Wednesday, December 31, 2008

Lalu 2008 Pun Melabur Tirai

Ini mungkin posting terakhir untuk tahun 2008. Adios 2008. Tahun yang banyak mengajar perkara baru dalam usia yang semakin memanjat tua ini. Baru beberapa hari lepas melangkah tahun baru Hijrah. Esok satu lagi kehadiran tahun baru akan dilalui.

Kalau nak diikutkan kehadiran tahun baru sering dikaitkan dengan azam. Tapi saya mengaitkannya dengan 'lembaran usaha pada kanvas masa'. Saya akan mulakan lakarannya sebaik detik 12 tengah malam ini berdenting. Targetnya tentu pada sesuatu yang meyakinkan samada untuk urusan dunia hatta yang lebih muluk untuk hari kemudian.

Saya juga tidak percaya pada meraikan detik tahun baharu dengan laungan dan sorakan yang sekadar berseronok-seronok sedangkan yang diraikan itu adalah 'rantai' masa yang semakin mengikat usia untuk terjun ke lembah akhir kehidupan. Masihkah kita teruja dengannya atau harus ada rasa gementar?

Malam ini pasti beberapa lokasi samada di Ibu Kota atau di seluruh negara akan menjadi tumpuan oleh golongan muda khasnya untuk meraikan kehadiran detik 12 tgh malam dengan cara mereka. Walaupun ada saranan yang menganjurkan agar tidak ada majlis seperti itu diadakan sekurang-kurangnya untuk berkongsi 'merasa' simpati pada beberapa insiden menyayat hati yang menimpa negara dan dunia namun siapa dapat menghalangnya selain 'kesedaran dan keinsafan' yang terbit dari sanubari individu itu sendiri.

Saya tertarik membaca tentang pendapat dua pemuda bukan Islam dalam akhbar The Star hari ini. Menurut mereka, mereka tidak akan turut serta dalam apa jua parti yang diadakan untuk menyambut tahun baru. Mereka dilaporkan tidak 'senang' terbabit dengan kumpulan yang akhirnya akan menghabiskan masa berhibur dan membuat aktiviti tidak sihat. Sementara seorang daripada mereka pula akan menyambut kedatangan tahun 2009 di samping keluarga sambil menilai prestasi tahun yang bakal ditinggalkan, 2008. Saya terharu dengan pendapat dan pendirian mereka dan semoga terdapat ramai lagi yang mendokong aspirasi sedemikian. Harap-harap 'perhimpunan' malam ini akan lesu.

Tidak kurang ada juga pihak yang akan mengadakan xpdc dakwah untuk 'meredakan' sedikit ho-ha yang melemaskan. Musykil bagaimana jiwa-jiwa muda boleh senang dengannya. Jiwa tua saya siang-siang lagi sudah tidak betah.

Saya masih teringat pada satu pendedahan salah seorang imam Mesjid Negara dalam satu sesi kuliah sekitar tahun 90-an yang sempat saya hadiri. Menurut beliau sebaik selesai satu-satu majlis sambutan yang membabitkan himpunan luar biasa anak muda terutama di Dataran Merdeka, keesokan harinya akan terjumpa bahan-bahan seperti kondom terpakai dan sebagainya yang bersepah. Aduhai, malang nasib yang menimpa bangsaku. Itu sekitar tahun 90-an. Malah mengikut maklumat terbaru yang diperoleh senario ini berterusan dan bertambah 'hebat'.

Marilah sama-sama kita menjalankan peranan memulihkan fenomena ini. Yang jelas ia bukan mudah dan perlukan 'jihad' yang ikhlas. Semoga alam tidak akan terus 'marah' dengan memberi amaran akibat keluwesan kita sendiri. Tetapi ironinya itu bukan sekadar kemarahan alam tapi adalah amaran Yang Maha Kuasa.

Tuesday, December 30, 2008

Drama Dan Skrip Yang Serupa

Semalam semasa di Tesco berhadapan dengan 'peragut' yang suka mengambil kesempatan untuk memperdayakan orang. Saya katakan 'peragut' kerana sikap mereka yang menyerbu dan menerjah tanpa diundang dengan menawarkan peluang 'keemasan' yang pada peringkat 'memancing' dengan 'jujur' mengatakan si mangsa tidak perlu membayar apa-apa pada habuan yang bakal diperoleh kelak.

Kisahnya begini:

Sebaik menuju ke tempat letak kereta sambil menyorong troli yang sarat dengan barangan belian, saya diterpa oleh seorang pemuda berbangsa asing yang ingin menawarkan sesuatu tanpa diundang. Kononya saya layak untuk memperoleh ganjaran tanpa mengeluarkan modal. Kerana telah tercium permainan kotor mereka dengan spontan saya menolak dan pemuda itu terus berlalu. Namun episod itu tidak berakhir di situ. Semasa saya sedang memunggah barang-barang dari troli ke dalam kereta sekali lagi saya didatangi, kali ini oleh tiga 'jurujual' berbangsa asing yang saya pasti rakan pemuda yang pertama dengan tujuan yang sama iaitu untuk memperdaya saya dengan taktik 'belit' mereka.

Kali ini dengan perasaan geram saya tidak lagi menampilkan sikap yang pasif walaupun seorang daripada mereka cuba beramah mesra. Kebetulan pada ketika itu saya dapat rasakan pemilik kereta yang berada di hadapan kereta saya telah menjadi 'mangsa'. Dari jauh saya dapat lihat 'peragut' tadi melonjak kegembiraan sambil bersalaman dengan si pemandu. Dari situ saya sudah mengagak perangkapnya sudah mula mengena. Andaian saya menjadi lebih konkrit apabila saya terlihat pemangsa melambai rakannya yang berada tidak jauh dari situ untuk datang segera.
Sekali lagi drama dan skrip mereka dapat saya agak. Rakan yang baru datang tadi turut melonjak keriangan apabila dia unjukkan oleh rakannya sekeping kad yang saya percaya adalah kad gores dan menang.

Dalam hati saya pasti dialog mereka pada mangsa adalah" Awak sangat bertuah kerana telah berjaya memenangi hadiah lumayan yang belum pernah dimenangi oleh sesiapapun selama ini". Saya berani mengatakan demikian kerana tidak lama dulu saya juga turut terpedaya dengan kejadian yang sama malah banyak sekali laporan dan tangkapan yang didedahkan dalam media terhadap sindiket yang menggunakan modus operandi yang tidak bermaruah ini. Saya berasa lega apabila mendapati 'mangsa' yang saya maksudkan tadi berlalu pergi. Semoga sandiwara tersebut berakhir di situ.

Berbalik pada pemuda dan dua rakanya yang cuba 'bermesra' dengan saya tetapi tidak menjadi itu kelihatan bercakap sesama sendiri dan 'buat-buat bodoh' apabila saya terus merenung tepat ke arah mereka dan meninggalkan tempat itu dengan perasaan geram di hati kerana keseronokan membeli belah dirosakkan oleh insiden berkenaan.

Saya tidak pasti apakah pihak pengurusan Tesco sedar akan gejala ini yang jika dibiarkan pasti akan terus berleluasa dan menyuburkan budaya negatif dalam kalangan masyarakat serta mencemar keharmonian suasana.
Itu belum mengambil kira perangkap mereka yang mengena di mana mangsa akan 'terpujuk' dan tidak pasal-pasal membeli sesuatu dengan sejumlah wang yang bukan kecil. Oleh berhati-hatilah.

'Memburu' Di Saat-Saat Akhir

Ketika menemani anak-anak membuat last minute shopping di Tesco Kajang, sempat juga menyelitkan posting ini. Tak perlu tunggu sampai di rumah baru menghadap komputer. Betapa 'precise'nya gaya hidup sekarang.

Tadi sebelum ke Tesco, singgah dulu ke bandar Kajang untuk mencari mesin ATM. Aduhai memang benarlah keluhan ramai yang didengar sebelum ini bahawa bandar Kajang memang sesak. Seketika ternampak dua anggota polis yang sedang membuat rutin mengeluarkan surat saman kepada pesalah-pesalah trafik lantas saya bertanya " Encik tak ada ke anggota polis trafik yang menjaga lalulintas?" Jawabnya ringkas " Tak tahulah encik". Dalam hati saya berkata "Mana lebih utama menyaman satu dua pesalah atau meredakan dulu puluhan kenderaan yang terhensot-hensot di bawah terik mentari?" Lalu tersepitlah saya di celah-celah kesesakan jalanraya yang sebenarnya boleh diatasi dengan mudah dengan membuat sedikit peraturan aliran trafik yang sistematik.

Monday, December 29, 2008

Mengimbau Kisah Lalu

Baru malam tadi selepas melawat cucu saudara yang lahir Sabtu lalu, singgah membasah tekak di Restoran Mehbub yang terletak di Lucky Garden, Bangsar. Restoran ini sebenarnya tempat bersantai pelbagai peringkat masyarakat termasuk hakim dan artis.

Ketika menikmati capati dengan air suam terpandang Papa Rock, Ramli Sarip mampir bersama keluarga barangkali. Dia mungkin tidak perasan sekiranya saya memperkenalkan diri tetapi beliau pernah menjadi tetamu rancangan kelolaan saya, Pujaan 10 Nescafe.

Saya masih ingat lagi ketika itu lagu Doa Buat Kekasih sedang top. Justeru pada satu hari ahad beliau dan rakan duetnya dalam lagu itu, Khadijah Ibrahim menjadi tetamu saya sambil membawakan lagu tersebut secara live.

Ketika itu PJSN sedang memuncak dan menjadi platform untuk meraih 'bonus' populariti. Sebut sahaja PJSN boleh kata majoriti artis ketika itu cukup teruja untuk turut terlibat. Saya masih ingat apabila perlu merakamkan rancangan itu selewat satu atau dua pagi, artis yang dijemput sebagai undangan tidak pernah menolak seperti 4U2C dan KRU.

Berbalik pada Ramli Sarip, beliau ternyata mudah didekati. Masih jelas terbayang bagaimana beliau datang pagi ahad itu dengan identiti beliau, berkurta dan bercelana batik. Pagi itu Ramli dan Khadijah live menerusi PJSN sambil melayani panggilan peminat.

Untuk mengimbau kembali nostalgia PJSN, saya bercadang untuk tampil dalam program Rock Klasik kelolaan DJ Amy di Melaka Fm pada tahun 2009.
Khuatir juga sama ada saya mampu lagi atau tidak untuk mengimbau kembali gaya persembahan yang telah saya tinggalkan hampir 10 tahun. Apapun ungkapan Jaga Diri Hiasi Peribadi akan bekumandang kembali di ruang udara. Nantikan.

Ulasan Upacara Pemakaman

Tadi sempat mengikuti ulasan istiadat pemakaman Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman menerusi Klasik Nasional oleh rakan-rakan Hj Khalim Rohani dan Hj Daud Abdullah. Saya tabik dengan keupayaan mereka membuat ulasan. Terus terang dikatakan bahawa membuat ulasan upacara sebegini bukan boleh sembarangan. Ia perlukan persediaan rapi dan pengalaman luas dan kedua-dua rakan saya itu memiliki ciri-ciri tersebut. Syabas.

Saya sendiri mengakui tidak banyak pengalaman dalam bidang ini. Apapun saya pernah juga terlibat dalam upacara pengkebumian mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba di Makam Pahlawan, Mesjid Negara. Saya masih ingat lagi pada upacara itulah seorang pengulas muda dari sebuah stesen tv swasta yang mendapat teguran kerana membuat ulasan upacara sayu dan sedih itu seolah-olah sedang mengacarakan sebuah rancangan hiburan.

Sebenarnya ketika menonton laporan dari lokasi menerusi Berita RTM Satu Sabtu lepaspun saya tertengok seorang wartwan penyiaran yang berpotensi juga turut 'kelam kabut' ketika membuat ulasan. Sudahlah tidak mengawal nada suara agar nampak 'solemn', beliau juga kelihatan tidak cermat memilih dan menggunakan istilah seperti jenazah dihantar dan tersasul menggunakan gantinama beliau yang sepatutnya baginda. Mungkin atas alasan itu pengulas waktu berikutnya dipikul oleh rakan beliau yang kelihatan lebih bersedia.

Justeru melakukan ulasan dalam bidang ini bukan sekadar tangkap muat atau bersandarkan pengalaman mengulas rancangan yang mempunyai suasana yang santai atau bersahaja. Penyiar RTM harus sedar tentang itu sekiranya ingin disegani rakan-rakan dari stesen pesaing.

Sayu Menyelubungi

Sayu menyelubungi apabila mendengar khabar kemangkatan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman awal Sabtu lepas. Sehari sebelum itu sempat menatap wajah Almarhum ketika merasmikan Kompleks Penyiaran Negeri Sembilan dalam Buletin MOI terbaru.

Sebagai penyiar dan rakyat yang dinaungi Almarhum Tuanku semasa menjadi SPB Yang DiPertuan Agong kenangan berhaga saya ialah apabila diberi kesempatan membaca suara latar dalam dokumentari khas radio dan tv tentang Almarhum satu ketika dulu. Tidak terkira rasa berbangga diberi peluang sedemikian.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat pada roh Almarhum.

Pagi ini pula dapat perkhabaran ayahandah Hjh Rukiah Hj Ramlan kembali
Ke rahmatullah jam 3.30 pagi tadi(1 Muharram). Dan maklumat menyatakan bahawa Hjh Rukiah kini berada di Tanah Suci Makkah.

Hjh Rukiah atau mesra dengan panggilan Ibu Kiah adalah antara bekas penerbit drama radio tersohor RTM. Tentang ayahanda ibu Kiah setahu saya semaa hayatya adalah seorang guru al quran. Secara tidak langsung saya mengenali almarhum ketika sama-sama menadah kitab dan bertalaqqi dengan guru Al Quran yang tidak asing lagi Dato Hj Hassan Azhari di Pusat Yayasan Dakwah Islamiah(YADIM) sekitar tahun 90-an.

Semoga roh Almarhum Hj. Ramlan dilimpahi rahmat Allah SWT dan ditempatkan
dalam kalangan roh para solihin dan mereka yang memuliakan Al Quran. Amin.

Saturday, December 27, 2008

Traffic Jammed In Melaka?

