Thursday, January 29, 2009

Apa Cheghita Hari Ni Yob?

Bubar sayap UMNO. Itu tajuk akhbar yang pernah membakar semangat Melayu untuk menuntut kemerdekaan. Cadangan ini datang daripada veteran UMNO yang ingin melihat parti kesayangan ini bersih daripada virus politik wang. Kewujudan sayap dianggap akan membuahkan lebih banyak gejala politik wang memandangkan akan berlaku banyak perebutan jawatan.

Lalu cadangan ini disanggah dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi. Mereka mempertahankan kehadiran sayap UMNO yang dianggap bakal mewarisi perjuangan kalangan orang lama yang satu hari nanti akan meninggalkan parti. Jika tidak didedahkan dengan sepak terajang perjuangan kepartian dari sekarang bila lagi, hujah mereka.

Apapun biarlah cerdik pandai dalam parti berkenaan yang membahas isu ini walaupun kita juga ada 'saham' di dalamnya kerana terbentuknya kerajaan yang memerintah hari ini adalah hasil dari gagasan yang diterajui oleh UMNO. Justeru kita serahkan saja pada mereka usaha mencerna pemikiran dan langkah yang patut diambil ke arah membersihkan 'diri' UMNO daripada gejala yang boleh menghancurkan survival parti terbesar umat Melayu ini jika tidak ditangani dengan bijak dan segera.

Teringat pada tajuk salah satu novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Tan Sri Samad Ismail, Patah Sayap Terbang Jua.

Kenapa risaukan sayap yang 'patah', sedangkan semangat untuk terbang dengan tampak 'bersih' sedang merapuh dan terkulai?

Tuesday, January 27, 2009

Apa Ceghite Hari Ni Yob?

1.30 tgh-Sekitar Puduraya dan Bangunan Cahaya Suria.

Aduhai. Bergelumang dan berjalan di tengah-tengah manusia yang boleh ditemui di Pulau Madura, Hanoi, Katmandu, Makati, Dhaka, Karachi mahupun Kerala. Kesemuanya boleh ditemui di ibu kota negaraku tercinta. Itulah senario terutama bila hari kelepasan am-dipenuhi susuk tubuh pekerja asing yang menjadikan Malaysia syurga rezeki mereka sehingga ada yang berat hati untuk meninggalkannya. Kawasan bangunan Puduraya, Cahaya Suria dan Kotaraya hari ini tidak seperti yang kukenali hampir tiga puluh dulu. Bukan sekadar jumlah lalu lintas bertambah malah bilangan manusia yang menyusuri kaki limanya juga melimpah ruah terutama golongan pengunsi. Tidak heran jika jumlah pekerja asing di Malaysia sudah meningkat jutaan orang. Memang tepat sekali jika kerajaan kini mula menyaran dan menggalakkan kita beralih pada pekerja tempatan. Sekurang
-kurang apabila berselisih tidaklah tercium 'bau' orang asing yang jelas kontradiksi budaya mereka dengan budaya kita.

Monday, January 26, 2009

Apa Ceghita Hari Ni Yob?

Semalam sempat menatap akhbar Mingguan Malaysia di bawah pojok Siti Jarum tentang nasib Ketua Pengarah Penyiaran dan timbalannya yang dihijrahkan dari jawatan masing-masing menuju terminal baru mereka. Bak kata Pendekar Mustar dalam Pendekar Bujang Lapok, ini betul-betul bukan cubaan. Mungkin ada yang menganggapnya sebagai drama kerana RTM selama ini sering menyiarkan drama. Lalu berhijrahlah kedua-dua orang nombor satu dan nombor dua RTM ini. Memandangkan RTM juga sering menyiarkan Hari Ini Dalam Sejarah, mungkin juga ia bakal menjadi bahan sejarah katakan dua puluh tahun akan datang. Apapun teka tekinya siapalah yang bakal menerajui RTM dan meletakkannya kembali ke puncak persada setelah lebih 60 tahun ia dipupuk oleh kalangan profesional yang membinanya dengan darah bakat dan seni mereka.

