Tuesday, May 27, 2008

Gambaran Sepanjang Perjalanan

Anak-anak teruja melihat
ayam berlaga


Bergambar kenangan bersama Pok Sin
(4 dari kanan) dan Zaidi(3 dari kanan)



Homestay tempat penginapan selama 2 malam

Meneguk Tuak

Bumi Kelantan ditinggalkan dengan seribu kenangan lebih-lebih lagi kembara percutian kali ini turut disertai ayah dan ibu mertua.
Pagi semalam sebelum berangkat balik ke KL sempat berbual dengan pemilik Homestay, Pok Sin. Berusia 63 tahun dan menjadi nelayan sejak muda lagi. Punya lima anak dan beberapa orang cucu. Ada di antara anaknya kini turut mewarisi beliau hidup sebagai nelayan.
Pemilihan tanah beliau untuk dijadikan tapak homestay merupakan suatu keberuntungan. Setidak-tidaknya boleh dijadikan tempat tinggal.
Pagi itu Pok Sin baru balik dari laut. Beliau hanya mampu membawa balik kira-kira 30 kil0gram ikan kerapu yang menghasilkan pulangan sekitar RM200.00. Namun ada kalanya pulang dengan tangan kosong.
Menurut Pok Sin lagi ada juga antara penduduk kampung yang memperoleh pinjaman untuk membina rumah 'batu' dengan melunaskan pinjaman sebanyak RM100.00 sebulan. Cuma tambah Pok Sin lagi beliau tidak berminat untuk berbuat demikian kerana ia melibatkan soal kepartian.
Pagi itu sempat juga menemankan anak-anak, Zafir dan Zafirah bermain pantai. Fatin, anak sulung Mek Kiah menjadi penunjuk jalan.
Ketika anak-anak leka bermandi, sempat bertanya itu ini pada Fatin.
Terharu juga mendengarkan anak seusia 12 tahun ini masih belum mampu menjawab apakah cita-citanya apabila dewasa kelak atau dia berasa segan untuk menyatakannya. Apapun apabila ditanya apakah dia akan menjejaki ibu dengan mengusahakan cantingan batik, dia hanya mempu tersenyum.
Menurut Fatin lagi ada diantara anak-anak penduduk kampung itu yang tidak bersekolah lantaran kedaifan keluarga.
Sebagai kakak kepada dua adik yang masing-masing berusia 9 dan 6 tahun Fatin kini setidak-tidaknya sudah pandai mengurus diri termasuk sudah tahu menanak nasi dan menggoreng ikan.
Sebelum meninggalkan KB sejenak ke Pantai Cahaya Bulan(PCB) kerana anak-anak teringin sangat menyampaikan hajat 'mencelup' kaki di pantai yang kini dipenuhi batu-batu besar penghalang ombak.
Memandangkan perut sudah berkeroncong, berselera pula melihat gerai-gerai yang dipenuhi dengan jualan hasil laut. Cuma sayang ianya agak terdedah.
Tapi mujurlah sebelum dihidangkan, ia digoreng semula. Enak juga menikmati'colek' makanan laut seperti bebola ikan, ketam dan udang.
Masuk tengahari baru mencari jalan keluar dari bandar KB. Sebenarnya warga bandaraya Islam ini perlu lebih prihatin lagi khususnya tentang menjaga kerbersihan kerana ia merupakan antara ciri-ciri penting dalam kehidupan seorang muslim-buktikan pada masyarakat lain.
Ketika melalui Batu 30 Kampung Pek, Machang, sempat singgah untuk meneguk air nira atau tuak kelapa yang dijaja di pinggir jalan.
Berharga RM2.50 sebungkus, berasa manis-manis masam. Dalam kalangan famili yang turut serta hanya saya seorang yang teruja meneguk tuak di bawah terik matahari.
Sejenak terfikir, kalau ditempat lain jangan sembarangan meneguk tuak, kerana dikhuatiri ia adalah tuak yang boleh memabukkan.
Tetapi tuak yang ini, habis sebungkus, tambah sebungkus lagi.....