Great. Caught in a middle of a heavy traffic jam, right here in Melaka.Just because outsiders are pouring in for the Rumah Terbuka Krismas at the Portuguese settlement tonight i guess. I spend almost ten minutes to reach the office from the AMJ highway fly over(a few hundred meters away) which usually takes only a few moment.

Furthermore i was compounded for not showing my car parking coupon. It cost me RM 30to simply parked my car for not more than 4 minutes, while withdrawing money from a bank in Hang Tuah Mall. The charge is 40 sen for half an hour. Just see how 'they' make money.

I would suggest that car parking fee should be exempted in the country's world heritage city so as to woo more visitor to come over.

Wednesday, December 24, 2008

Lega Bila 'Jantung' Dapat Berdegup Selesa

'Orang miskin, pendapatan rendah tidak diabai sementara pesara, kakitangan kerajaan terus dapat manfaat, sekiranya Institut Jantung Negara(IJN) jadi diswastakan.Janganlah pula disaat ekonomi dunia tergugat sehingga membabitkan ramai yang terpaksa diberhentikan kerja, timbul pula 'bebanan' untuk memperoleh rawatan gejala bersangkutan jantung. Tentu keadaan ini akan 'melemahkan' denyutan' jantung hatta yang tidak sakit sekalipun.

Veteran RTM (ii)

Teringat pula saya pada seorang lagi veteran RTM yang juga bernama Hashim iaitu Mohd. Hashim Hassan(Dato, Allahyarham). Pak Hashim(gelaran mesranya ketika itu) merupakan perintis penyiaran moden negara kita. Saya percaya penyiar generasi kini tidak mengenali Allahyarham sementelah saya sendiri pun ketika 'berkenalan' dengan beliau sekitar awal sembilan puluhan,usia Pak Hashim sudah melewati 70-an.

Pak Hashim hebat dalam bidang kewartawanan dan kariernya bermula ketika Radio Malaya masih beroperasi dari Singapura lag. Beliau seorang yang 'soft spoken' dan bertutur dengan jelas dan satu persatu.

Saya masih ingat dalam satu perbualan, Pak Hashim dengan bangga tapi rendah hati menyatakan bahawa gelaran Angkasapuri lahir dari ilham beliau. Menteri Penerangan ketika itu Datuk Senu Abdul Rahman meminta beliau mencari satu nama yang sesuai untuk kompleks penyiaran unggul negara.

Lalu timbullah Puri Angkasa. Menurut Pak Hashm, Puri bermaksud Istana sementara Angkasa adalah rujukan kepada bidang penyiaran. Idea beliau itu diterima dan digunakan dengan sedikit perubahan menjadi Angkasapuri.

Jika tak salah ingatan saya bahawa beliau jugalah yang mengesyorkan pemakaian baju batik oleh kakitangan sektor awam pada setiap sabtu pada satu ketika dulu.

Dalam dunia peniaran, Pak Hashimlah yang memperkenalkan 'telefon show' di radio hasil pengamatannya ketika berada di Amerika Syarikat.

Antara kata-kata hikmah Pak Hashim ialah bantulah mereka yang memerlukan selagi kita ada kemampuan dan kuasa dan kepada wartawan muda samada media cetak atau elektronik pesanan Pak Hashim ialah banyakkan membaca serta bekerjalah dengan rajin dan tekun.

Paling terkesan bagi saya apabila mengenali Pak Hashim ialah apabila membaca pojok beliau dalam akbar Utusan Malaysia, Sekali Pensil Diraut, yang tersiar setiap hari Rabu dan saya tidak pernah terlepas dari menatapnya.

Al Fatihah buat Allahyarham Datuk Hashim Hasan.

Tuesday, December 23, 2008

Veteran RTM

Ahad lalu terima sms mengatakan veteran RTM, Datuk Hashim Embi kini berada di Hospital Selayang akibat menderita kanser prostat. Setakat ini belum terima apa-apa maklumat terbaru tentang beliau.

Sejenak terkenang pada Datuk Hashim yang dulu lebih mesra dengan gelaran abang Hashim. Apa yang masih berlegar di kotak ingatan ialah beliau memiliki suara 'berat' atau deep voice. Beliau merupakan penyampai berita radio dan televisyen yang disegani. Kali terakhir saya bertemu abang Hashim ialah apabila menjalani konsert Pujaan 10 Nescafe di Kuantan hampir lima belas tahun lalu. Ketika itu abang Hashim ialah Pengawal(kini Pengarah) Radio Tiga Pahang. Beliau mungkin nampak 'sombong' tetapi beliau sebenarnya cukup mudah mesra dan seorang yang tidak lokek dengan ilmu khususnya ilmu penyiaran.

Semoga Datuk Hashim beroleh kesembuhan dan diberi kekuatan menghadapi ujian Allah SWT ini.

SMS Berantai

Selang lima hari saya menerima dua sms berantai. Keduanya membabitkan berita cemas lagi menggerunkan kita umat Islam. Kononnya berlaku penetrasi dari agama lain yang menggugat keharmonian umat Islam.Juga didakwa berlakunya murtad pada dua individu Islam termasuk seorang bergelar Datuk dan pernah mengharumkan nama negara di persada dunia. Na'uzubillah min zalik.

Seterusnya satu lagi sms juga berbau sama. Ada golongan 'agamawan' dari negara jiran yang terdiri dari umat Melayu kini menjalankan usaha memurtadkan umat Islam di negara ini. Lebih menggerunkan ialah terdapatnya senarai air mineral yang mempunyai jenama tertentu yang berbau Islamik yang dikhabarkan telah dicampur dengan sejenis air suci yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Kenyataan terakhir sms berkenaan ialah memohon si penerima supaya sebarkan sebanyak mungkin sms yang diterima atas nama menyelamatkan agama Islam.

Persoalannya ialah sejauh mana kesahihan berita ini.Bagaimana pula respons pihak berkuasa terhadap isu yang dibangkitkan? Jika benar, ia sesuatu yang amat malang dan perlukan perhatian dan tindakan serius dari pihak berwajib termasuk dari umat Islam sendiri. Seandainya palsu, siapakah yang terjerat dan siapa pula yang menangguk di air keruh?

Inilah sebenarnya ancaman umat Islam hari ini. Bukan sekadar di muncung meriam dan senapang tapi turut terkesan di hujung jari yang berplatformkan dunia ICT.Seandainya ia suatu permainan kotor, berhati-hatilah.

'Jebat' Ekspress

Jika dulu Jebat Ekspres merupakan nama syarikat bas ekspress KL-MELAKA-KL yang popular. Entahlah samada perkhidmatan itu masih ada atau tidak. Bukan apa, terkenangkan Jebat Ekspress hari ini kerana saya mengalami sebahagian kecil dari rutin seorang pemandu bas ekspress-pergi balik dari Melaka ke KL dan sebaliknya dalam masa enam jam.

Gara-gara ada urusan penting di Pusat Berita Radio(pejabat lama) yang perlu dilangsaikan hari ini juga. Urusan tersebut mengambil masa hanya kira-kira setengah jam dan ia cuma dimaklumkan petang semalam. Bergegas ke KL kira-kira 11.30 dan tiba semula ke Melaka jam 5.30 petang.

Kononnya dapatlah merasai rutin seorang pemandu bas ekspress yang sebahagian masanya dihabiskan di atas jalanraya. Yang 'ajaib'nya ialah perjalanan kali ini tidak ditemani rasa mengantuk, tidak seperti selalu sehingga terpaksa mengunyah kacang sepanjang perjalanan untuk mengelak mata layu.

Konon-konon menjadi 'jebat'lah hari ini dengan semangat yang luar biasa lebih-lebih lagi mengenangkan banyak kerja di pejabat yang perlu disempurnakan menjelang tahun baru.

MELAKA-KL-MELAKA IN HALF A DAY

Got to rush to KL for some unprecedented important matters at my previous office in Pusat Berita Radio. Departed at 11.30am. Reached two hours later. Settled by two and head back to Melaka after lunch. What a day.Uh.

Year Ends: From Better To Worst?

Getting forgetfull lately? That's what happened this morning-hardly mention a name that are familiar to me. And to get things worst, i even asked a shopkeeper some groceries that i bought which was already held in my hand. Uhh.

Monday, December 22, 2008

'Selera' Percutian

Sedikit terharu sewaktu menikmati makan tengahari apabila melihat sekumpulan pengunjung yang saya agak dari dua keluarga datang untuk menjamu selera.

Mendengar perbualan jelaslah mereka datang ke Melaka untuk menikmati percutian. Seronok melihat masing-masing berselera menikmati makan tengah sambil dibelai angin laut,

Terharu kerana musim percutian ini tidak dapat membawa keluarga bersantai sambil menikmati alam. Ini kerana terpaksa menguruskan pertukaran isteri ke Melaka. Semoga aktiviti percutian akan kembali dinikmati menjelang cuti penggal sekolah akan datang. Dan pastinya Melaka tidak lagi menjadi destinasi(seperti sebelum ini) lantaran bumi HangTuah kini telah menjadi tempat tinggal.

Setahun Hanya Sekali

Semalam ada urusan di Maxis Center di The Garden, Mid Valley. Sewaktu berurusan di kaunter terpandang ke arah jam digital Paparannya cukup uni & menarik dan ia hanya muncul sekali dalam setahun. Lihat:

12211221

Jam 12. 21 tgh pada 21 Disember. Boleh diandaikan sebagai easy-easy(senang-senang) Uh.

Saturday, December 20, 2008

Pasang Surut Air Laut(ii)

A bit down. Kaji punya kaji rupa-rupanya baru beberapa hari melepasi genap enam bulan penghijrahan ke Melaka.Pulang pohon, meminjam istilah orang dulu-dulu apabila genap tempoh tertentu sesuatu peristiwa penting itu berlaku. Kebiasaannya orang akan menilai sesuatu keberkesanan usaha atau tindakan itu setelah mencapai tempoh 90 hari. 90 hari secara relatifnya boleh dianggap tempoh yang ideal untuk menilai hasil usaha yang dilaksanakan.

Tetapi saya mengambil enam bulan atau 180 hari untuk duduk sekejap dan membuat kira congak atas inisiatif sepanjang menerajui bahagian rancangan Melakafm.

Berbekalkan pengalaman yang terhad saya meredah belukar yang didiami oleh penghuni yang sudah 'selesa' dengan situasi yang ada. Tentu tidak adil bagi saya untuk turut selesa sedangkan masih banyak ruang dan peluang baru untuk diterokai. Lalu saya pun mendayung sampan ke tengah lautan sambil melontar pancing. Enam bulan saya memancing tanpa jemu. Perlu betungkus lumus memenangi hati teman-teman . Mengajak mereka berdayung bersama-sama. Ada waktu saya mendorong mereka untuk tampil dengan idea baru untuk 'memperoleh' lebih banyak ikan. Dalam waktu yang sama perlu memikirkan tentang keluarga yang berada jauh di mata. Perlu juga mengeluarkan sejumlah wang untuk menyewa rumah dan ongkos pulang balik ke Kuala Lumpur setiap minggu sedangkan rakan-rakan lain tidak perlu memikirkan soal itu di samping selesa berada di sisi keluarga hatta menetap di 'kampung' sendiri. Ikut adat mereka seharusnya lebih bersedia untuk 'merangkul' anjakan demi melakukan perubahan berbanding saya yang kerdil ini.

Selepas 180 hari berlalu saya belum mampu membuat rumusan awal atas inisiatif setakat ini. Lagipun saya sebenarnya tidak layak berbuat demikian. Biarlah pihak atasan membuat penilaian. Meminjam pantun Seri Mersing, 'Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu,dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu'

Apapun saya tetap menaruh kepercayaan dan keyakinan bahawa kami di Melaka fm mampu menjanjikan sesuatu yang Menarik & Meyakinkan pada pendengar sepanjang 2009 kerana percaya yang saya di kelilingi oleh teman-teman yang istimewa, berpotensi dan bersedia untuk maju.

Apa Ada Pada Nombor(iíi)

Seperti biasa kembali berhujung minggu di Kuala Lumpur. Sempat singgah di Gerai Abah. Apa lagi ketemu yang unik dan menarik. PL3 dan NJ2. Uh.

Pasang Surut Air Laut

Sebenarnya seminggu dua ni 'a bit down'. Tak tahu mengapa. Apakah akibat faktor dalaman atau persekitaran. Itulah dinamakan manusia. Yang jelas boleh kata aktiviti rutin dilaksana dengan 'kegagahan' yang tidak menyeluruh. Terpaksa banyak bermonolog dengan diri sendiri. Banyak mencari jawapan pada persoalan yang timbul mendadak. Untuk mencari 'pelarian' digagahi menyibukkan diri membuat skrip dan mencetuskan melodi untuk dijadikan drama berlagu sempena menyambut awal Hijrah. Mungkin itulah 'penawar' seorang anak seni. Dapat meleraikan gelodak rasa lewat 'escapisme' karyanya.

Friday, December 19, 2008

Ada Apa Pada Nombor (ii)

Sewaktu meluncuri jalanraya di sekitar bandaraya Melaka selepas Maghrib tadi kerana mencari farmasi untuk mendapatkan penawar gout(yang hampir melanda), terserempak dengan dua biji kereta yang mempunyai nombor pendaftaran yang unik dan menarik.

Yang pertama ME21(saya mengagak pemandunya bernama Mizi) yang meluncur bersebelahan saya dan sebuah lagi KAL1515. Uh.

Aduhai

Petang tadi hadiri mesyuarat di sebuah kantor besar. Pengerusinya juga seseorang yang besar. Rupa-rupanya ia menuntut kesabaran yang juga besar. Mesyuarat sepatutnya bermula jam 3.00 petang. Kebanyakkan ahli mesyuarat sudah pun sedia menanti. Sayang sekali apabila dikhabarkan si pengerusi ada beberapa majlis yang perlu disinggahi terlebih dahulu.

Penantian yang dijangks beberapa minit akhirnya menjangkau hampir tiga jam. Dan apabila tuan pengerusi datang, secepat kilat mesyuarat pun bermula. Dan dalam ramai ahli mesyuarat yang hadir hanya 2 orang saja yang diminta membuat laporan. Yang lain sekadar melopong mendengar dan memperoleh kepenatan menunggu.Itu belum ditambah beberapa 'gangguan' telefon yang perlu dijawab si pengerusi berkenaan.

Tak sampai 45 minit, mesyuarat pun berakhir. Si pengerusi pun bergegas keluar bilik kerana masih ramai yang menanti untuk menemui beliau.Betapa sibuknya dia.