Friday, January 23, 2009

Demimu Palestin

Malam ini di Laman Santai, Istana Budaya berlangsung majlis baca puisi Demimu Palestin anjuran Utusan Malaysia.

Sebaya Dengan Obama Rupa-Rupanya

Al kisah si Obama presiden Amerika tu sebaya pula dengan saya, 47 tahun. Beerti kami dilahirkan pada tahun yang sama, 1961. Tapi itulah sunnatullah. Serupa tapi tak sama. Dalam usia sebegitu Obama kini memimpin 130 juta rakyat Amerika dan secara tak langsung adalah pemimpin yang kata-katanya dipatuhi oleh sebahagian besar masyarakat dunia. Apapun Obama mungkin pemimpin besar yang digeruni tapi belum tentu berjaya dalam 'kepemimpinan' sebenarnya. Percayalah.

Obama Bersumpah Kali Kedua


Ibarat menonton filem hollywood yang diulang tayang, itulah yang dilalui oleh Presiden ke-44 Amerika Syarikat, Barrack Obama yang perlu menjalani upacara angkat sumpahnya buat kali kedua. Cuma kali ini ia tidak disaksikan lebih dua juta rakyatnya. Ia hanya berlangsung di hadapan sekumpulan pegawai berpengaruh dan selebihnya kumpulan wartawan. Begitulah ironi di sebalik kehebatan dan kepetahan Obama ketika berkempen untuk merebut jawatan presiden dulu. Hanya kerana tidak menuturkan ayat angkat sumpah dengan sempurna, Obama perlu melaluinya sekali lagi atas dasar langkah berhati-hati dalam menangani upacara yang eksklusif ini. Jelaslah betapa hebat pun sekali Amerika dalam mengatur dan melaksana agenda yang didakwa sebagai tercanggih di muka bumi, ia tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan yang mengaibkan ialah ia membabitkan pemimpin tertinggi negara berkenaan.Apapun ia sedikitpun tidak menjejaskan kepresidenan Obama yang disandangnya 20 Januari lalu. Mujur.

Apa Ceghita Hari Ni Yob?

What a long weekend. Satu hujung minggu yang panjang. Empat hari weh.Masanya untuk rakan-rakan Tionghua kita merayakan tahun baharu mereka. Tahun lembu kabornya. Tahun yang diharap oleh masyarakat Cina akan membawa kesejahteraan khususnya dalam suasana ekonomi yang menghimpit.Tahun untuk melakukan kerja keras sepertimana tenaga yang terdapat pada haiwan lembu.

Jangan pula kita lupa dan leka bahawa pada musim perayaan ini jalan-jalanraya khususnya lebuhraya akan dipenuhi kenderaan yang pastinya berlipat kali ganda daripada biasa. Justeru pengguna jalanraya diharap dapat memandu dengan lebih memfokuskan kepada keselamatan daripada ingin cepat sampai ke destinasi sehingga mengabaikan tumpuan terhadap ciri-ciri keselamatan.

SELAMAT BERCUTI.

Thursday, January 22, 2009

Ole-Ole Untuk Dato' KP

Pagi tadi bertempat di Auditorium Johor fm berlangsung pertemuan dengan Dato' Haji Abdul Rahman Hamid yang bakal melepaskan jawatan Ketua Pengarah Penyiarannya penghujung bulan ini untuk berhijrah ke tingkat enam Wisma TV sebagai Penasihat Penyiaran Menteri Penerangan Malaysia. Lima tahun menjawat jawatan tersebut, menurut Dato' Rahman beliau telah berusaha memastikan RTM ditadbir secara profesional dengan menerapkan 'kepemimpinan bekerja secara berpasukan'. Ini kerana menurut Dato' Rahman, keunikan petugas-petugas di RTM ialah cara mereka bekerja yang tidak mungkin terlaksana tanpa ada kolaborasi secara 'teamwork'. Semangat inilah yang telah diamalkan RTM sejak lebih 60 tahun wujud di ruang udara Malaysia dan berharap akan diteruskan walaupun dia tidak lagi menerajui jabatan dan kerjaya yang telah sebati dengan jiwanya ini.

