimiliki oleh hamba itu bukanlah mutlak untuknya.

Kita juga bercakap soal derhaka. Saya masih ingat masa kecil-kecil dulu diceritakan bahawa sekiranya kita derhaka pada raja, daulat yang ada pada raja itu akan 'menghukum' kita sementara di dunia sebelum hukuman yang lebih ditakuti menanti di akhirat kelak. Mendengarnya saya kecut perut. Apapun kita juga harus muhasabah tentang perilaku kita yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT selain kita banyak memperkatakan soal derhaka kepada pemerintah.

Semoga negeriku akan kembali aman sentosa.

Thursday, February 5, 2009

Perak Negeriku

Peralihan kuasa bakal berlaku di Perak. Hanya kurang lebih 11 bulan tampuk pemerintahan hasil satu gagasan yang wujud pasca PRU ke-12 lalu kini hampir tumbang. Dalam unjuran ini satu kerajaan baru akan dibangunkan. Siapa menyangka insiden ini boleh berlaku di bumi yang pernah membakar semangat perjuangan umat Melayu menentang penjajahan Inggeris kurun lalu. Negeri yang pernah membangun dengan hasil bijih timah ini bakal melakar sejarah politik yang menuntut ketahanan dan kekentalan jiwa rakyatnya dalam menentukan corak masa depan mereka.

Menyaksikan maklumbalas menerusi liputan langsung TV1 sehingga 5.30ptg kebanyakan pandangan vox pop yang diperoleh memandang senario ini sebagai sesuatu yang positif. Mereka mendakwa dahagakan pembangunan terancang yang tidak begitu diberi perhatian oleh kerajaan yang terbentuk selepas PRU ke-12 lalu.

Apapun pasti ada lebih satu golongan yang menerima impak daripada perkembangan terkini ini. Setiap mereka mempunyai pendirian tersendiri. Yang mana terduduk, yang mana bertepuk tangan dan tidak kurang ada yang 'memadan mukakan'pihak-pihak tertentu.

Dan siapalah yang bakal bergelar Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, negeri kelahiranku ini. Khabarnya hujan waktu ini di Perak. Selalunya kita mengaitkan hujan dengan rahmat yang menyelubungi namun tidak salah menghubungkannya dengan airmata jiwa yang dirobek.

Keramat Suara Rakyat

Empat negeri sejalur yang dikuasai Pakatan Rakyat kini hampir-hampir kehilangan satu memandangkan senario yang berlaku di Perak kini. Apakah tampuk pemerintahan akan kembali ke tangan Barisan Nasional? Dan apa pula jaminan kestabilan yang dicari maka kestabilan akan ditemui? Segalanya bergantung kepada episod seterusnya dan persimpangan samada pembentukan kerajaaan baru atau pembubaran dewan undangan negeri kini bergantung kepada perkenan Paduka Seri Sultan Perak.Dan apa pula implikasinya jika seseorang itu mengambil sikap terburu-buru?

Apa Ceghita Hari Ni Yob?

Bukan soal menyokong mana-mana parti tapi ini soal ketelusan atau mungkin ketirisan. Soalannya mudah. Kenapa sewaktu meraih undi seorang pemain politik menagih agar rakyat membuat keputusan bijak dan terbaik. Tetapi setelah diangkat menerajui rakyat mereka dengan mudah menukar 'baju' tanpa terlebih dahulu merujuk kepada rakyat yang menaik dan memilih mereka dahulu. Saya tidak pasti samada terdapat 'kontrak'yang membolehkan seseorang pemimpin yang telah mendapat mandat rakyat itu beralih arah sesuka hati. Kenapa dulu rakyat dicari tetapi kini rakyat yang sama dibelakangi?

Soal lompat melompat ini juga satu budaya yang 'jelek'. Namun kesimpulannya itulah 'tubuh' yang dinamai politik. Bisa bertukar baju, bisa menutur apa saja, antara semalam dan hari ini belum tentu sama, kaki yang menari belum pasti sama tanah sama padang. Yang dikhuatiri jangan sampai label 'munafik'dikaitkan pada mana-mana mereka yang terlibat. Kerana pada masa itu nanti kita akan menangisi nasib yang menimpa umat Islam dan Melayu di bumi Malaysia yang tercinta ini. Na'uzubillah.

Apapun sarapan hari ini sambil menatap akhbar sedikit 'terganggu'kerana 'letih' membaca senario politik yang berlaku sejak akhir-akhir ini sehingga mee kering ala mamak yang dimamah bersisa.

Tuesday, February 3, 2009

Apa Ceghite Hari Ni Yob?

Ate, tengok muka depan akhbar-akhbar tempatan dalam sehari dua ni banyak bercerita tentang negeri teman, Perak. Bukan soal sensasi kahwin lari tetapi kisah wakil rakyat lompat parti.

Yang menambah kecelaruan ialah kenyataan yang berdolak dalik dari pelbagai pihak. Ada mengatakan kedua-dua ADUN terlibat iaitu Mohd Osman Jailu(ADUN Changkat Jering)dan Jamaluddin Mohd. Radzi(ADUN Behrang)dilaporkan telah meletak jawatan. Di satu pihak melaporkan bahawa kedua-dua mereka telah membuat laporan polis menafikan perletakan jawatan berkenaan.

Mutakhir dari satu berita news alert sms yang saya terima pada jam 1.14 tgh ini mengatakan tiada pilihanraya kecil akan diadakan memandangkan surat perletakan jawatan yang dikatakan daripada kedua ADUN tersebut sebenarnya tidak sah.

Oh kome, mana yang betui ni? Kok ya pun jangan le bagi rakyat tambah kalut dengan senario yang bukan boleh dikategorikan sebagai 'lawak' ini kerana ia berkaitan soal integriti kepemimpinan dan soal akhlak seorang muslim.