Wednesday, December 17, 2008

Nasir P.Ramlee Meninggal Dunia

Ketika sedang membuat entri baru, dikejutkan dengan sms yang diterima dari Pak Atan Wahab mengatakan Nasir P.Ramlee meninggal dunia di Hospital Kuala Lumur jam 5.20 petang tadi. Baru semalam terbaca berita mengenai anak angkat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sabaruddin yang meninggal dunia baru-baru ini.Al Fatihah.

Sabtu lalu dalam usaha memujuk anak-anak yang meragam untuk bercuti, sempat singgah di Memorial P.Ramlee di Taman P.Ramlee, Setapak. Bayangkan si anak, seorang berusia 9 tahun dan seorang lagu masuk 8 tahun, tahu dan kenal P.Ramlee sedangkan mereka lahir setelah Allahyarham P.Ramlee lama meninggalkan kita. Tetapi itulah kelebihan anugerah Ilahi. Tapi sayang zuriat Allahyarham tidak begitu menyerlah.

Apapun semoga roh mereka di cucuri rahmat Allah dan ditempatkan di kalangan roh para solihin.

Roti Sosej Berinti Cicak?

Ia berlaku di Bandaraya Melaka Warisan Dunia. Si pembeli kaget bagaimana sang cicak boleh menghuni roti yang menjadi kegemaran keluarganya. Jika ia ulat buah mungkin tidak muyskil tetapi ini sang cicak sebesar jsri kelingking. Tidak pula ada tanda-tanda sang cicak masuk melalui bungkusan plastik yang terkoyak.

Pengalaman saya sendiri pernah terjumpa cebisan besi dalam ais krim kon dari jenama terkenal. Ia berlaku puluhan tahun lalu. Apapun kes terjumpa 'penghuni asing' dalam bahan makanan boleh dianggap terpencil berbanding makanan yang tercemar samada dengan bahan beracun, najis atau paling tidak kotoran.

Cuba ingat senario ketika membeli makanan di restoran atau gerai. Makanan yang terdedah termasuk penyediaan yang tidak lakukan dengan mengambil kira aspek kebersihan dan kesihatan.

Saya percaya ramai di antara kita makan roti canai samada mamak atau tidak. Apakah kita puas hati dengan penyediaannya terutama apabila memesan roti telor.Sejauh mana si pembuat roti menjaga kebersihan khasnya tatkala mengambil telor. Apakah telor ayam itu bersih dari najis dan sebagainya. Lebih 'mengagumkan' ialah ada segolongan penebar roti canai mencapai telor ayam dari bekasnya yang sudah pasti datang terus dari 'reban'. Sudah tentu memang tidak dapat dielakkan ada sebahagian telor ayam yang terpalit dengan najis.

Jadi bagaimana status roti canai yang kita nikmati. Belum lagi kueh mueh dan pisang goreng yang terdedah di gerai pinggir-pinggir jalan. Yang sedihnya ia membabitkan peniaga Melayu beragama Islam yang sewajarnya mementingkan kebersihan dan kesucian. Jadi fikir-fikirkanlah.

Penggunaa Bahasa Rojak/Pasar Di Stesen Radio

Isu ini kembali diperkatakan tapi kali ini di Dewan Negara. Yang jelas stesen radio yang dimaksudkan bukanlah radio RTM.

Isu ini sebenarnya pernah dibincangkan dalam satu seminar khusus di Dewan Bahasa & Pustaka sedikit masa dulu. Saya sempat menghadirinya. Antara yang didebatkan dalam seminar berkenaan seingat saya ialah perkembangan ini merupakan satu evolusi yang tidak dapat tidak akan menular dalam masyarakat, samada kita mahu atau tidak. Ini diperkuatkan dengan pencapaian teknologi yang memungkinkan bahasa turut terbabit seperti dalam penggunaan sistem mesej singkat atau sms.

Jika tidak silap saya persahaman yang diambil adalah bahasa rojak/pasar jika ingin digunakan biarlah bersesuaian dengan suasana di mana dan ketika mana ia digunakan.

Bagi penyiar di RTM satu garis panduan jelas telah digunapakai berhubung bahasa rojak/pasar ini. Walaupun terkadang ada juga terlepas ke udara namun ia pastinya tidak seluwes di stesen radio pesaing.

Saya sendiri semasa di Angkasapuri pernah menganggotai Jawatankuasa Sebutan dan Istilah dan Jawatankuasa Pemantuan Siaran Radio. Kedua jawatankuasa ini memang dipertanggungjawabkan untuk memastikan garis panduan yang dirangka dipatuhi pelaksanaannya terutama dari segi sebutan.

Terharu Tapi Bangga

Agak terharu apabila menerima mesej ringkas daripada Sit Aishah Melissa Yuhaniz yang telah dinobatkan sebagai PenyampI Berita Radio Terbaik pada Majlis Anugerah Angsapuri semalam.Terharu kerana ucapan itu terlalu besar bagi saya memandangkan peranan saya yang sekelumit itu tidak sepadan dengan apa yang diperoleh. Lagipun saya sekadar menyambung usaha baik generasi terdahulu di samping mensyukuri nikmat yang dilimpahkan Allah SWT.

Benar Siti mendapat bimbingan awal daripada saya tetapi selebihnya adalah atas inisiatif beliau sendiri. Tidak kurang juga tunjuk ajar dari rakan-rakan lain. Dan yang paling utama adalah dediksai dan keikhlasan semasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Apapun terima kasih kerana Siti sudi berkongsi penghargaan tersebut dengasn saya.

Seingat saya ini adalah kali kedua saya dihargai atas pencapaian seseorang. Kali pertama adalah ketika rakan penyiar sambilan Ab. Rahman Tahir yang mengendalikan rancangan agama, Jakim di Klasik Nasional memperoleh anugerah DJ Radio Lelaki Terbaik pada Majlis Anugerah Media Islam Malaysia(AMIN) yang diadakan sedikit masa lalu. Beliau juga teringat akan inisiatif saya memberi semangat dan bimbingan secara tidak langsung kepadanya dalam bidang yang diceburi sehingga berjaya dinobatkan dengan anugerah berkenaan.

Dalam hal ini segala pujian dan penghargaan itu saya kembalikan kepada Allah SWT.

Kepada Siti dan Ab. Rahman, teruskan usaha kalian. Yang terbaik sebar-sebarkanlah pula kepada yang lain kerana sekiranya kita pernah mencapai bintang, bawalah orang lain untuk mencapainya bersama.

Tuesday, December 16, 2008

Apabla Bush Dibaling Kasut

Apabila Bush dibalingi kasut
dunia seolah maut
melihat pemimpin besar itu
diserang tapi bukan di medan perang

Apabila Bush dibalingi kasut
dunia dilanda ribut
tsunami kemarahan marhaen yang meluap
bukan lagi di hujung ucap

apabila Bush dibalingi kasut
Obama jadi kalut dan mencongak kira
apakah dia bakal ditimpa nasib serupa.

Siti Aishah Melissa Yuhaniz

Khabarnya penyampai berita radio Siti Aishah Melissa Yuhaniz berjaya memperoleh penghargan pada Majlis Anugerah Angkasapuri yang berlangsung pagi tadi sebagai Penyampai Berita Terbaik.Sesuatu yang membanggakan khususnya bagi kalangan penyampai berita radio generasi baru.

Siti Aishah seingat saya adalah antara penyampai berita pengambilan tahun 2005 yang menjalani latihan intensif di bawah pengawasan saya. Pada peringkat awal mereka mula 'dilepaskan' ke udara, banyak teguran diterima. Malah Dato' Adillah Sheikh Omar, Timbalan Ketua Pengarah(Rancangan) sendiri sering memberi komen tentang mutu penyampaian mereka terutama dari segi sebutan. Selalunya sayalah yang menjadi sasaran beliau melahirkan keluhan.

Namun segalanya saya kunyah sebagai cabaran.Sementelah saya telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan generasi penyampai baru ini setanding dengan golongan terdahulu yang ternyata hebat.

Latihan demi latihan dalaman diadakan agar prestasi mereka diperbaiki. Hubungan secara langsung saya dengan mereka terputus setelah saya berhijrah ke Melaka. Sesekali ada juga membuat teguran apabila sempat memantau mereka menerusi Melakafm.

Dengar-dengar nama Sii Aishah diumumkan sebagai penyampai Berita Terbaik. Terdetik juga rasa bangga di hati kerana rupa-rupanya ada di antara generasi penyampai baru yang saya 'lahirkan' memperoleh pengiktirafan. Beerti prestasi penyampaian mereka sudah boleh diterima dan mula mencapai standard. Namun segalanya tidak berakhir di sini.

Saya sendiri memperoleh gelaran Penyampai Berita Terbaik Radio menerusi Anugerah Sri Angkasa pada tahun 1999, itupun setelah 10 tahun menceburi bidang berkenaan dan perlu pula bersaing dengan penyampai-penyampai 'jerung' ketika itu seperti Mariamah Tijo, Mustaza Maah, Othman Hj Mohd, Noraini Ibnu dan Syarifah Hj.Mohd. Yusuf. Justeru untuk Siti Aishah, perlulah sentiasa ada kecenderungan untuk menambahbaik pencapaian kerana sebagai manusia prestasi kita akan setiasa turun naik.

Dan ingat, untuk maju jangan lihat pencapaian kerjaya semata-mata yang memainkan peranan, malah membina hubungan dengan sesama manusia(rakan setugas dan persekitaran) juga penting. Ingat lagi 3 H yang pernah saya perturunkan : Hormat, Harmoni dan Hasanah. Fikir-fikirkanlah.

Pokoknya, jika saya pernah mencapai bintang, saya perlu membawa orang lain mencapai bintang bersama.Just because we are part of the winning team in RTM

Persaraan

Baru balik dari jamuan makan tengahari mengiringi majlis persaraan rakan dari Unit Kejuruteraan, Haji Hamzah Ab. Rahman yang diadakan di Ancasa Hotel, Ayer Keroh. 31 Disember ini genaplah usia beliau 56 tahun. Beliau tidak memilih untuk bersara 58 tahun justeru genaplah usia perkhidmatannya selama 32 tahun dalam sektor awam.

Saya belum kenal lama dengan Haji Hamzah namun dengar dari rakan-rakan lain beliau seorang yang dedikasi dalam soal kerja. Banyak perkembangan Melaka fm tersimpan dalam 'kocek'nya.

Dalam ucapan ringkasnya Haji Hamzah banyak berpesan tentang kerja sebagai ibadah dan sentiasa menjalin hubungan rapat antara satu sama lain.

Bercakap tentang persaraan memang tidak dapat mengelak untuk berbicara tentang umur satau usia. Teringat pada ungkapan "Umur Yang Paling Baik".

Mengikut kitab fekah umur manusia dibahagi kepada beberapa tahap atau peringkat. Ia bermula sebagai janin, bayi dan kanak-kanak. Setelah baligh digelar belia atau remaja. Mulai 30 tahun ke atas digelar kahlun(manusia pertengahan umur). berusia 40 tahun ke atas digelar syaikh atau orang tua.

Di kalangan manusia ada yang memiliki umur yang pendek dan ada yang dianugerahi usia yang panjang. Masing-masing pula ada peruntukkan rezekinya oleh Allah SWT. Sesiapa yang memperoleh rezeki yang lebih tidak seharusnya lokek dalam menghulur bantuan dan bersedekah. Dia seharusnya mensyukuri nikmat Allah Taala.

Perhatikan maksud ayat 70 surah An Nahl :

"Dan Allah SWT telah menjadikan kamu, kemudian mematikan kamu. Ada di antara kamu yang dilanjutkanNya kepada umur yang paling buruk sehingga tidak diketahuinya lagi sesuatu yang dahulunya sudah diketahui. Seungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa"

Setengah ulamak lain membahagikan umur manusia seperti ini :

1. dari saat membesar sehingga 33 tahun-umur paling maksimum bagi peringkat belia

2. Umur 33 hingga 40 tahun- perkembangan manusia mulai terhenti, mencapai tahap akal fikiran yang sempurna.

3. Dari 40 tahun hingga 60 tahun- mulai menurun dengan perlahan-lahan dan tenaganya berkurangan secara tidak disedari

4. 60 tahun hingga akhir hayat-peringkat tua, semakin lemah dan berkurangan termasuk nyanyuk.

Apapun bagi kita Muslim Mukmin, semakin bertambah umur semakin mendapat kemuliaan daripada Allah SWT malah akal dan pengetahuan juga semakin bertambah.

Sedikit tazkirah tentang umur sekadar mengaitkan dengan persaraan Haji Hamzah. Khabarnya beliau selepas ini akan menceburi bidang perniagaan roti. Doa kita semoga Haji Hamzah akan berjaya dan dapat mengurus zaman persaraan dengan sebaiknya.

Monday, December 15, 2008

Ada Apa Pada Nombor?

Tetapi itulah yang jika boleh dikatakan mampu menghibur saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini-gemar dan minat melihat nombor pendaftaran kereta terutama yang unik dan menarik.

Bagi sesetengah orang memiliki kereta yang mempunyai nombor pendaftaran yang istimewa ada kelebihan tersendiri.Selalunya nombor-nombor sebegini ditempah atau melalui proses tender. Malah pernah dilaporkan seorang putera Arab sanggup berbelanja berjuta USD semata-mata ingn memperoleh nombor 1 untuk kereta mewah miliknya.

'Port' saya untuk menyaksikan kereta yang mempamerkan nombor pendaftaran seperti yang saya maksudkan ialah di Lucky Garden, Bangsar selain terserempak di tengah jalan raya. Selalunya saya akan menyaksikan kereta-kereta berkenaan pusing keliling berkali-kali mencari parkir sedang saya berselera menikmati roti canai banjir di Gerai Abah.

Ada apa pada nombor? Bergantung pada minat seseorang tapi saya tidaklah sampai ke tahap melanggani cebisan kertas yang dijaja di persimpangan lampu trafik sambil si penjual melaungkan 'mapiau, mapiau'

Selalunya apabla balik di hujung minggu saya akan mengunjungi Gerai Abah semata-mata ingin menunggu kereta-kereta bernombor pendaftaran unik berkenaan berkeliaran di depan mata.