Sunday, May 25, 2008

Cantingan Batik Mek Kiah

Petang tadi sempat memborong beberapa hasil batik daripada salah seorang pengusaha batik di sekitar Pantai Cahaya Bulan. Perbezaan harga memang ketara sekiranya membeli terus daripada pengusaha berbanding setelah berada di rak-rak pameran di kedai-kedai. Berbelanja sekitar 600 riyal(ikut penggunaan loghat masyarakat tempatan). Terpikat dengan kemeja batik berlengan panjang berwarna merah jambu untuk dipakai ke pejabat pada hari Khamis.
Siti Hajar Batik-milik pasangan suami isteri(Siti Hajar dan Zakaria) yang telah menjalankan bisnes lebih 20 tahun. Sempat meninjau kilang kepunyaan mereka yang terletak di belakang rumah. Melihat sendiri bagaimana proses pembuatan batik dijalankan.
Melihat pada fizikal rumah yang tersergam indah dan sebuah Mercedes Benz yang anggun , nyatalah perniagaan mereka telah membuahkan hasil yang lumayan. Namun di sebalik kejayaan ini pastinya berdiri mereka yang turut terlibat dalam menghasilkan cantingan batik yang unik dan menarik termasuklah Mek Kiah(tinggal di belakang homestay) yang mengambil upah membuat lakaran batik milik Siti Hajar Batik.
Terharu mendengarkan luahan Mek Kiah yang punya tiga anak serta suami seorang nelayan yang menyatakan beliau sendiri belum mampu untuk memiliki sehelai batik yang berharga ratusan ringgit untuk mmbalut tubuh sedangkan beliaulah yang melakar batik-batik berkenaan.
Salam Pantai Timur disapa angin kesayuan terkenangkan golongan yang sebegitu sedangkan penyewa homestay dari jauh datang bertandang sambil berbelanja seadanya.
Makan malam menikmati nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak dan ayam percik yang dibeli dari Pasar Malam Buluh Kubu.
Dan malam itu Mek Kiah seluarga turut menikmatinya......

Salam Pantai Timur

Seperti biasa masa cuti persekolahan diisi dengan aktiviti Kembara Malaysia. Kali ini destinasi adalah Pantai Timur-walaupun ia pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini. Ia menjadi pilihan kerana beberapa sebab-menghadiri majlis perkahwinan sepupu isteri dan Aznarina Aziz. Selepas itu melajak ke Kota Baharu(KB).
Setelah menghadiri majlis perkahwinan sepupu isteri di Felda Sungai Tekam Utara, Jengka, Pahang pada Sabtu 24 Mei, perjalanan diteruskan ke Bukit Payong, Marang, Terengganu untuk memenuhi undangan walimahtul urus penyampai berita, Aznarina Aziz.
Memandangkan masa bertolak dari Sungai Tekam Utara sudah agak lewat, kehadiran di rumah Aznarina hanya dapat dipenuhi tatkala azan Maghrib berkumandang. Memanglah tiada tetamu lagi pada waktu itu. Tapi dalam pada itu pun Aznarina sempat menghidangkan masak lemak nangka berlaukkan ikan kering. Puh, berselera dibuatnya. Tapi ikut kata Aznarina sekiranya datang awal dapatlah menikmati masak asam ikan patin.
Kira-kira jam 8.00, saya sekeluarga bersama ayah dan ibu mertua bertolak untuk ke KB. Jam 11.45 baru sampai.
Di KB kami menginap di homestay yang terletak di Kampung Baru, Pantai Mek Mas yang terletak berhampiran PCB, Pantai Cahaya Bulan.
Perjalanan ke sana pada malam gelap gelita mujur dipandu arah oleh saudara Zaidi yang datang membantu. Zaidi adalah orang hubungan ketika menempah homestay berkenaan. Untuk makluman homestay ini diketahui ketika melayari blog rockys bru.
Ia sebenarnya baru diperkenalkan dan masih dalam peringkat awal 'perniagaan'. Masih banyak kekurangan. Itulah pengakuan Zaidi ketika kami melangkah masuk.
Sebenarnya kami tidak berapa kisah. Sekurang-kurangnya dapat juga merasai suasana hidup keluarga nelayan.
Homestay ini milik Pok Sin. Dua buah kesemuanya. Kami adalah di antara pengunjung awal.
Hah. Anak-anak teruja dengan senario kampung. Kambing bebiri bekeliaran di sekitaran(termasuk dengan najisnya sekali-tapi itulah realiti kehidupan).
Di belakang tempat penginapan, anak Pok Sin mengusahakan cantingan batik yang dilakukan secara cottage industry. Kali pertama mendekati aktiviti realiti-bukan sekadar melihat gambaran semata-mata.
Paginya menikmati sarapan/makan tengahari di Pasar Khadijah. Ah berselera menikmati antaranya sotong dan udang yang bersaiz besar. Jika di KL kena fikir dua tiga kali!
Selepas itu apa lagi destinasi 'wajib' ketika berkunjung ke KB-menggali gedung buku Jaafar Rawas di Jalan Tok Pati sementara isteri dan yang lain-lain singgah di kedai emas(macam datin-datinlah pulak).
Sempatlah membeli beberapa tajuk buku kebanyakkannya mengenai gangguan jin dan syaitan-tajuk yang diminati sejak kebelakangan ini setelah mendampingi Ustaz Hanif Ghazali At Tobibi dari Pondok Zubaidiyah, Merbok, Sungai Petani.
Kembali ke homestay lewat tengahari. Boleh tahan juga panasnya. Tapi tak apa, realiti dicari, realiti ditermui. Seronok melihat anak-anak teruja dengan aktiviti kehidupan yang asing walupun sering balik kampung tetapi tidak serupa dengan cabaran sebuah perkampungan nelayan.
Salam Pantai Timur berhenti seketika. Bercadang untuk ke PCB dan malam nanti teringin nak menikmati nasi kerabu.

