
Halwa muskat & dodol

Labu Air

Bubu

Upih

Okey,ini rasanya corat coret raya terakhirlah. Sebab hari dah mula bergerak semula ke Kuala Lumpur selepas menghabisi cuti hari raya. Perjalanan dari Bagan Datoh ke KL lancar. Barangkali masih awal. Mula bergerak kira-kira 11.15 pagi.
Anak-anak tidak segembira seperti balik ke kampung dulu. Pasti di minda sudah bermain suasana kembali ke sekolah. Beratnya bukan main.
Pada posting kali ini cuma nak paparkan beberapa 'peninggalan' tradisi sebagai menambah pengalaman anak-anak. Imej tentang halwa muskat & dodol yang terhidang atas meja ketika berkunjung pada raya ke-2 lalu. Halwa muskat ni kononnya berasal dari negara Oman-begitulah cerita yang pernah didengar. Sekiranya ada pendapat lain, silalah komen.
Tentang dodol pula, walau biasa tapi mungkin sukar melihat bagaimana ia disediakan. Sudahlah memakan masa berjam-jam. Yang lebih mencabar ialah ketika mengacau. Peringkat awal ketika bahan masih cair, ramai yang menawarkan diri. Tapi apabila mula memekat, seorang-seorang cari lasan. Yang tinggal akan bermandi peluh mengacau. Agaknya rembesan peluh yang memercik itulah sebagai perasa yang menyedapkan si dodol.
Ketika di Kuala Kangsar sempat menunjukkan labu sayong/labu tanah dan bubu. Jangan tanya cara membuatnya. Tapi kegunaannya ialah untuk menyimpan air bagi labu dan untuk menangkap ikan bagi bubu. Itulah warisan orang dulu-dulu yang perlu dididedahkan pada anak-anak.
Satu lagi ialah apabila nak bertolak balik, tiba-tiba gugur sesuatu dari pohon pinang di hadapan rumah mertua. Itulah upih. Berlari si anak menyambar dan kembali dengan beberapa persoalan.
Upih pinang ini dan juga upih nyiur(kelapa)adalah bahagian pangkal plepah yang terletak di batang pokok. Bila usang ia akan gugur. Ibarat umur manusia, bila tiba masa akan mengalami kematian.
Upih ini cerita si datuk antaranya untuk dijadikan alat permainan-seorang akan duduk di atas upih sementara kawannya akan menarik bahagian ujung(macam yang digambarkan dalam iklan tv sedikit masa dulu). Seronoknya bukan main, seolah-olah berada atas kapal terbang.
Selain itu ia boleh juga digunakan untuk membungkus dodol dan pada yang lebih kreatif, dijahit sebegitu rupa sebelum dijadikan seperti beg atau tas tangan. Kraftangan nenek moyang kita dulu.
Akhirnya ketika singgah membeli ikan masin(kegemaran) di sebuah kedai milik 'taukeh cina', terlihat pintu gerbang yang sedikit lain dari yang lain. Terpampang ucapan " Selamat Jalan. Berhati-hati Di Jalanraya. BALIKLAH LAGI...ungkapan yang besar maknya bagi anak kampung yang merantau. Hampir berlinang air mata membaca ungkapan ini. Hati tersentuh & terusik. Betapa itulah harapan orang tua mengaharapkan anak-anak jangan mudah lupa diri dan lupa kampung halaman.
No comments:
Post a Comment