Saya tak tahu orang lain, tetapi saya akan 'jatuh hati' melihat nombor pendaftaran seperti MAN 15(apabila dicantum menjadi MANIS), A 15 (ANIS) malah yang dianggap menyerupai seperti NAD 4 (NADA) apabla 4 diserupakan dengan aksara A, 7(T), 8 atau 3(B)dan 2(Z) seperti 7A7A(TATA) mirip akronim nama sahabat saya Tengku Abdullah Tengku Ahmad,7A2A(TAZA) juga mirip nama teman, Mustaza Maah.

Belum lagi SEBIJI GIGI(CBG 6161)MAS ABI(MAS 481)dan PGG6699. Uhh, dan banyak lagilah. Paling tidak saya sendiri memiliki nombor pendaftaran 22 atau ZZ(ZAZMIE ZAIN lah konon). Bagaimana, ada tak yang mempunyai minat sebegini?

Dosa Apa Bayi Ini?

"Bayi DiBuang Dalam Lubang Tandas Awam"
Paparan muka depan akhbar Berita Harian hari ini.

Dosa Apa Bayi Ini

Dosa apa bayi ini
sehingga di lontar ke lubang tandas
mana yang lebih bernajis sebenarnya
jika bukan tangan-tangan bersalut noda
dari susuk tubuh berselimut dosa

dosa apa bayi ini
menghisap jari kelaparan
sedang ibu yang melahirkan
tidak dapat menyusui
tapi lapar untuk disetubuhi

dosa apa bayi ini
hanya berbalut kertas surat khabar
tali pusat membeliti leher
tiada bidan menyambut tangis
melihat dunia dari mangkuk hamis

dosa apa bayi ini
siapa ibu siapa jantan durjana
tatkala mujahid bermati-matian menebus maruah agama
mereka tumpas di ranjang neraka
dan akan lebih pilu
bila anak ini membesar
bertanya satu persatu
mana ayah mana ibu
mana saudara mara ku
di mana aku dilahirkan
siapa menyambut siapa bidan
siapa yang menyusukan

ah, dosa apa bayi ini
sedang kita masih berjuang mencari tempat
mabuk kuasa takut merempat
berebut mencari kelebihan
rupanya kita semakin banyak kekurangan

Sunday, December 14, 2008

Q Untuk Menikmati Goreng Pisang

Ingin menikmati pisang goreng disira bijan dan madu? Untuk mendapatkannya perlu berbaris panjang. Itulah senario yang dapat dilihat di gerai Goreng Pisang Azmi di Seksyen 19, Shah Alam. Justeru biarlah berbaloi membeli dengan jumlah yang banyak lantaran terpaksa queue yang panjang. Pastilah tuan punyanya sudah memperoleh hasil yang lumayan dengan jerih perih yang tentunya penuh cubaan dan dugaan.

Harum Kasturi

Selang tiga hari dalam minggu ini Kasturi melalui pengalaman manis. Pertama apabila Kota Kasturi membuat penampilan ulung di Taman Budaya, Ayer Keroh pada hari Rabu. Kedua pula apabila Kasturi berjaya memperoleh penghargaan lewat persembahan pada Malam Media di Balai Seni Lukis Negara.

Mungkin ada yang tertanya apa beza Kasturi dengan Kota Kasturi? Sebenarnya tiada beza wadah perjuangan sekadar berasingan platform. Jika Kasturi bergiat di Angkasapuri sedangkan Kota Kasturi aktif di Melaka fm.

Kasturi di Angkasapuri saya amanahkan pada Faizal(Pusat Berita Radio) untuk menerajuinya. Sementara saya yang berhijrah ke Bumi Hang Tuah, Melaka menghidupkan Kota Kasturi.

Semoga dengan pengalaman manis ini , lebih-lebih lagi menjelang tahun baru, diharap dapat membakar semangat untuk terus mengorak langkah menjadikan Kumpulan Karyawan Seni Angkasapuri @ Kasturi ini sebagai pentas penyiar RTM memanifestasi bakat seni yang sentiasa subur di jiwa.

Saturday, December 13, 2008

Warisan Dunia The Song




Warisan Dunia
Sinar Permata Dari Selatan
Perjuanganmu Bertahun Lama
Kejayaan Kau Miliki Jua

Warisan Dunia
Menyusuri Tebing Berzamanmu
Kota-Kota Meratah Usia
Tembok Merah Berbicara Megah

Dari Runtuhan Kau Bangun
Dari Serpihan Kau Himpun
Catatan Zaman Kekal Abadi

Warisan Milik Dunia
Jadi Kebanggaan Bangsa
Melaka Namamu Mekar Indah

Warisan Dunia
Meniti Dari Bibir Ke Bibir
Bernafas Di Dada Sejarah Lalu
Ku Kemari Menafsir Warkahmu

LIRIK & CIPTAAN : ZAZMIE ZAIN

Wednesday, December 10, 2008

Warisan Dunia Di Malam Puisi Bulanan


Joget Lambak


Khalid Salleh


Kota Kasturi

Malam ini kumpulan Kota Kasturi Melaka FM membuat persembahan sulung di Majlis Baca Puisi Jabatan Kebudayaan Melaka. Kota Kasturi menyampaikan lagu Penantian(Harmoni) dan lagu ciptaan saya khusus buat Melaka Bandaraya Warisan Dunia bertajuk Warisan Dunia. DJ Amy memetik gitar sambil mengiringi DJ Izad dan Margaret(wartawan penyiaran). Saya pula turut diberi peluang mendeklamasi sebuah puisi bertajuk Jebat Sebuah Menifestasi karya Ramly Abu.

Pengalaman pertama Kota Kasturi beraksi di hadapan khalayak termasuk Datuk Speaker, Datuk Othman Mohammmed. Saya pula rasa bertuah dapat beraksi di hadapan penyair jemputan malam itu, Khalid Salleh-sesuatu yang tidak dijangka. Tapi hasrat untuk berada di pentas bersama-sama Pak Khalid sebenarnya sudah lama terpendam sejak menyaksikan beliau bersama Kumpulan Anak Alam beraksi di bawah sinaran neon berhampiran Pasar Borong(kini Pasar Budaya) lewat tahun 80-an.

Kesemua Amy, Ezat dan Mag nampak seronok termasuk Reen(Amrina) yang sibuk merakam suasana dengan kamera digitalnya. Apapun sebelum berpisah malam itu sempat berbincang dengan Tok Wan(Rodzuan Ismail, Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Melaka) tentang usaha selepas ini untuk sama-sama bergabung meneruskan aktiviti puisi termasuk mengadakan rancangan mingguan di Melaka Fm. Majlis malam itu diakhiri dengan Joget Lambak yang disertai semua peserta.

Ikutilah paparan lagu Warisan Dunia dedikasi khusus untuk Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

Monday, December 8, 2008

Qurban

Alhamdulillah,berkorban lagi kita hari ini.Selepas solat sunat hari raya, lalu ibadah korban pun dilakukan.Dipaparkan imej yang sempat dirakam sempena majlis korban yang diadakan di kampung mertua di Bagan Datoh, Teluk Intan, Perak.



Sunday, December 7, 2008

Gara-Gara Terlelap

Semalam sewaktu dalam perjalanan pulang untuk berhari raya di kampung mertua di Bagan Datoh, berlaku insiden cemas tapi akhirnya melucukn.Begini ceritanya :

Sewaktu mendekati persimpangan berlampu isyarat menghampiri bandar Kuala Selangor, kedapatan kesesakan trafik.Dalam hati berkata, ini tentunya akibat jumlah pengguna jalanraya yang banyak menjelang Hari Raya Korban.

Rupa-rupanya jam tersebut diakibatkan sebuah kereta proton waja yang 'terpaku' tak bergerak di lorong sebelah kanan.Andaian awal beranggapan ia terbabit dengan kemalangan.Tetapi dek kerana semua kenderaan di belakang hanya memotong dan tiada tanda-tanda kemalangan, saya juga memotong tapi dalam keadaan sangsi kerana terihat si pemandu seakan-akan terlentok seperti pengsan.

Memandangkan tiada sesiapa yang peduli untuk 'meninjau', saya mengambil keputusan untuk mencari jawapan pada persoalan yang timbul.Bersama-sama saya adalah dua 'good samaritan' lain yang ingin menghulrkan bantuan sekiranya perlu, seorang berketurunan India dan Melayu.Kami bertiga menghampiri kereta yang 'membatu' itu.

Perasaan semakin berdebar-debar apabila terlihat memang betul si pemandu dalam keadaan terlentok seakan-akan dalam keadaan tidak sedar diri.Dalam kepala hanya terbayang bahawa pasti si pemandu telah diserang strok dan apakah dia telah meninggal dunia?Teringat insiden yang menimpa ayah teman sepejabat di Pusat Berita Radio, Tetitia yang meninggal dunia secara mengejut, juga ketika memandu.Insiden ini terjadi pada tarikh PRU ke-12 yang lalu.

Tanpa berlengah masa saya mengetuk cermin tingkap.Beberpa ketukan pertama tiada respon.Hati semakin cemas.Ini pasti kes besar.Saya mengetuk sekali lagi sebelum bertindak lebih nekad sekiranya kali ini juga tiada tindak balas.Alhamdulillah rupa-rupanya telahan saya salah.Ternyata si pemandu hanya terlelap sementara menantikan lampu hijau(itulah tanggapan saya).

Yang melucukan ialah sebaik sedar, si pemandu bukan ingin membuka tingkap memberi sedikit penjelasan atas situasi yang membahayakan itu tetapi sebaliknya masuk gear dan terus memecut meningglkan kami bertiga terpinga-pinga.Kami hanya mampu menggeleng kepala menyaksikan si proton waja memecut sehingga hilang dari pandangan mata.

Untuk menenangkan keadaan 'sahabat' yang agak terkilan saya menyuarakan husnul zan dengan mengatakan bahawa si pemandu tadi mungkin panik dan tak mahu memanjang-manjangkan cerita lalu mengambil keputusan untuk terus cabut.Tak apalah sekurang-kurangnya kamitelah terpanggil untuk menghulur bantuan.

Kamipun bersalam-salaman dan kembali ke kereta masing-masing untuk meneruskan perjalanan.Dalam hati sempat berbisik: sekurang-kurangnya saya telah mengorbankan sedikit masa menjelang hari raya korban ini demi kemaslahatan mereka yang memerlukan.Bayangkan sekiranya pemandu tadi betul-betul.....

Friday, December 5, 2008

Nizam "Gugurnya Bunga Cinta" Arjuna

Tiba-tiba telefon berdering. Mengamati nombornya memang asing kerana tiada nombor yang sepadan dengan apa yang telah didaftar dalam memori. Apabila hello diluahkan, terpacul suara lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Nizam Arjuna vokalis kumpulan Laksamana yang popular sekitar tahun 90-an.

Betuah betul. Baru semalam beliau menjadi tetamu program Rock Klasik kelolaan DJ Amy di MFM. Ruapanya Nizam masih ingatkan DJ tua ini yang pernah bersama kumpulan-kumpulan rock lentok termasuk Laksamana semasa mengendalikan rancangan Pujaan Sepuluh Nescafe(PJSN) lebih sepuluh tahun lalu ketika bertugas di Radio 1. Nizam adalah antara artis yang masih mengenali saya sekiranya terserempak selain Ameng(Spring), Bagio(Damasutra) dan Isa(Graviti, sekadar menyebut beberapa nama.

Mereka pada suatu ketika dulu turun naik pentas raodshow PJSN bersama saya di seluruh negara.Banyak kenangan yang terpahat. Namun ia seolah-olah berbunga kembali apabila mereka 'diselongkar' oleh DJ Amy untuk mengembalikan nostalgia populariti mereka. Yang pasti masing-masing sudah berusia.

Dengar khabar ramai di antara mereka sudah mempunyai keluarga dan menjalani kehidupan sendiri termasuk Nizam yang khabarnya menjalani perusahaan yang tidak kurang lumayannya.

Ulat Buku Atau Buku Berulat(ii)

Belum sempat menelaah buku Travelog Dakwah-Meniti Hari Esok. Yang pasti melihat pada tajuknya saja saya percaya penulisnya Prof Dr, Muhd. Kamil Ibrahim sekali lagi meluahkan segunung pengalaman perjalanan diri menuju mardhatillah. Saya juga percaya ramai yang memiliki pengalaman persis Profesor muda ini namun tiada kesempatan untuk dimuntahkan pada penulisan buat dijadikan tatapan umum. Apapun meremang juga bulu roma ketika membaca karya pertama beliau Travelog Haji-Mengubah Sempadan Iman. Ia memperlihatkan keajaiban yang dianugerahkan Allah SWT kepada mahkluknya guna mencari mutiara dari lembah kehidupan yang penuh noda dan dosa ini.

Teringat pula pada pengalaman sewaktu mengerjakan ibadah haji sambil menjalankan tugas melapor perjalanan ibadah haji untuk Radio 1 pada tahun 1999. Seperti bermimpi rasanya apabila dimaklumkan yang saya terpilih untuk memikul tanggungjawab membuat laporan haji tahun berkenaan bersama Haji Hussien Ibrahim.

Resah dalam takjub. Itulah perasaan pada ketika itu. Namun atas semangat yang disuntik oleh keluarga dan teman-teman sekerja, saya menyahut seruan untuk melakukan tugas berat itu sekaligus menyahut lambaian Ilahi.

Pendekkan cerita melakukan tugas rasmi memang tidak sama dengan seratus peratus ke Mekah dengan tujuan menunakan haji. Dua dalam satu. Namun atas kehendak Allah SWT saya mampu dan berjaya melaksanakannya. Tahun 1999 memang penuh kenangan yang teguh terpahat dalam kotak ingatan.

Kepada kesemua bakal haji yang kini sedang berbondong-bondong ke Makkah Al Mukarramah, semoga kehadiran kalian sebagai tetamu Ilahi menjadi pembersih jiwa yang paling ampuh untuk pulang ke tanahair InsyaAllah persis bayi yang baru lahir.

Ulat Buku Atau Buku Berulat

Membaca buku kaedah mudah cari dimensi, motivasi, idea dan perspektif baru kehidupan...kata Prof. datuk Dr. Zaini Ujang.