Friday, May 16, 2008

Tetap Sama


Aroma mee bandung Pak Su

Entah macamana malam ini tergerak hati pergi makan mee rebus di gerai Pak Su yang terletak di Jalan Kuari Cheras.

Gerai ini pada suatu masa dahulu sering menjadi destinasi ketika tinggal di Kampung Cheras Baharu. Memang enak menu Pak Su ni. Selain mee rebus, ada rojak, mee bandung, mee goreng ala mamak dan nasi goreng.


Yang special kuah mee rebusnya. Entahlah apa rahsia Pak Su dan Mak Su, pasangan yang berasal dari Bukit Mertajam ni.

Walaupun harganya tidaklah seperti dulu tapi citarasanya masih sama. Nak rasa datanglah. Ia terletak berhadapan bulatan di bawah lebuhraya MRR2 menghala ke Jalan Kuari, Cheras.

Sudah hampir 30 tahun Pak Su berniaga mee rebus. Sekarang umurnya 55 tahun. Bayangkan pengalamannya. Mungkinkah kemahirannya akan diwarisi oleh anak-anak? Walaupun ada di antara anak-anaknya yang menuntut di IPT tapi ada juga yang membantu di gerai. Seorang daripada anaknya lepasan agama dari Mesir tapi kini sedang menjalani latihan kerjaya di PNB, sejajar dengan hasrat PM Pak Lah inginkan lulusan agama menceburi bidang profesional.

Apapun anak seorang peniaga mee rebus tidak semestinya menjalani kehidupan yang serupa dengan orang tua mereka.

Lawatan DiRaja

SPB Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri
Agong ketika meninggalkan bumi Jordan

Lawatan kerja Raja Abdullah II dan Raja Permaisuri Rania ke Malaysia semalam dan hari ini mengingatkan saya semasa membuat liputan lawatan SPB Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail dan SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Ab. Rashid ke negara bumi anbiya itu pada September 2006.




Bersama kru media berlatarbelakangkan Laut Mati

Seketika terbayang bumi Makkah yang dikunjungi pada tahun 1999 ketika membuat liputan haji. Antara Jordan dan Arab Saudi memang tidak banyak perbezaan keadaan muka buminya.



Phamplet Muzium Kereta DiRaja

Di Amman rombongan di raja dibawa mengunjungi beberapa tempat bersejarah termasuk Muzium Kereta Diraja yang mempamerkan koleksi kereta milik Raja Hussein.



Sedang memilih wangi - wangian di Balad


Rakan-rakan media lain ialah , Fathil Hidayat, Azhar dan Halim(RTM), Rosmah dan Noraini(Bernama) dan Bustam(Jabatan Penerangan),

Semasa di sana berkesempatan juga membeli-belah di Balad...sempat le beli kurma mentah dan rebana.

