Kenangan Bersama Ipar Duai dan Anak-Anak Saudara Sempena Gathering Hari RayaBersimpuh sujud sepertiga malam Ramadhan
Ada munajat pinta mohon pada Tuhan
Berbisik hati tentang kerdilnya amal diri
Dalam hujan air mata magfirah Ilahi mahu dicari
Lalu kebesaranNya terpaut pada seribu sesal
Kudus Ramadhan nan ini mampukah dikekal
Walau siangnya berlapar dahaga
Malam nanti belum tentu banyak berjaga
Lalu sekelumit semangat datang menerjah
Berdiri malam teramat sikit namun digagah
Memanjat doa agar siyamku diterima
Bukan sekadar bertangguh makan bertahan dahaga
Lalu tiga puluh Ramadhan genap terhitung
Tiba detik syaitan terlepas kurung
Tandanya Syawal mendepa tangan menjemput masuk
Seribu kemenangan jihad kini mahu dipeluk
Aidil Fitri kukucup harum kasturimu
Terimalah kedatanganku dengan hasrat ingin bertamu
Syukur Ramadhan yang ini selamat kulalui
Apakah masnisnya Rmadhan pada tahun nanti masih dapat kukecapi
Takbir menjulang bersahut-sahutan
Ada tangis gembira turut kedengaran
Dalam keriangan ibu bertakbir di ceruk dapur
Si ayah bertahmid bertahlil luah rasa syukur
Solat sunat Aidil Fitri di merata tempat
Surau, ,mesjid dituju jemaah sehingga sarat
Solat dua rakaat bawa hati bersih suci
Setelah dibasuh taubat, istighfar kepada Ilahi
Lalu bertebaranlah umat nan gembira
Mencari wajah dan tangan-tangan saudara
Menatap muka mengucap selamat
Ampun diminta pada khilaf yang dibuat
Yang dulunya kabur kini jelas
Yang dulunya lebur kini membekas
Tiada dendam di sudut hati
Hanya nan indah dipuncak sanubari
Datang tetamu disambut mesra
Pulangnya teriring haruman jiwa
Noda nan lalu izinkan pergi
Mengerat silaturrahmi itu yang pasti
Kukucup lembut pipi ibu ayah
Kudakap erat sambil mata membasah
Makan minum mohon dihalalkan
Tingkah laku jangan sampai menderhakakan
Buat kekanda, adinda tersayang
Ini saat kita mencari jalan pulang
Andai tersesat di hutan amarah
Biar sirna dalam cerah cahaya indah
Dalam erat dakapan ikhlas
Ada segunung rasa puas
Kerana kini tiada lagi
Rasa sebal yang membuku di hati
Segalanya terjawab pada jannah duniawi ini
Fitrah suci di Aidil Fitri
Taqabalallahu minkum
Minna wa minkum taqabbal ya karim.