Bak kata beliau musin cuti sekolah ini antara lain elok giatkan aktiviti membaca dalam kalangan anak-anak. Menyahut cabaran itu selepas solat Jumaat tadi mampir ke Pustaka Buku Salleh Mohd. di Taman Cempaka. Tiga buku pertama untuk bulan Disember disambar dari rak pameran. Khalifah Umar Bin Abdul Aziz,Misteri Aneh dan Ganjil Bukti Keangungan Allah dan Travelog Dakwah Meniti Hari Esok( Muhd. kamil Ibrahim). Dua tajuk terakhir adalah buku yang baru terbit. Travelog Dakwah adalah sequel dari buku Travel Log Haji : Mengubah Sempadan Iman.

Selain untuk bacaan sendiri buku-buku ini dicadang untuk dihadiahkan pada anak-anak yang sedang riang menghabiskan percutian di rumah.

Itu awal bulan Disember. Sehingga akhir Disember tak pasti berapa banyak ongkos yang akan dibelanjakan. Paling tidak sebulan saya akan membelanjakan sekitar RM200.00 untuk membeli bahan bacaan. Belum lagi mengambil kira yang diselongkar dari rak perpustakaan(selalunya buku inggeris yang bernilai sekitar RM90 senaskah).

Menyentuh mengenai buku yang dipinjam dari perpustakaan, saya kira saya adalah antara ahli pusat sumber Kemnenterian Penerangan di Angkasapuri yang sering dikenakan denda kerena kerap overdue. Tak apa masih untung lagi.

Berbalik pada pembelian buku, cuma sejak akhir-akhir ini saja saya menyimpan dan meminta resit untuk buku-buku yang dibeli bagi rebat cukai pendapatan. Pembelian yang sudah mencapai ribuan ringgit sebelum ini tidak pernah teringat nak memohon resit pembelian.

Jumlah RM200 untuk sebulan mungkin kecil bagi seorang yang sederhana macam saya berbanding dengan seorang sahabat yang memperuntukkan perbelanjaan sekitar RM500 untuk setiap kali pembelian sehingga beliau boleh dikatakan sering tenggelam dalam lautan buku di rumahnya. Sahabat yang saya maksudkan ialah Dato Jaafar Rahim yang sebelum ini pernah bertugas di Dewan Bahasa & Pustaka. Pembacaan beliau juga meliputi pelbagi bidang termasuk falsafah dan pemikiran.

Saya tidaklah sekritikal itu tapi lambakan buku telah mula dirasakan di rumah sewaan di Melaka. Malah di dalam kereta juga sudah seperti ada kutub khanah bergerak.

Nak kata ulat buku entahlah kerana dalam ratusan tajuk yang ada dalam simpanan, buku yang sempurna dibaca boleh dikira dengan jari. Selainnya paling tinggi, tidak sampai saparuh. Itulah tabiat saya. Bagi saya "Buku tidak semestinya dihabisi tetapi bila perlu ia ada di sisi".

Pada peringkat awal koleksi saya berkisar pada bab agama. Cuma kebelakangan saya meminati politik, ekonomi,sosiologi, fiksyen dan biografi. Tajuk-tajuk lain turut menjadi koleksi tetapi mengikut keperluan semasa. Paling mutakhir ialah buku dan kitab hal-hal perubatan Islam mengkhusus berkaitan ganggguan jin & syaitan.

Di pejabat juga sekarang sudah ada lambakan buku. Entahlah takut bila tiba saat berpindah nanti, perlu sebuah 'kontainer' khas untuk buku sahaja. Moga buku-buku tersebut tidak berulat kerana jarang dibuka.

Cuma hari ini di samping membelanjakan sekian banyak untuk buku-buku, saya juga perlu melunaskan RM15 untuk membayar denda parkir kereta kerana sementara asyik menyelongkar buku dari rak ke rak, attenden parkir juga asyik 'menenyeh' resit saman kerana saya tidak memaparkan kupon parkir. Tak apa masih untung lagi.

Datuk Lat


Terpampang wajah Datuk Mohammed Nor Khalid@Datuk Lat bersama bekas gurunya di akhbar Berita Harian hari ini pada satu majlis pelancaran Sampul Surat Hari Pertama Kartun Malaysia. Dalam berita yang dipaparkan antara lain Datuk Lat menyeru agar kartunis tempatan diberi pengiktirafan sewajarnya oleh pihak yang berminat khususnya NGO. Saya amat bersetuju dengan saranan itu memandangkan kartunis juga punya peranan dalam dunia hiburan yang turut terlibat sebagai pengkritik sosial dan genre kartun termasuk karikatur.

Tentang Datuk Lat, saya tidaklah mengenali beliau secara personal tetapi terdapat dua perkara yang menyebabkan saya rasa 'dekat' dengan beliau. Pertama ialah kerana kami berasal dari negeri yang sama, Perak. Kedua pula saya bersekolah di sekolah yang datuk Lat pernah menuntut dan menjadi medan pertama beliau menyerlah dalam bidang lukisan iaitu sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Pasir Putih, Ipoh dan dikenali kemudiannya sebagai Sekolah Rendah Kebangssan Raja Dihilir Ekram.

Saya pada ketika itu berkesempatan melihat Majalah Sekolah yang dimiliki oleh abang(yang turut mrnuntut di sekolah yang sama dan seangkatan dengan Datuk Lat)yang memuatkan karya awal Datuk Lat. Memang berbeza dengan apa yang kita lihat sekarang maklumlah ketika itu beliau dianggap baru berjinak-jinak dalam arena ini. Sayangnya majalah tersebut telah hilang dari simpanan.

Sebenarnya saya memang 'admire' Datul Lat sejak saya mengikuti perkembangan beliau itu. Pada waktu itu(sekitar tahun 70-an) karya Datuk lat telah dimuatkan dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Time. Malah Keluarga Si mamat hasil ciptaan beliau turut dibukukan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa akibat terlalu 'fanatik' dengan penampilan Datuk Lat yang memang tidak gemar bersikat, saya juga telah meniru gaya tersebut semasa dalam tingkatan tiga sehingga ada teman yang perasan gelagat saya itu. Dengan megah saya katakan saya meniru gaya Lat.

Pada peringkat awal siri Katun Lat The Kampung Boy diterbitkan saya turut menjadikannya koleksi. Antara tajuk yang masih saya ingati ialah Lat The Kampung Boy, Lots Of Lat dan Lats Lot.

Walaupun jauh di sudut hati ingin berkarya seperti Datuk Lat namun kerana tiada bimbingan asas saya hanya syok sendiri meniru-niru karya yang terpapar di majalah atau akhbar dan hanya memendam cita-cita bahawa karya 'bilis' saya itu turut terpampang di media suatu hari nanti. Yang pasti saya masih terlalu jauh untuk mengecapinya lebih-lebih lagi dalam usia sebegini.

Apapun Datuk Lat, saya masih ingat aksi Datuk dalam teater Alang Rentak Seribu karya Allahyarham Datuk syed Alwi yang disiarkan di TV 1. Malah saya terhibur sekali kerana dapat menatap secara live wajah personaliti yang saya kagumi ketika itu.

Thursday, December 4, 2008

Bertemu Datuk Speaker

Pagi tadi bersama rakan-rakan dari agensi di bawah Kementerian Penerangan telah melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker DUN Melaka, YB Datuk Othman Mohd. di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Sungguhpun singkat pertemuan itu telah memberi makna yang cukup berkesan lebih-lebih lagi apabila dalam 'amanat'nya Datuk Speaker telah menyuntik semangat dan perangsang agar kami sebagai penjawat awam bertugas dengan penuh dedikasi dan memberi sepenuh komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimanahkan.

Beliau turut mengimbas kembali pahit maung yang dihadapi sepanjang penglibatannya samada dalam kerajaan atau politik sehinggalah menyandang jawatan Speaker. Apapun menurut beliau segalanya berbalik pada qada dan qadar Allah SWT. Jika sesuatu itu amat kita hajati tetapi tidak diizinkan Allah SWT tidak mungkin kita memperolehnya sedangkan sekiranya sesuatu itu memang menjadi hak kita, tanpa diminta dan diduga ia akan menjadi kepunyaan kita jua.Kuncinya ialah sifat sabar dan redha atas apa yang berlaku.

Sebelum berpisah saya sempat membacakan sebuah pantun khas untuk Datuk yang sememangnya diketahui sebagai seorang yang minat dalam soal kesusasteraan sementelah beliau kini menyandang Ketua Satu Penama(Persatuan Penulis Melaka). Diperturunkan di bawah (pantun) yang saya cipta dan bacakan itu:

BERTEMU DATUK SPEAKER

Bertentang mata dengan Datuk Speaker
Mudah mesra dan tokoh yang sarat cerita
Teramat banyak yang boleh dikongsi bersama
Jika boleh hendak bertandang lebih lama

Datuk Othman penghulu Dewan Undangan Negeri
Kaya pengalaman tidak pernah diragui
Minat pula pada kerja-kerja seni
Sudah terbukti sudah teruji

Kami datang disambut riang
Begitu istimewa kami ditatang
Datang berhajat bertukar-tukar pandangan
Pulang berbekal sedulang kenangan

Akhirnya Datuk Speaker
Selamat tahun baru selamat hari raya
Pertemuan yang pastinya tidak berakhir di sini
Panjang umur kita berjumpa lagi

Wednesday, December 3, 2008

Datuk SRK

Shah Rukh Khan

Saya Rasa Kagum
Shah Rungkai Kekusutan
Setelah Rumitkan Keadaan
Sepikan Rancangan Kerajaan(Melaka)
Suruh Rujuk Kemari
Supaya Rebut Kalungan
Seuntai Ransangan Kebanggaan
Setelah Rancakkan Kemasyhuran
Seluruh Rakyat Keseronokan
Sejarah Rasa Kembali
Semarak Rantau Kecil(ini)
Sejenak Riang Kegembiraan
Setelah)Shah Renjis Kemesraan

Tuesday, December 2, 2008

Chow Kit Road

Chow Kit Dinaik Taraf Bebas Pelacuran.

Berita ini tidak mengisi muka depan akhbar tapi usaha ini sebenarnya lebih 'beerti' daripada berita anugerah datuk yang dibekukan oleh pemerintah sebuah negeri. Apalah sangat berita anugerah datuk yang tidak akan diraih oleh seorang dua invidu yang berjasa berbanding laporan mengenai sekian ramai anak gadis atau isteri orang yang terjerumus atau sengaja menjerumuskan diri dalam aktiviti hina lagi berdosa itu yang perlu diselamat dan dibersihkan.

Syabas kepada pihak yang berilitzam untuk membersihkan Chow Kit daripada stigma yang sudah berlanjutan sejak lama. Sementelah pula jalan atau lorongnya dikaitkan dengan nama seorang yang bergelar haji.

Kita seharusnya menyokong langkah dan iltizam berkenaan. Tapi jangan dlihat di Chow Kit sahaja demi menjaga industri pelancongan. Membanteras gejala jijik dan hina bukan untuk 'memenangi' hati pelancong semata-mata tapi ia harus dinilai dari segi memelihara korup akhlak dalam kalangan masyarakat khususnya orang-orang Islam. Pun begitu tidak mustahil kedapatan pelancong yang hadir ke negara ini memang sengaja tercari-cari ruang dan peluang melempiaskan nafsu dengan cara murahan itu.

Bagaimana pula tempat-tempat lain yang mungkin mengadakan khidmat sedemikian tetapi dalam suasana yang kononnya ekslusif? Apakah ia tidak terlibat sama dalam operasi 'pembersihan' ini?

Apapun Chow Kita sebenarnya mempunyai 'personal touch' yang tersendiri pada diri saya. Saya mengenali Chow Kit ketika mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur sekitar tahun 70-an. Sentuhan intim ini semakin dirasa apabila datang semula ke Kuala Lumpur sebagai salah seorang anak kampung yang 'mencuba' nasib di kota metropolitan pada awal 80-an.

Sungguhpun begitu saya tidaklah sampai mengenali Chow Kit sehingga 'menelanjangi'nya sampai ke pintu-pintu kamar panasnya. Na'uzubillahiminzalik.

Tapi sekadar menyusuri lorong-lorongnya demi menyaksikan 'wajah' sebenar Kuala Lumpur itu memang ada. Sempat beserta teman-teman yang sekepala sengaja menjenguk ke beranda tempat si peniaga tubuh bersidai menunggu dan melayan pemuda yang lalu lalang. Ketika itu rasa terharu melihat wajah-wajah wanita berkulit sawo matang melumuri wajah mereka dengan senyuman penuh kepura-puraan.

Terlihat juga 'kaum bapa' yang 'lapar' berkeadaan serba salah dan malu-malu tapi mahu ketika ingin melangkah masuk ke 'kamar syurga seketika'tersebut. Pada waktu itu diri tidak begitu sensitif dengan senario yang seharusnya dibenci dan diperangi. Paling tidak dengan menidakkannya dengan hati(tanda selemah-lemah iman). Namun perasaan anak kampung yang baru 'menkmati' kehidupan bujang dan jauh pula dari keluarga menjadikan saya belum bersedia melakukannya. Hanya setelah 'masak' dengan tipu daya kota baru saya menyedari betapa jahil dan dayusnya sikap saya itu. Bayangkan sekiranya saya tewas lalu menjadi 'pemanjat' setia lorong gelap di Chow Kit. Aduhai.

Itu adalah segelintir pengalaman yang digarap di jalan Chow Kit selain teruja dengan aksi si penjual ubat yang dikerumuni ramai. Itu sekitar 80-an. Entahlah samada senario itu masih kedapatan sehingga ke hari ini. Yang pasti apabila sesekali melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman(dengan keluarga pastinya) terlihat begitu ramai 'bapak-bapak' dari tanah seberang yang mendominan sekitar restoran dan gerai-gerai menjual bakso dan jamu.

Monday, December 1, 2008

Monday Blues

Ah Monday Blues. Biasalah, setiap pagi Isnin akan ke pejabat yang letaknya lebih 130 kilimeter- KL ke Melaka. Kalau di Jepun pastinya menggunakan tren halilintar untuk sampai tepat pada waktu. Tetapi dengan VIVA 1000cc pastinya perjalanan memakan masa paling tidak dua jam.

Monday blues ini terbawa-bawa sewaktu melayani tetamu dari Open University Sri Lanka yang dalam rangka lawatan sambil belajar ke Melaka fm. Mujur Amrina muncul dengan persembahan multi medianya yang sedikit sebanyak dapat 'mengamusedkan' tetamu yang hadir.

Berbalik pada perjalanan yang panjang ke pejabat.