Antara liputan Lawatan DiRaja yang
dipaparkan
melalui akhbar Jordan Times








Sunday, May 11, 2008

SMS Dari Gunung Semanggol

Sempena Hari Ibu....anakanda Zarif yang kini menuntut di Maahad Ehya El Syarif Gunung Semanggol mengirimkn mesej ini :

"Selamat Hari Ibu kepada ibu yang kusayang, semoga Allah panjangkan umur emak dan jasa emak Zarif akan selalu ingat, daripada Zarif anakmu"

Baca Berita Kawan Sendiri....Sebak

Sebak ketika menyampaikan Berita Nasional 1.00 tgh tadi apabila editor Bakhtiar membawa berita yang baru disediakan tentang permergian Ahmad Alwani Amir Hamzah. Begitulah tugas seorang penyampai berita. Pernah sebelum ini lama dulu menyampaikan berita kematian rakan penyiar veteran Zahari Ismail. Apapun semoga berita itu tersebar luar dan setidak-tidaknya memperoleh sedekah fatihah daripada sekelian mukmin yang mendengar. Amin

Hari Ibu

11 Mei......Hari Ibu hari ini. Ibu yang melahirkan. Ibu yang mendidik. Ibu yang mendoakan. Malah terlalu banyak yang ibu laku dan korbankan untuk anak-anak.

Hari ini pasti ada yang buat sesuatu yang istimewa untuk ibu. Tapi sebenarnya tidak terhenti pada hari ini sahaja malah selagi hayat dikandung badan buatlah yang terbaik untuk ibu. Walaupun tidak terbalas namun berusahalah sedaya mungkin lebih-lebih lagi bagi ibu yang masih di sisi.

Bagi saya kedua ibu dan bapa sudah tiada. Hanya doa yang dipanjatkan.

Terbayang di ingatan ketika saat terakhir di sisi ibu ketika saat nazaknya di katil Pusat Perubatan Univsrsiti Malaya tahun 1999. Kebetulan beberapa minit sebelum arwah pergi buat selama-lamanya, terjadi blackout seketika. Selepas keadaan dipulihkan, saya pula hampir 'blackout' apabila mendapati nadi ibu semakin lemah dan akhirnya terhenti diikuti pengesahan doktor bahawa ibu telah tiada.

Pemergian ibu hampir 10 tahun setelah arwah abah kembali ke rahmatullah ketika mengerjakan ibadah haji di Madinah pada tahun 1989.

Kepada yang masih mempunyai ibu untuk dicium pipinya, berbaktilah kepada mereka sebelum sampai mata tertutup rapat.

Amatilah maksud hadi di bawah tentang pengorbanan yang ibu lakukan :

"Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit. maka ALLAH memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama ALLAH"

Selamat Hari Ibu.

Perginya Seorang Teman

Pukul 4.42 pagi ini terkejut menerima sms daripada isteri Ahmad Alwani Amir Hamzah (yang saya sentuh pada posting sebelum ini) mengkhabarkan bahawa suaminya yang tercinta telah kembali ke rahmatullah pukul 2.15 pagi(Ahad) setelah beberapa ketika terlantar di Hospital Putrajaya. Saya terus sebarkan mesej sedih tersebut pada kalangan rakan-rakan lain.
Pada sebelah siangnya pula sempat bercakap dengan Siti Fatimah, balu serta adik Allahyarham , Hayat sambil menyampaikan ucapan takziah. Menurut Siti Fatimah Allahyarham akan dikebumikan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Kampung Klang Gate, Hulu Kelang.
Tiada apa yang terluah selain pesanan agar beliau tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan ini.
Haji Mustapa Kamal, Pengawal Berita TV turut minta confirmkan alamat sebenar jenazah Allahyarham ditempatkan kerana ada krew berita tv yang dihantar untuk buat liputan tetapi tidak menemui destinasi.
Kenangan ketika bersama Allahyarham sewaktu sama-sama mengendalikan majlis perkahwinan anak seorang sahabat di Dewan Perdana, FELDA lewat tahun 2007 bermain di ingatan. Itulah kali terakhir bertegur sapa dengan Allahyarham yang tetap kaya dengan senyuman diebalik suara garaunya.
Pasti kami akan kehilangan dikau yang lebih dahulu dijemput ke hadratNya. Semoga rohmu damai dan dirahmati di sana.. Untuk Allahyarham Ahmad Alwani Amir Hamzah..Al Fatihah.

Thursday, May 8, 2008

Suratan Atau Kebetulan?

DJ Zaff

Ini kisah suratan atau kebetulan, bak lagu KRM.

Zainon Ab. Rahman atau Kak Non adalah penterjemah berpengalaman di Pusat Berita Radio tempat saya bertugas. Orang utara, peramah dan kaya dengan senyuman. Pandai memasak pulak tu. Sempat belajar cara-cara masak nasi goreng kerabu daripada beliau. Cuba juga buat, bolehlah, tapi rasa tak mungkin sama.

Satu perkara yang menarik tentang kami ialah persamaan nama anak-anak . Memang tidak dirancang, tapi lihatlah kenyataannya Anak sulong beliau dengan anak sulong saya , Zafri. Zafirah, anak ketiga beliau juga senama dengan anak bongsu saya. Manakala anak bongsu beliau Zafiruddin mirip nama anak ketiga saya Zafir. Anak kedua saya pula Zarif senama dengan anak saudara beliau. Eh, eh, mungkin boleh masuk Malaysia Book Of Records.

Selain itu tentang anak gadis beliau yang akan naik pelamin tak lama lagi, Zafrina. Sekarang antara DJ tersohor di Suria FM. Sedikit tentang Zafrina-masih kecilnya kira-kira 13 tahun yang lalu merupakan salah seorang penari pengiring dalam Konsert Pujaan Sepuluh Nescafe(PJSN) bersama Along Dancers.

Waktu tu Kak Non akan jadi'escort' anak gadisnya. Sempatlah bersama PJSN semasa roadshow di Muar, Pulau Pinang , Kuala Terengganu dan Konsert Puncak PJSN yang terakhir di Dataran Merdeka.

Itu 13 tahun dulu. Sekarang Zafrina atau DJ Zaff tidak lagi di bawah ketiak emak. Mungkin jika beliau ingat kembali senario ketika mengikuti rombongan PJSN-tentu akan tersenyum sendiri. Terbayang keadaan berasak dan berhimpit dengan artis-artis top masa itu dalam bas Transnasional termasuklah Ning Baizura sebelum beliau dikenali ramai seperti hari ini.

'Radio Man' di CCU Hospital Kuala Lumpur.


Terharu tapi tidak terkejut apabila menerima sms daripada Pak Ibrahim Abu Bakar(pengulas sukan veteran) menyatakan rakan DJ Ahmad’Radio Man’ Alwani Amir Hamzah kini berada di CCU Hospital Kuala Lumpur.

Tidak terkejut kerana sememangnya telah mengetahui keadaan beliau dan telahpun pergi melawat minggu lalu tetapi di Hospital Putrajaya.

Terharu melihat keadaannya yang terlantar dengan dikelilingi alat bantuan pernafasan serta monitor yang memaparkan imej denyutan nadi. Sempat bertemu isteri beliau yang nyata menaruh harapan agar Alwani kembali sembuh.

Kali terakhir berbicara dengan beliau ialah pertengahan April lalu. Terkejut apabila panggilan dijawab dari atas katil hospital. Baru tahu beliau dimasukkan ke wad disebkan komplikasi diabetes yang dialami.

Sebelum mengakhiri perbualan saya sempat berpesan agar beliau tabah menghadapi dugaan Allah ini. Dengan tenang beliau membalas “ abang, kalau saya tidak kuat, keadaan saya tentu lebih teruk” Syabas kata hati saya.

Seterusnya ada teman yang nak pergi melawat tetapi lantaran kesibukan saya hanya sempat menitipkan sehelai kertas dengan pesanan “ Alwani, banyakkan berzikir dan menyebut nama Allah” sambil saya berpesan agar perbanyakkanlah berzikir dengan zikir Nabi Yunus.

Sebaik menerima sms daripada Pak Bakar seperti biasa saya terus saja forwardkan kepada beberapa kenalan khususnya yang telah bersara. Begitulah kebiasaannya rutin saya akan menyebarkan berita tentang hal ehwal rakan yang dilanda musibah kepada teman-teman lama. Begitu juga mereka akan mengirmkan khabar kepada saya tentang rakan-rakan veteran RTM samada yang sakit atau meningal dunia untuk saya sampaikan pula kepada rakan-rakan setugas lain. Setidak-tidaknya itulah sekecil kebajikan yang sempat saya lakukan di celah-celah kesibukan yang entah bila akan berakhir.