Ada hikmahnya dapat melauangkan masa selama dua jam dalam perjalanan. Dapat menyaksikan perkembangan dan perubahan persekitaran. Paling tidak projek perumahan di kaki bukit Putera Mahkota. Kalau lima bulan dulu hanya kelihatan cerucuk meliar. Tapi dalam tempoh itu sudah kedapatan blok rumah yang sudah berdiri fizikalnya.

Terserempak dengan tragedi jalanraya memang selalu. Lori terbalik. Bas putus muncung. Terpaksa mengalah dengan kereta mewah yang mencecah kelajuan 160km/jam juga biasa lebih-lebih lagi milik rakyat negara jiran. Yang buat sakit hati ialah apabila mereka bermain dengan high beam. Berkata juga dalam hati- "aku dah capai had laju maksimum, kalau kau orang nak lebih cepat, potong sajalah ikut lorong kecemasan, sebab gelagat dan karenah kau orang memang umpama orang cemas, silap hari bulan di dorong ke wad kecemasan"

Sambil memandu, sambil itulah mendengar siaran radio. Contohnya pagi tadi sempat memantau Sinar, Traxx fm, Klasik Nasional, Best 104, IKIM.fm, ERA, HOT fm , Negeri fm, LITE dan pastinya Melaka fm.

Tertanya juga- apalah sangat yang diburu oleh pendengar(khususnya golongan muda)terhadap stesen yang berorientasikan komersial. Penyampai dan pendekatan mereka barangkali. Sebab kalau lagu, apa yang mereka ada adalah lebih kurang sama di semua stesen.

Rata-rata dalam lingkungan waktu puncak awal pagi begini, kebanyakan stesen(swasta khasnya) memutarkan lagu sambil membicarakan topik-topik ringan seperti kira detik tahun 2009(Sinar), Kena Kantoi(ERA), baca sms(HOT)sementara IKIM.fm(bicarawara HIV/AIDS sempena Hari AIDS Sedunia), Klasik Nasional(Kapsul HIV/AIDS), Traxx fm(Kad Kredit) dan Melaka FM(Kesan penurunan harga minyak).

Umumnya kita boleh saksikan siapa lebih serius menangani isu-isu yang melibatkan nilai dan motif kehidupan. Apakah permasalahan dan kemelut yang melanda dunia hari ini harus 'dilencongkan'(divert) dengan membiarkan masyarakat pendengar berhibur tanpa ada usaha menyuntik kepekaan kepada mereka agar terbit rasa insaf dan sedar?

Atau siapakah yang sebenarnya yang menang dalam perlumbaan memburu rating ini? Dan apakah cara kemenangan yang seharusnya dibanggakan?

Dan siapa pula yang pada penghujungnya nanti menangisi kejahilan diri sendiri kerana melihat rating tertinggi dek populariti dan glamor adalah segala-galanya sedang anak bangsa sudah jauh menyimpang dan penasaran tanpa akar tunjang yang ampuh. Jawablah.

Menjaja Suara

Menjelang Maghrib ketika masih di pejabat telefon tiba-tiba berdering. Panggilan diterima daripada Saniah(penerbit TV JAKIM). Menurutnya beliau teringat untuk menelefon saya setelah terdengar suara saya menerusi korporat video yang disiarkan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.. Kebetulan beliau dan krew membuat penggambaran di sana. Beliau menelefon sekadar untuk bertanya khabar dan melahirkan rasa 'bangga' nya di atas kemajuan saya dalam bidang suara latar.

Saniah atau kak Saniah adalah di antara penerbit TV yang banyak memberi ruang dan peluang untuk saya muncul di sebalik tabir di samping ramai lagi yang selama ini merecognize suara saya untuk rancangan terbitan mereka. Sesungguhnya jasa mereka dalam karier saya sebagai penyiar cukup banyak.

Sebenarnya 'bisnes' menjaja suara sebagai suara latar(voice over) telah saya lakukan seawal tahun 1986 menerusi Halaman Pertanian. Itulah pengalaman ulung melakukan voice over untuk sebuah program tv. Penerbit yang bertanggungjawab memperkenalkan saya ialah Barirah Haji Alwi(Allahyarhamah). Daripada tiada apa-apa, budak yang dididiknya itu kini telah diberi kepercayaan untuk membaca suara latar dalam banyak program tv dan sedikit iklan.

Friday, November 28, 2008

Menuju 2009

Semalam dan hari ini terlibat dengan perbincangan dan perdebatan yang membabitkan Pengarah-Pengarah stesen radio RTM negeri yang berlangsung di Everly Resort, Tanjung Kling.

Sesi ini merupakan perhimpunan tahunan pengarah-pengarah stesen negeri serta pengawal stesen-stesen daerah yang kebanyakkannya terdapat di Sabah & Sarawak. Pada pertemuan inilah pelbagai perkara dibincangkan termasuk perancangan & strategi tahun mendatang, mengkaji kelemahan dan apa saja yang bersangkutan dengan 'bisnes' penyiaran radio yang semakin mencabar ini.

Rumusan yang diperoleh ialah stesen-stesen Radio RTM masing-masing mempunyai cara dan gaya untuk memenangi hati peminat agar beralih kepada mereka. Apapun setiap pendekatan yang akan diambil pastinya tidak meminggirkan obligasi sosial demi memaklumatkan masyarakat agar sentiasa memperoleh input dan tidak samata-mata dihujani dengan hiburan yang total.

Itulah yang membuat petugas di RTM bangga kerana sambil menghibur mereka masih ada ruang untuk mencurah bakti menjadikan masyarakat peka dengan 'alam' sekeliling. Mereka mungkin ketinggalan dari dari segi rating berbanding stesen swasta tapi mereka tidak terkilan jika di penghujungnya nanti ketika ditanya apakah sumbangan mereka kepada masyarakat kerana telah terjawab dengan khidmat yang dicurahkan.

Apakah bentuk kepuasan yang sebenar? Ho ha ke sana kemari memutar lagu-lagu top hits sedangkan ada anak bangsa yang terbabit dadah, gejala sosial dan sebagainya yang perlukan pendedahan dan perhatian masyarakat umum. Dan jika bukan rakan-rakan di RTM yang menggalasnya siapa lagi yang kita harapkan?

Semoga rakan-rakan pengarah yang pulang ke tempat masing-masing petang ini akan menyusun langkah bersama anak-anak buah melakarkan sesuatu yang terbaik untuk dinikmati oleh audiens yang masih sayangkan RTM.

Bukit Piatu Si Bukit Rambai
Bandar Hilir cantik berseri,
Tanjung Kling melambai-lambai
Kalau sudi datanglah lagi.

Wednesday, November 26, 2008

Mencari Penawar

Senario yang dipaparkan di dada-dada media kebelakangan ini menggugat kesejahteraan jiwa. Insiden cubaan bunuh diri, mencabul, anak mencederakan ayah/ibu, bunuh, mempersoal fatwa dan banyak lagi menyuntik konformasi bahawa inilah tanda-tanda dunia yang semakin menghampiri detik kiamat.

Ia juga sebenarnya natijah dari jiwa manusia yang sakit dan nazak lantaran menjauhi naungan Allah SWT samada akibat lalai atau engkar. Jiwa-jiwa ini akan bertambah kritikal jika tiada usaha mengubati sedangkan ubat-ubatan atau penawarnuya amat jarang malah tidak mungkin diperoleh di hospital atau kunter-kaunter farmasi. Bahkan bagi muslim mukmin, ia tidak sama sekali terdapat pada disiplin yang diamalkan oleh agama lain.

Rujuklah Al Quran surah al isra' ayat 82 :

"Dan Kami(Allah SWT) menurunkan daripada al Quran itu sesuatu yang menjadi penyembuh(penyakit) dan rahmat kepada orang-orang yang beriman dan tidak menambahkan orang-orang yang zalim itu hanyalah kerugian semata-mata"

Ayat ini berbentuk penerangan sesuatu perkara kepada manusia agar mereka terhindar dari kesesatan akidah dan kejahilan. keraguan dan kesamaran mengenai perkara hak atau petunjuk kepada orang yang sedang dalam kebingungan.

Kesimpulannya penyembuhan di sini samada dari penyakit berkaitan akidah atau kepercayaan salah dan dari penyakit yang bersangkutan tingkah laku yang tercela selain mengambil keberkatan yang terdapat dalam Al Quran untuk menyembuh penyakit fizikal.

Tuesday, November 25, 2008

Take Care

Dalam posting siang tadi ada menyentuh tentang lagu Senang nyanyian Broery Marantika. Teringat pula lagu yang saya hasilkan liriknya sekitar tahun 1987 yang dicipta dan dinanyikan oleh Khairil Johari Johar(Kini Prof. Madya). Ketika itu beliau masih lagi menuntut di Berkeley.

Lirik yang saya tulis itu berkisar dari kisah seorang teman(seorang wartawan BERNAMA) yang datang setiap hari membuat tugasan di Angkasapuri. Seorang yang suka bercerita tentang kisah beliau dan keluarganya. Saya ketika itu hanya banyak mendengar.

Yang cukup saya ingati tentang teman yang seorang ini ialah setiap kali permisi pasti akan terluah ungkapan….”.zaz, take care”.

Lantaran saban hari saya dihadiahkan ungkapan itu lalu lahirlah lirik Jaga-Jagalah yang kemudiannya dimuatkan dalam album Engkau oleh Khairil Johari Johar. Lagu ini tidaklah sepopular mana tapi yang penting dan terkesan bagi saya ialah hasil ciptaan saya diterima oleh seorang komposer yang mempunyai sentuhan ‘emas’ menerusi lagu-lagu seperti Terbang Helang(Sharifah Aini) dan Sepasang Kurung Biru(Khairil Johari Johar).

Saya sempat menyumbangkan beberapa lirik lagu untuk dijadikan lagu oleh Khairil termasuk Engkaukah Kekasih dan Ku Kembali. Namun ia tidak sampai ‘box office’ sekadar termuat dalam album. Apapun ia antara adalah ceritera perjalanan hidup seorang anak seni yang gemar membaca alam untuk dijadikan bahan karya.

Sudilah mengamati lirik lagu Jaga-Jagalah(Take Care).


JAGA-JAGALAH

Seperti seakan terlihat
Diri yang jauh dirasakan dekat
Berseruling suaramu
Dengan nada mendayu
Sayangnya hanya lamunanku

Kau teman seiring jalan
Sama lalui masa keemasan
Seringkali berjumpa
Tiba waktu berpisah
Kau akhiri dengan berkata

Jaga-jagalah
Jagalah dirimu
Hati-hatilah jalani hidup ini
Jaga-jagalah
Jagalah dirimu
Tiitpkan rindu di angin lalu

Aura Anisma

Terkejut juga apabila menerima sms daripada Anisma Azwati Ahmad mantan dj Klasik Nasional yang awal tahun lalu berhijrah mengikut suaminya ke Jeddah, Arab Saudi. Tiba-tiba hari ini beliau mengirim sms bertanyakan khabar. Ah, rupa-rupanya beliau kini transit di KL sebelum ke Vietnam awal tahun depan mengikut suami yang bertukar dan bertugas di sana.

Baru sangat rasanya beliau meninggalkan Klasik Nasional dan kini sudah hendak ke Vietnam pula. Beliau sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan menunaikan haji cuma dapat melakukan umrah sahaja. Tak apalah Anis, perlu redha dengan ketentuanNya, balas saya.

Anisma sebenarnya sebelum meninggalkan Klasik Nasional hampir-hampir saya bawa untuk berhijrah ke Pusat Berita Radio kerana saya melihat potensinya untuk menjadi penyampai berita. Bagi saya Anisma memang ada aura tersendiri dan suaranya memang 'gifted' &'microphonic' untuk berkecimpung sebagai penyiar. Ada beberapa program yang saya libatkan beliau seperti Sejenak Bersama Paklah dan Sembang Menteri.

Beliau juga turut saya perkenalkan kepada penerbit tv untuk digunakan suaranya dalam program-program tv. Hasilnya suara beliau sudah mula digunakan sebagai suara latar dalam beberapa rancangan televisyen.

Tak sempat bertanya apakah ada 'hasil' yang dibawa balik dari Jeddah. Apapun semoga Anis terus bahagia di sisi keluarga. Lapang-lapang datanglah melancong ke Melaka Bandaraya Bersejarah.

Pesan Seorang Sahabat

Terharu mendengar pesanan seorang sahabat yang saya percaya amat jarang kita dengar. Tapi inilah yang saya dengar sendiri dan seolah-olah menerima amanah untuk ditunaikan apabila 'berlaku' seperti yang digambarkan.

Teman itu yang akan berkunjung ke Melaka atas urusan kerja mengamanahkan saya nombor orang-orang tertentu untuk dihubungi andai berlaku sesuatu yang di luar jangka ke atasnya. Malah beliau mahu saya membawanya ke Hospital Melaka untuk urusan rawatan sekiranya perlu.

Sebagai sahabat saya menerima amanah itu walaupun dalam hati berkata - inikah natijah mereka yang dipilih Allah SWT untuk mengetahui saat mereka akan dipanggil? Malah baru malam tadi isu ini dibincang ketika kuliah maghrib di surau bahawa ada golongan tertentu(kekasih Allah pastinya) yang didatangkan alamat saat mereka akan dijemput samada dalam tempuh 100 hari, 40 hari . 3 hari dan 24 jam. Pada saat itu mereka ini akan bersiap sedia membersihkan diri, bersolat dan menunggu masa untuk dijemput dengan harapan yang melonjak-lonjak untuk bertemu dengan Maha Pencipta. Allahuakbar.

Jika itu ketentuannya, kita harus redha. Dan menunaikan amanah itu bukanlah sesuatu yang ringan kerana kita juga terikat dengan kerahsiaan di sisi Allah yang maha perahsia: apakah kita diizinkanNya untuk memenuhi amanah itu kerana kita juga punya tempuh usia yang termaktub di azali tapi tidak terungkai dan terbaca dek jiwa yang kotor berdanur. Wallahu'alam.

Senang

Tengahari tadi DJ Rohaidi memutarkan sebuah lagu yang mempunyai melodi yang bagi saya sesuai didengar sewaktu sedang menikmati makan tengahari. Liriknya juga mudah dimengerti. Tajuk lagu itu Senang, sebuah ciptaan Dato' Ahmad Nawab, lirik ditulis dan dinanyikan oleh Broery Marantika. Saya transkripsikan liriknya di sini agar dapat sama-sama kita lihat hasrat seni yang ingin disampaikan lewat lagu Senang.