Semoga Alwani diangerahi kesembuhan oleh Allah SWT. Kepada rakan-rakan yang masih belum berkesempatan melawat beliau, luangkanlah sedikit masa untuk menjenguk rakan kita itu.

Wednesday, May 7, 2008

Merenungi Masa Yang Berlalu

Terpapar di muka depan akhbar Harian Metro hari ini(Rabu 7 Mei 2008) tentang DJ radio yang dicekup ketika sedang dipengaruhi dadah. Siapalah DJ tu ya?

Cuma sayang kerjaya yang sebaik itu boleh menjebakkan diri ke kancah yang negatif? Betul apa sekalipun bidang kerjaya sekiranya kita lalai dan mengabaikan nilai-nilai murni, tidak mustahil gejala buruk akan menelanjangi. Tapi sekurang-kurangnya kerjaya ’ menyeru’ dan mendorong masyarakat untuk bersikap ampuh tentunya tidak wajar dibabitkan dengan aktiviti songsang sedemikian.

Cabaran ini sudah ada sejak dulu lagi. Cuma bergantung kepada kekuatan dalaman. Sekiranya berfikiran panjang, ingatkan keluarga,masa depan dan untung rugi apabila berpindah ke alam satu lagi insyaAllah perkara itu mampu dijauhi.

Teringat ketika terlibat dengan PJSN. Pernah rombongan PJSN yang menginap di hotel menjadi perhatian pihak berkuasa termasuk dari Pejabat Agama. Kecut perut juga apabila ada rakan artis yang mengadu pintu hotel mereka diketuk. Tapi mujur tiada ada apa-apa, sekadar serkap jarang atau aduan daripada mereka yang punya agenda tertentu. Tapi entahlah jika ada yang berlaku di luar pengetahuan.

Semoga rakan-rakan DJ/penyiar lain ambil iktibar. Ingatlah nak popular bukan satu perkara yang mudah, jangan pula apabila dah popular musnahkannya sekelip mata!




Menemubual tetamu dalam segmen
RS69 di Radio Satu pada tahun 2000


Masih dengan Harian Metro. Menyelak ke halaman tengah. Terpampang Sarimah ’Kah Mah” Ibrahim yang kini tengah sibuk mengacarakan Diari Akademi Fantasia 6.

Tak nak sentuh apa-apa. Cuma terbaca ungkapan buat saspen aje sudah menjadi trademark atau jenama. Maknanya menjadi sebutan ramai.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencipta ungkapan agar mudah bermain di bibir ramai.

Teringat pada ungkapan yang pernah menjadi jenama juga sepanjang program Pujaan Sepuluh Nescafe ke udara sejak akhir 89an….Jaga Diri Hiasi Peribadi.

Ianya timbul spontan sewaktu menaip skrip. Sampai pada penutup, tercari-cari apakah perkataan sesuai yang boleh digunapakai berulang kali. Biar mudah disebut dan tersirat makna yang mendalam.

Banyak yang dicuba akhirnya melekat pada Jaga Diri Hiasi Peribadi. Jaga diri sebenarnya pernah menjadi ungkapan pada lirik lagu yang hasilkan untuk dicipta dan dinyanyikan oleh Khairil Johari Johar .

Jaga Diri bersifat luaran dan perlu diseimbangkan dengan dalaman. Dari situlah timbul Hiasi Peribadi yang mungkin dikutip daripada tajuk buku Tasauf- Mengenai Diri Dan Wali Allah karya Mustafa Al Jiasi yang membahaskan ciri-ciri mulia kerohanian yang perlu ada dalam diri individu yang beriman. Dalam ertikata lain sifat-sifat murni yang perlu dipupuk.

Lalu terhasillah Jaga Diri Hiasi Peribadi. Ada unsur jasmani dan rohaninya.

Ungkapan itu bukan sahaja digunakan pada program PJSN malah setiap kali mengakhiri tugas di bilek hubungan(konti).

Tetapi sejak meninggalkan bilek hubungan ungkapan itu tidak lagi kedengaran di udara sehinggalah pada suatu hari ianya kedengaran diucapkan oleh seorang penyampai berita wanita RTM 1. Dan mengikut kata kawan-kawan, penyampai berita tersebut sering kali mengunakannya. Cuma belum kesempatan untuk bersemuka dengan beliau dan bertanya khabar dari mana ungkapan itu diperoleh? Apakah pernah kedengaran seseorang pernah mengucapkannya atau pernah tercatat di mana-mana?

Sehingga bertemu lagi..Jaga Diri Hiasi Peribadi.

Tentang PSJN Lagi?

Ya masih kerana jika tidak memori ini tidak dapat dikongsi. Sekurang-kurangnya untuk tatapan rakan penyiar generasi baru bahawa tugas sebagai juruhebah atau dj menuntut pelbagai kemahiran. Bukan sekadar pandai berceloteh…percayalah. Dan tiada jalan singkat untuk berjaya.

Teringat beberapa konsert akhir PJSN untuk mencari lagu paling popular solo dan berkumpulan. Konsert pertama (terlupa tahunnya) berlangsung di Auditorium Perdana. Disiar secara live menerusi radio Rangkaian Nasional ketika itu tetapi rakamannya disiarkan di TV 1 beberapa hari kemudian.

Lagu solo popular- Kekasih Awal & Akhir(Jamal Abdillah) dan lagu popular berkumpulan-Di Alam Fana Cintamu(Fatamorgana)

Pada konsert peringkat akhir itu Raja Azura menjadi co host. Puncanya Azura dipilih apabila penerbit Othman Haji Mohd. ingin mencuba bakat beliau yang ketika itu berlakon dalam drama Pendekar.

Bersama Raja Azura dalam Konsert Puncak PJSN

Akhirnya idea itu menjadi. Melalui Konsert PJSNlah Raja Azura dikenali sebagai pengacara yang tidak kurang hebatnya pada hari ini. Ini dijelaskan sendiri oleh beliau ketika diwawancara oleh sebuah stesen radio swasta lewat tahun 2007. Wah…ada juga jasa PJSN ye….

Rakan artis lain yang turut sama menjadi pasangan pengacara ketika konsert PJSN termasuk Haliza Misbun dan Vanida Imran.

Apapun PJSN berakhir di Dataran Merdeka pada tahun 1997. Selepas itu PJSN kembali menjadi Pujaan Sepuluh. Tidak lama selepas itu tugas mengacarakan program itu diambil alih oleh Daud Abdullah.



Berdampingan dengan Vanida Imran juga dalam Konsert Puncak PJSN

Tidak berapa lama kemudian muncullah beberapa konsert carta lagu-lagu popular menyerupai PJSN lebih-lebih lagi melalui tv.

Sejak itu PJSN menjadi kenangan. Sekiranya konsert-konsert yang ada pada hari ini boleh berbangga mengumpulkan ribuan penonton, PJSN telah mendahuluinya.

Apapun cabarannya tetap ada. Penonton buat kecoh sehingga ada batu yang bertabur di atas pentas walaupun setelah puas meminta mereka memberi kerjasama agar tidak fanatik-cukup sekadar menganggap ia sebagai hiburan bersantai. Tapi siapa yang dapat mengawalnya….




Dua paparan diatas adalah kenangan ketika Konsert Puncak terakhir
PJSN pada tahun 1997 di Dataran Merdeka

Budak Pendiam Menjual Suara?


Lahir di bumi Chemor, Perak. Tempat kelahiran tokoh akademik Aminuddin Baki, penulis Malungun dan bekas Ketua Turus Tentera Laut DiRaja Malaysia, Laksamana Dato Mohd. Zain Salleh.
Nama-nama besar tersebut menjadi pendorong untuk budak ‘cekeding’ berambut separa afro-look ini mengukir nama.
Tidak siapa menyangka budak pemalu dan pendiam itu akhirnnya menjual suara sebagai juruhebah radio.
Lihatlah perbezaan imej yang ketara namun mempunyai persamaan, di sebalik kelainan, watak ini masih kekal pemalu dan pendiam. Apa tak percaya…….?