Senang bila dengar lagu merdu
Bila kau dekat denganku
Duhai sahabatku

Senang bila badai telah berlalu
Bila hilang suara pilu
Bila lihat senyummu

Angin timur bertiup ke arah pantai
Bertiup di pasir putih
Hati hancur tubuh bagai dirantai
menantikan damai yang abadi

Senang lihat si miskin tertawa
Lihat si kaya menderma
Dunia pun bahagia


Begitulah cetusan seorang seniman meminta kita bukan sekadar terhibur dengan irama lagu yang dicipta tapi mengajak kita berfikir dan berzikir tentang nikmat dan rahmat yang diamanahkan sepanjang usia di dunia ini.

Yang amat menyentuh hati ialah rangkap terakhir. Alangkah indahnya kehidupan ini seandainya itulah yang menghiasi segenap sudut dunia yang fana ini. Tapi apakan daya, ujian Allah SWT mengatasi segalanya. Kita diuji dengan pelbagai maunah agar akhirnya nanti akan tercetus rasa sabar dan taqwa sebagai insan muslim yang mukmin.

Bukankah dunia ini ladang untuk kita bertanam dan akan menuai hasil terbaik buat bekalan di sana nanti?

Lebih jauh lagi Senang dilihat dari sudut kehadiran mereka yang 'senang' bersama kita samada dalam saat senang mahupun susah. Seorang ketua misalnya akan senang apabila kehadirannya disenangi oleh mereka yang di bawah tanggungjawabnya.
Seorang suami atau bapa pastinya senang sekiranya disenangi oleh isteri dan anak-anak. Malah pekerja juga akan merasai senang apabila kehadiran dan peranan mereka disenangi oleh pihak pengurusan.

Persoalannya apakah kehadiran kita saat ini disenangi oleh makhluk bumi dan langit?

Thursday, November 20, 2008

Penyerahan Watikah Perisytiharan Sebagai Warisan Dunia UNESCO

22 November ini bakal menyaksikan satu lagi peristiwa penting dicatat dalam kalender sejarah negara apabila Majlis Penyerahan Watikah Perisytiharan Melaka & Gerge Town sebagai Warisan Dunia UNESCO akan disempurnakan oleh Yangdi-Pertuan Agong di dataran Merdeka.

Antara kriteria kenapa bandaraya-bandaraya ini dipilih ialah kerana is memiliki keunggulan sejagat atau outstanding universal value seperti mencerminkan kedatangan bersama elemen-elemen budaya dari luar Kepulauan Melayu seperti China, India, Arab & Eropah.

Bagi Melaka fm, ia telah mengambil inisiatif untuk menghantar pelapor bagi membuat lintas langsung. Selain itu satu dokumentasi mini juga turut diterbitkan untuik disiarkan menerusi Klasik Nasional.

Itulah antara inisiatf Melaka fm sebagai menghargai peristiwa 'historical' yang bakal dialami oleh Melaka yang sememangnya merupakan bumi warisan yang kaya sejarah.

Festival Pantun(ii)

Aduhai, rakan-rakan yang mewakili Kementerian Penerangan pada Festival Pantun Antara Kementerian Kali Ke-5 gagal untuk menempah tempat ke peringkat akhir hatta menjengah peringkat separuh akhir seperti tahun-tahun sebelumnya.

Khabarnya mereka ketinggalan 41 mata dari juara kumpulan iaitu pasukan dari Jabatan Perdana Menteri. Walaupun tidak terlibat secara langsung untuk kali pertamanya, saya sedikit terharu apabila usaha generasi pertama sebelum ini gagal dipertahankan.

Jika sebelum ini pasukan pemantun Kementerian Penerangan sentiasa digeruni nampaknya kali ini tidak lagi. Apapun saya percaya banyak yang perlu diambilkira oleh mereka yang bakal menerajui pasukan pemantun Kementerian Penarangan pada masa akan datang jika ingin mengembalikan kegemilangan yang pernah tercipta.

Tuesday, November 18, 2008

Festival Pantun

Singgah di dewan bahasa & pustaka menyaksikan Festival Pantun Antara Kementerian Ke-5. Setibanya di sana Kementerian Penerangan sedang beraksi. Kali ini muka-muka baru diperkenalkan. Jika empat tahun berturut-turut kumpulan dari Kementerian Penerangan menyaksikan rakan-rakan seperti Zainal Rahman,Daud Abdullah, Shaari Saripan, Nurul Asmawati, Anisma Azwati, Norhana Nordin, khairunnisna Farouk, Salbiah Shariff , Wan Ashahily Meor ZAinuddin dan Adibah Affandi tampil bertarung merebut juara tetapi kali ini misi itu ditangani oleh generasi kedua.

Setakat ini Kementerian Penerangan berjaya meraih juara dua kali[2003 & 2005] dan naib juara juga dua kali[2006 & 2007]. Tetapi pertandingan kali petama merupakan tahun yang sarat kenangan apabila dua pasukan yang bertarung di peringkat adalah pasukan-pasukan yangmewakili Kementerian Penerangan.

Sewaktu menyaksikan peringkat saringan tadi terasa agak cuak juga melihat peesembahan pasukan Kempen. Sempat juga memberi kata semangat kepada mereka sebagai orang lama walaupun misi saya kali bukan sebagai pengurus pasukan sepereti empat tahu lalu tetapi sebagai juru pantun.

Harap mereka terus gigih berusaha agar dapat merampas semula piala rebutan yang berada di tangan pasukan yang mewakili Kem.Pelajaran.

Monday, November 17, 2008

Ahli AKRAM Berdaftar

Khamis lepas menghdiri majlis pentaulihan sebagai ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau AKRAM. Seramai lebih 500 ahli menerima sijil masing-masing daripada Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Menumpahkan Ilmu

Rabu lepas sempat berkongsi ilmu dengan 22 new intakes dari beberapa stesen radio RTM yang ada di seluruh negara. Walaupun mereka bukanlah 'baru' dalam ertikata sebenar kerana majoriti mereka pernah bertugas secara sambilan malah ada yang mengalami kenaikan pangkat.

Seronok bertukar-tukar fikiran dengan mereka walaupun tugas saya sebenarnya adalah untuk mememberi pendedahan tentang cara penyampaian berita yang berkesan kepada mereka.

Kebanyakan mereka adalah generasi penyiar hari ini. Ada karisma dan visi masing-masing. Tapi tidak terselam apa sebenarnya yang terlukis jauh di sudut hati mereka tentang kerjaya sebagai penyiar. Apakah kerana ingin 'mengabdi' diri atau sekadar mengsisi ruang agar tidak digelar sebagai penganggur.

Sekali imbas mereka punya bakat dan minat. Apapun ia bergantung kepada kesungguhan dan kesanggupan untuk meneroka alam yang menuntut bukan sekadar kelayakan tetapi berupaya membaca kehendak dan selera jutaan audiens yang mempunyai banyak pilihan berbanding dulu.

Dalam hal ini saya melihat kepada perlunya sinergi yang bijak antara penyiar lama dan baru bagi menangani suasana dunia penyiaran hari ini. Orang lama perlu menyedari jika mereka hebat dulu antara lain kerana pendengar masa itu tidak banyak pilihan. Sementara penyiar kini sekiranya mereka merasakan kehadiran mereka tepat pada masanya perlu juga memikirkan apakah sumbangan mereka terhadap pembagunan modal insan seperti yang diuar-uarkan oleh pucuk kepemimpinan hari ini.

Apapun terhibur dengan gelagat si Johnson dari Minnal fm yang menjadi tukang lawak dan menjadi bahan usikan kawan-kawan sepanjang sesi petang itu. Tak lupa pada Anisah[negerifm], wahidah[labuanfm], syidah & rosmary[pusat berita radio], beverly[sarawakfm], marina si gadis everest[terenngganufm] dan rashid, tok penghulu[kedahfm].

Semoga sedikit pendedahan tentang correct breathing, correct reading & sebutan standard rtm dapat kalian amalkan bila balik ke stesen masing-masing. Itulah yang saya peroleh daripada sifu-sifu terdahulu samada dari pengamatan, tunjuk ajar, teguran, bertanya dan bacaan. Saya telah mengutipnya sejak 27 lalu. Apalah sangat yang dapat ditumpah kepada kalian dalam masa sekitar dua jam.

Anggaplah juga segala usikan dan gurauan sebagai hiburan untuk memeriahkan suasana sahaja.
Dan sampai kini masih terbayang menikmati nescafe 3 in one dan mengunyah cucur udang ketika di luar hujan dan ribut sedang melakar aksi alam.

Monday, November 10, 2008

Apabila Afdlin Shauki & Erra Fazira Bertanya Khabar Di Pentas

Anugerah Skrin TV3 berlalu Jumaat lalu. Gah dan heboh macam biasa. Hosnya Adlin Aman Ramlee dan Nurul Syuhada. Ada mengatakan mereka tidak serasi. Faktor umur barangkali. Tapi yang jelas mereka seolah-olah berada dalam majlis 'private' mereka sendiri kerana yang muda membahasakan diri pasangannya sebagai abang.

Seharusnya tidak begitu kerana mereka berada di atas pentas yang dtonton oleh pelbagai peringkat. Mereka sepatutnya membuat sapaan dengan menyebut nama sahaja walaupun faktor umur berbeza. Yang berbeza umur mereka sedangkan penonton tidak perlu tahu dan tidak perlu diberitahu pun. Ini tidak yang si wanita asyik ber'abang' pada si lelaki dari mula hingga akhir.Situasi di back stage seharusnya dapat dibezakan dengan ketika beraksi di tengah pentas.Kalau di belakang pentas nak berabang, beruncle atau apa saja pun buatlah. Tapi sebaik muncul dipentas, sebut nama sahaja, lebih profesional dan tidak ada 'difference in level'.

Satu lagi ialah artis yang muncul untuk mengumumkan calon dan pemenang. Nama-nama merekA juga bukan sebarangan termasuk Afdlin Shauki dan Era Fazira. Apabla nama mereka diumumkan merekapun berjalanlah ke podium. Mereka sebenarnya telah 'bertepuk tampar' sewaktu di belakang pentas tapi bila 'ON CAMERA' mulalah masing-masing bertanya khabar pasangannya. Tanya buat apa sekarang dan sebagainya yang boleh diselesaikan di back stage.

Kenapa tidak terus terang bercakap ke arah penonton dan ceritakan hal-hal peribadi tenpa perlu ditanya oleh pasangan seolah-olah baru bertemu di atas pentas. Aduhai kesiHan penonton. Apabila seorang melakukannya yang lain pun terikut.

Ia nampak remeh tapi makin jelak dibuatnya jika asyik berulang benda yang sama. Apapun tahniah kepada drama-drama yang berjaya meraih kemenangan pada Anugerah Skrin kali ini lebih-lebih lagi yang disiarkan di RTM1.

Wednesday, November 5, 2008

Tahniah Mr. Presiden

Jelas warna dan tekstur kulit bukanlah halangan untuk seseorang itu diangkat sebagai pemimpin. Ini terbukti apabila jutaan rakyat Amerika memilih Barack Obama sebagai presiden baru mereka dan presiden kulit hitam pertama!

Permulaan era baru. Itu antara reaksi awal para pemimpin dunia terhadap kemenangan Obama mengatasi lawannya John McCain pada pilihanraya Presiden. Menurut Presiden Peranchis, Nikolas Sarkozy, kemenangan Obama merupakan hasrat rakyat Amerika terhadap perubahan, keterbukaan dan keyakinan.

Begitu juga Gordon Brown, PM Britain, menyifatkan Brown bakal menterjemahkan visi dan misinya ke era yang lebih progresif.PM Ausralia Kevin Rudd pula berpendapat sudah tiba masanya dunia menyaksikan kesaksamaan tanpa prejudis keturunan.

Apapun dalam melihat perubahan yang bakal diharungi dunia ini, Menteri Luar Iraq, Hosyar Zebari pula berpendapat adalah terlalu awal mengharapkan suatu perubahan drastik akan berlaku terutama dalam soal campur tangan Amerika ke atas Iraq dan Afghanistan dan dunia Islam lainnya.

Itulah warna warni kehidupan. Putih tidak selalunya mengatasi lanskap yang berjalur. Teringat saya pada cerita seorang budak hitam yang memegang beberapa belon yang mempunyai pelbagai warna.

Budak itu bertanya pada seorang tua apakah dia mampu menerbangkan setiap belon termasuk yang hitam? Orang tua itu menyuruh budak tersebut melepaskan belon-belon dari tanganya. Sekujur setiap belon beterbangan.

Melihatkan keadaan itu budak tadi gembira lalu didekati oleh orang tua tersebut lantas berkata - bukanlah luaran yang menentukan arah tuju seseorang itu tapi tenaga atau keyakinan yang berada di dalam diri individu itu sendiri persis seperti belon-belon berkenaan.

Selamat datang Mr. Presiden. Kanvas dunia sedia untuk kau warnai. Jangan sampai ada yang terpalit darah seperti contengan Bush sebelum ini. Dunia menantikan 'kesejahteraan' yang kau janjikan itu.

Tuesday, November 4, 2008

Pemimpin Itu

Ada teman bertanya bagaimana saya membuat ketegori kepada pemimpin. Ah, lain macam soalan ni getus hati saya. Barangkali dek kehangatan pemilihan yang akan berlangsung menjelang Mac tahun depan membuatkan teman tadi melontarkan soalan sedemikian.

Saya minta dia merujuk buku atau bahan tulisan oleh mereka yang hebat-hebat sebagai jalan untuk mendapatkan kepastian lengkap dengan dalil dan hujahnya sekali. Namun teman itu masih berminat untuk memperoleh pendapat saya.

Dalam kekaburan saya terus memandangkan ke langit biru. Apa ya ciri-ciri pemimpin yang ada pada hari ini? Mungkin ini agaknya :

i) Pemimpin kelip-kelip

Sekadar mengisi kerusi dan hanya mampu menjadi perhiasan malam. Tidak mampu membawa lonjakkan kepada pengikut kerana dunianya gelap pekat.

ii)Pemimpin lampu jalan

Sekadar mampu menyuluh dalam lingkungan yang terbatas sedangkan ia sendiri bersifat statik dan jumud.

iii)Pemimpin bintang di langit.