Tentang KASTURI


Kasturi adalah akronim Karyawan Seni Angkasapuri. Sebuah perkumpulan yang bercita-cita untuk menggiatkan aktiviti kesenian dalam kalangan anggota petugas di Angkasapuri.
Tercetus pada sekitar awal 90an. Bermula dengan bual-bual kosong akhirnya menjadi realiti. Namun pendokong asalnya ada yang telah kembali kerahmatullah dan bersara.
Ia sebenarnya berhasrat untuk aktif. Tapi lantaran kepicikan masa dan komitmen yang terbatas, Kasturi hanya muncul pada ketika diminta untk membuat persembahan.
Bercita-cita untuk mengendalikan majlis baca puisi persis yang dianjurkan Pena, namun masih belum kesampaian. Apapun ia hampir-hampir menjadi realiti apabila mantan Menteri Penerangan, Dato Seri Zainuddin Maidin mengusulkan aktiviti seni diadakan di perkarangan Angkasapuri.
Bak pucuk dicita ulam mendatang. Bersama rakan Saiee Driss, satu kertas cadangan dikemukakan hingga ke peringkat direktorat. Tapi sayang masih belum kesempatan untuk direalisasikan sehingga Saiee pun bersara.
Menerusi Kasturi ramai juga pendokong jiwa seni dalam kalangan petugas di Angkasapuri terlibat dalam beberapa aktiviti peringkat jabatan. Terciptanya lagu Megah Di Angkasa sempena 60 tahun RTM juga adalah menerusi lonjakan semangat Kasturi. Selepas itu adalah beberapa majlis lain yang Kasturi terlibat sama.
Terbaharu sewaktu diminta beraksi oleh Puspanita RTM sempena Malam Mesra Kasih Puspanita mengalu-alukan kehadiran Menteri Penerangan baru, Dato Ahmad Shabery Cheek pada 28 April lalu.

Tuesday, May 6, 2008

Nostalgia dari album lama


Bersama vokali utama kumpulan
Putra,Meditasi,Dinamik dan Melissa
di Kuala Pilah Negeri Sembilan
Kanan sekali adalah Radhi



Imej Radzi Melissa terkini


Bersama Hetty Koes Endang...
masih ada perasaan malu - malu kucing



Aishah(Janji Manis Mu)
Dalam sesi temubual ketika lagu itu menjadi
juara
Pujaan 10 Nescafe



Penonton berasak untuk menyaksikan konsert PJSN




Aksi ELLA dalam Konsert pertama
PJSN di The Mall, Yaohan





Pengalaman pertama mengendalikan
Konsert berpenonton....
semasa rehearsel di The Mall, Yaohan

Seharum Nostalgia

Teringat ketika mengendalikan Pujaan Sepuluh Nescafe yang begitu menyerlah sekitar tahun 1990 hingga 1997. Berlegar-legar di halaman kenangan sewaktu menerima misi untuk menerajui rancangan carta yang menjadi perhatian ketiku itu. Gabrah bercampur bangga. Namun atas galakkan bos ketika itu Abdul Majid Kayat ,tugas mencabar tersebut digagahi jua.
Penerbit yang ditugaskan adalah Salasiah Zakaria. Bermula di studio sehingga membawa ke pelusuk tanahair dengan roadshow membawa misi mencari lagu popular solo dan berkumpulan.
Tanpa disangka pihak tv berkenan pula untuk menyiarkan siaran pertandingan akhir. Bertambah satu lagi 'himpitan'. Tapi diteruskan juga dengan seribu satu persoalan," boleh ke aku buat yang terbaik?"
Apapun atas semangat dan minat, segalanya berlalu dengan 'selamat'. Al maklum Pujaan Sepuluh Nescafe (PJSN) ternyata membawa nafas baru pada rancangan berpenonton radio pada tahun-tahun tersebut. Peminat usah ceritalah. InsyaAllah melalui blog ini nanti akan dilakarkan mana-mana kenangan yang masih segar diingatan.
Cuma pada kesempatan ini ingin melahirkan ungkapan takziah pada mereka yang pernah dikenali menerusi PJSN seperti Fendi(A To Z ) dan Husni (Utopia) yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini. Semoga roh mereka dirahmati Allah SWT jua.

Satu lagi perkembangan ialah apabila terbaca majalah hiburan URTV edisi April 2008 yang memaparkan 'peralihan' ke dimensi baru vokalis Melissa, Radhi mengikuti jejak Sheqal dan Izam EYE. Mereka semua pernah menjadi teman bertepuk bertampar setiap kali membuat roadshow PJSN. Alhamdulillah, mereka kini khabarnya lebih tenang dan damai.

Pada kesempatan ini dipaparkan beberapa imej yang masih tersimpan dalam album kenangan untuk tatapan bersama. Sehingga bertemu lagi....JAGA DIRI HIASI PERIBADI.