Pemimpin jenis ini terlampau ideal dan nampak kehebatannya sehingga terus bekerja siang dan malam. Namun sebagai manusia apakah dia mampu untuk kekal sedemikian rupa.

iv) Pemimpin lampu basikal

Ingat lagi masa kecil-kecil dahulu sering membonceng basikal bapa yang mengayuh basikal tuanya meredah malam. Terletak dibahagian 'handle' basikal adalah lampu yang dihidupkan oleh dynamo yang dilekapkan pada tayar belakang. Ia akan menyalurkan tenaga elektrik pada lampu yang akan menyala mengikut jumlah tenaga yang dibekalkan. Selagi pengayuh memindahkan tenaga pada kayuhan,selagi itulah roda berputar. Dan selagi itulah lampu akan bernyala menyuluh jalan yang akan dilalui sama oleh pembonceng yang duduk di atas 'carrier' di belakang.

Kinetic engergy ini akan menggiatkan potential energy pengikut. Apapun ianya bergantung kepada daya dan kemampuan si pemimpin. Ia tidak berpura-pura kerana jika dia lemah, dia akan mengakui kelemahan kayuhannya terutama sewaktu melalui jalan berbukit. Dan ketika itu pembonceng di belakang sebagai makmum akan menggantikannya bagi menyuntik tenaga baru agar kayuhan diteruskan menuju destinasi atau matlamat.

Yang dibanggakan ialah pembonceng tidak perlukan apa-apa insentif selain kata-kata semangat dan bertindak dengan rasa keinsafan. Ini kerana si pembonceng memikirkan sekiranya dia mengharapkan pulangan jangka pendek, kayuhan akan diteruskan tetapi lampu lambat laun akan malap lantaran tenaga yang dipindakan kali ini bergerak atas dasar imbuhan bukan dek kudrat tulin. Lampu tadi sebenarnya amat mengharapkan tenaga yang disalurkan kepadanya benar-benar telus dan ikhlas.

Mendengarkan jawapan spontan saya teman tadi sekadar tersenyum. Dalam fikirannya saya dapat mengagak bahawa beliau sedang mencari pemimpin tertentu buat disesuaikan dengan ketegori ciptaan saya itu.

Siapa Gembala?

Lembu berkeliaran tanpa diketahui siapa gembalanya. Yang pasti lembu milik si gembala tetapi najis lembu dikongsi oleh orang awam yang tidak ada kena mengena dengan lembu-lembu berkenaan.

Itulah keluhan segelintir penduduk di sebuah taman perumahan di Alor Gajah, Melaka.Lembu-lembu tdak bertuan ini bukan saja mencemar alam sekitar dengan meninggalkan 'cetusan' isi perut di merata tempat malah turut meragut tanaman, merempuh pagar serta mengancam keselamtan pengguna jalanraya.

Mustahil lembu ini tiada bertuan. Dan kenapa pula tuannya ingin berselindung di sebalik lalang dan membiarkan ternakannya bermahajarajalela di kawasan kediaman?

Pernah menyaksikan dokumentari Discovery Magazine di mana fenomena lembu berkeliaran tidak bertuan ini banyak wujud di India. Walaupun bagi penganut Hindu lembu merupakan binatang 'suci' namun ianya tetap mendatangkan keresahan apabila bilangannya menyaingi jumlah manusia. Lalu ada pihak yang akan memburu lembu-lembu ini untuk di bawa ketempat peliharaan yang lebih sesuai.

Khabarnya bagi kes di Alor Gajah itu, pihak berkuasa tempatan memang ada ura-ura untuk menangkap lembu-lembu liar itu sekiranya gembalanya masih berdegil untuk tidak menambat lembu-lembu mereka.

Itu kisah lembu tanpa gembala. Tetapi dunia sekarang ini sedang menoleh kepada perkembangan yang bakal berlaku di Amerika Syarikat. Ratusan juta rakyatnya yang layak mengundi sedang bergelumang membuat pilihan siapakah yang bakal 'mengembala' mereka malah jika tidak keterlaluan turut mengembala masyarakat dunia.

Siapa antara Barack Obama(Democrat) dan John McCain(Republican) akan mengambilalih kerusi Rumah Putih yang bakal ditinggalkan oleh George W. Bush. Antara si kulit hitam Obama atau silanjut umur McCain. Siapakah yang bakal terpilih?

Kedua Obama dan McCain tampil dengan pendirian masing-masing. McCain dilihat sebagai calon yang bakal meneruskan dasar Bush sedangkan Obama banyak memilih menyebelahi golongan pertengahan dan mempunayi dasar luar yang tidak sekeras Bush.

Apapun jika lembu digembala walaupun ada kalanya si gembala suka berada di luar gerombolan lembu-lembunya tetapi watak yang bakal menerajui dunia ini secara terang-terangan akan berada di tengah gelanggang bagi membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin dunia yang kononya berkuasa ke atas setiap batang tubuh manusia.

Monday, November 3, 2008

BESTANI

Bangga sendirian apabila terdengar Buletin 11.00 malam mengatakan rancangan pertanian yang pernah disiarkan melalui Radio Satu(kini Klasik Nasional) akan kembali menemui peminat setelah di'benamkan' penyiarannya sebaik Klasik Nasional di'takhtakan' oleh Tok Zam.

Dua sebab kenapa saya berbangga. Pertama ia merupakan satu-satunya rancangan pertanian yang terdapat di saluran radio peringkat nasional. Jika dulu seingat saya rancangan pertanian di radio memang mendapat tempat. Saya sendiri pada peringkat awal di Radio Satu sekitar tahun 80-an pernah mengendalikan rancangan Fajar Harapan yang disiarkan jam 4.05 pagi yang cukup mendapat perhatian ketika itu.

Selain itu terdapat rancangan BDBD atau Bakti Disemai Bukti Dituai juga bercorak pertanian yang membolehkan pendengar sasar iaitu golongan petani, penternak dan nelayan memperoleh sumber maklumat dalam bidang yang mereka ceburi.

Rancangan ini dulu dikendalikan oleh penerbit-penerbit yang dedikasi seperti Mahmud Amat, Manan Selamat, Daud Abdullah(sekadar menyebut beberapa nama). Rancangan terbitan mereka ini mempunyai kekuatan tersendiri sehingga agensi dan badan berkaitan pertanian menghormati program berkenaan.

Malangnya apabila Radio Satu di'kahwinkan' dengan Radio Klasik melahirkan Klasik Nasional, kebanyakkan rancangan yang berbentuk bicarawara dikuburkan. Sekiranya adapun disiarkan lewat malam dengan durasi yang terhad. Ironinya ketika itu Pak Lah telah menjadikan bidang pertanian sebagai fokus untuk dianjak sebagai sumber negara alaf baru.

Namun apakan daya para profesional radio ketika itu perlu akur dengan kemahuan pihak yang lebih tinggi bagi merealisaikan Klasik Nasional tampil dengan hiburan lagu-lagu yang dikategorikan sebagai klasik yang khabarnya mempunyai ramai peminat.

Kini nampaknya sudah seperti sudah ada nafas baru. Syukur rancangan yang bernilai seperti Bestani dilahirkan semula. Saya pasti ia akan menjana satu pendekatan baru bagi bersaing dengan tuntutan dan kemahuan pendengar masa kini. Syabas Haji Khalim Rohani dan anak buah di Unit Pembangunan & Pertanian.

Sebab kedua kenapa saya bersa bangga apabila Bestani kembali diterbitkan ialah kerana saya terlibat menghasilkan nama Bestani itu sendiri. Ini terjadi apabila Shahizan Jelas, Pengawal Unit Pembangunan & Pertanian ketika itu meminta saya mencari tajuk baru bagi rancangan berkenaan.

Lalu timbul Bestani, singkatan bagi Bergerak Bersama Teknologi Pertanian kerana bidang pertanian kini sudah diindustrikan. Sekali imbas pertanian seharusnya dianggap sebagai suatu bidang penghasilan produk makanan dan sumber pendapatan terbaik atau dalam bahasa Inggeris disebut Best. Lalu Bestani menepati dalam makna dan sebutan.

Selamat datang kembali Bestani. Khabarnya ia telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Mustapa Mohd. Harap-harap penerangan tentang apa itu Bestani terdapat dalam pamplet yang diedarkan.

Salah Tafsir, Salah Lapor, Salah Siapa?

Dalam sehari dua ini kedapatan isu yang kononnya membabitkan salah tafsir dan salah lapor wartawan tetapi telah 'tercetak' di dada akhbar dan menjadi tatapan umum. Ia berkaitan tindakan seorang Timbalan Menteri yang mempersoalkan hak masyarakat Melayu dan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin parti siasah yang mahukan penjelasan di atas pelantikan seorang bukan Melayu menerajui badan yang bersangkut paut dengan pembangunan di sebuah negeri.

Lalu timbullah dakwaan daripada pihak yang mengeluarkan kenyataan bahawa apa yang dilaporkan sebenarnya telah dilihat dari sudut yang bercanggah dari nawaitu ayat.

Lalu apakah wartawan yang terbabit perlu dihantar semula ke 'dewan' kuliah untuk kembali menelaah cara mana mengambil nota dan membaca semula nota tanpa menambah atau mengurangi bahan yang diperoleh daripada sumber.

Bagaimana pula sekiranya di zaman yang serba canggih ini penggunaan gajet mudahalih seperti alat perakam digital banyak digunakan, apakah para wartawan tidak diajar mengoperasi aplikasi ICT ini dengan sebaiknya sehingga apa yang dirakam tidak menangkap seratus peratus yang betul?

Atau benar atau tidak kedapatan agenda tertentu di sebalik semua itu seperti yang didakwa? Jika ini berlaku di mana letaknya keluhuran etika kewartawanan yang seharusnya menjadi kitab rujukan mereka yang menceburi profesion yang dihormati ini?

Cuba kita lihat tatasusila kewartawanan ini-

Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar.

Dalam melaksanakan tugas ini, wartawan menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama
.


Justeru amat malanglah sekiranya masih berlaku salah tafsir atau salah lapor. Apapun wartawan tetap manusia dan manusia tidak mungkin terlepas daripada melakukan kesalahan.

Antara Jahil Dan Degil

Semalam sewaktu menatap akhbar mingguan berbahasa Inggeris sempat menjengah luahan minda seorang penulis Melayu beragama Islam berhubung fatwa tentang senaman yoga yang bakal dikeluarkan Jumaat ini.

Ternyata penulis berkenaan menyuarakan keresahannya tentang perkembangan ini dan seolah-olah bagi beliau senaman yoga yang turut melibatkan disiplin meditasi itu boleh diamalkan oleh umat Islam dengan sewenang-wenangnya tanpa sebarang kesangsian.

Sedangkan isu ini telah dibangkitkan oleh cendiakawan yang memiliki kelulusan ilmu wahyu yang pastinya bercakap berlandaskan nas dan dalil serta menilai dari aspek kemaslahatan yang menyeluruh.

Golongan seperti ini jika tidak ditangani dengan bijaksana dikhuatiri akan membenihkan faham liberal yang akan memusnahkan kemurniaan Islam itu sendiri. Cuma persoalannya apakah tindakan beliau itu berdasarkan kejahilan atau sekadar manifestasi kedegilan yang terikut-ikut dengan corak kehidupan moden yang terlampau.

Jika angkara kejahilan layaklah beliau segera ditarbiah. Namun jika akibat degil alangkah malangnya.

Saturday, November 1, 2008

Terakhir Untuk Seorang Teman



Mek Chah adalah nama sebenar Habsah Daud, teman yang pernah bertugas di Rakam Khanah P. Ramlee sekitar 80-an. Beliau memunyai ciri-ciri wanita Kelantan yang tipikal-kulit putih melepak dan gaya pertuturan yang lemah lembut sehingga terkadang sukar menangkap apa yang cakap.

Beliau juga suka membantu. Sebutlah apa bentuk bantuan yang diperlukan. Terakhir bertemu beliau ialah kira-kira enam lalu sebelum saya berpindah ke Melaka. Sempat meminta beliau downloadkan bahan ke dalam ceedee. Dilakukanmya tanpa banyak bicara.

Sempat juga beliau bertanya tentang perpindahan ke Melaka sambil mengucapkan tahniah di atas 'kenaikan' seorang teman. Sejak berpindah ke Melaka Jun lalu berita tentang Mek Chah termasuk beberapa teman lama lain memang tidak ketahuan. Dan hati masih beranggapan bahawa mereka semua dalam keadaan yang biasa-biasa sahaja.

Sehinggalah awal pagi tadi dimaklumkan bahawa Mek Chah telah kembali ke rahmatullah akibat kanser payu dara yang telah dideritainya sejak sekian lama. Tergamam seketika. Rupa-rupanya dalam sebulan ini telah ramai teman-teman yang menziarahi Mek Chah yang terlantar dan kritikal-cuma berita itu tidak sampai ke telinga saya.

Sebaik menerima berita terus sebarkan pada rakan-rakan lain yang mana teringat. Berpakat dengan seorang dua teman untuk berkonvoi berziarah ke rumah Almarhumah di Puchong Perdana.

Setiabanya di sana bertemu ramai teman yang dah dahulu sampai. Masuk ke ruang rumah. Terpandang sekujur tubuh yang diselimuti kain-kaku, dikelilingi keluarga, saudara, rakan dan jiran. Bacaab ayat-ayat suci berkumandang. Suasana hening dan sayu.

Sempat duduk seketika sambil bersedekah al fatihah untuk teman yang apabila bertemu sering mengelar saya sebagai sahabat. Rupa-rupanya taman ini telah lama menderita tetapi masih mampu senyum dan ceria.

Di luar bertemu dengan Zul, suami almarhumah. Beliau kelihatan tenang. Cuma sesekali menjawab panggilan telefon dari kenalan dan keluarga.

Jenazah Almarhumah Mek Chah sempurna disolatkan sebaik jemaah surau mendirikan solat zohor. Lebih kurang 100 orang turut sama bersolat jenazah dan mendoakan kesejahteraan roh almarhumah.

Jenazah di bawa ke tanah perkuburan kira-kita 1.40 tgh. Terakhir untuk 'sahabat'-berbahagilah rohmu di di sisiNya dan diletakkan di kalangan hambaNya yang soleh.