Pembabitan Dato' Rahman dalam bidang penyiaran sebenarnya berputik dari rasa minat dengan bidang yang berkait rapat dengan muzik kerana beliau sejak di peringkat sekolah hingga membawa semasa menuntut di universiti cukup gemar bermain muzik dan menyanyi. Malah pada sekitar tahun 70-an beliau bersama kumpulan kugirannya 5288, pernah menyertai Juara Kugiran anjuran RTM. Pada persimpangan kerjayanya, Dato Rahman telah membuat pilihan yang kritikal apabila beliau perlu memilih samada untuk menjadi Pegawai Tadbir & Diplomatik(PTD) atau penerbit di RTM. Akhirnya beliau nekad memilih RTM sebagai tempat mencurah bakti.

Kerjaya Dato' Rahman di RTM bermula di Bahagian HIburan TV sebagai penerbit. Seterusnya berpindah ke Bahagian Drama. Selepas itu beliau terus menangga dari satu jawatan ke satu jawatan sehingga menjadi Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran sejak tahun 2004.

Semoga Dato' Rahman akan terus mencurahkan bakti dalam kerjaya yang telah menjadi darah daging. Untuk anak-anak buah pesanan Dato Rahman : Mantapkan 'sense of belonging', elakkan perpecahan, kerja berpasukan, tingkatkan kemahiran dan jadikan kerja sebagai suatu badah.

Di luar agenda saya secara spontan telah memohon kepada pengacara majlis untuk menyampaikan sedikit ole-ole kepada Dato yang telah lama saya kenali. Ini kerana dalam preamble ucapannya, Dato sempat mengusik dengan mengatakan bahawa saya melalui Kumpulan Kasturi(Karyawan Angkasapuri)yang saya terajui sewaktu di Angkasapuri, tidak pernah mengundang beliau dalam majlis baca puisi yang kami anjurkan.Maaf Dato.

Pada kesempatan naik ke rostrum pagi tadi saya sempat mengimbas kembali saat-saat saya mengenali Dato' Rahman hampir 30 lalu dan beliau hanya tersenyum dengan 'sejarah' yang tersingkap itu. Diperturunkan di sini ole-ole untuk beiau yang saya lakar sewaktu beliau sedang menyampaikan ucapan :

Kok datang berdepan
Kok balik nampak belakang

Kok jasa dikenang
Kok janji dipegang

Kok baik dijulang
Kok budi ditatang

Kerja biar berpakat
Kasih biar bertempat

Jatuh sama diangkat
Naik sama berpangkat

Dato pergi bak tak berganjak
Di hati kami tetap bertapak

Selamat jalan Dato'.

Wednesday, January 21, 2009

Pahatpun Terus Berbunyi

Berita TV 1 terus diperkatakan. Yang menegur majoritinya mahu ia dibawa ke jam 8.00 malam semula. Berkajanglah jawapan pihak berautoriti di Kementerian Penerangan menangkis ketidakpuasan hati penonton yang disuarakan lewat laman-laman forum akhbar. Ada yang mengatakan bahawa pandangan kalangan profesional di RTM tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum penstrukturan semula program TV1 dilakukan. Apapun ia telah berusia tiga minggu. Mungkinkah ada ura-ura untuk pihak berwajib di Bukit Putera akan mengadakan soal selidik awam terhadap perubahan yang dilakukan itu? Dalam hal ini memanglah mustahil untuk memuaskan semua pihak dalam satu masa namun pandangan dan keinginan mereka juga wajar diambil kira kerana merekalah sumber populariti sesebuah program itu selain secara tidak langsung di tangan merekalah letaknya kuasa menentukan kewujudan stesen penyiaran milik awam itu terus relevan atau tidak.

Tuesday, January 20, 2009

Menatap Kali Terakhir Wajah Seorang Teman


Malam tadi dikejutkan dengan berita pulangnya ke rahmatullah teman sekerja yang juga seorang juruhebah sambilan di Melakafm, Rashid Saat(gambar) kerana menghidapi paru-paru berair. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 malam, Isnin 19 Januari 2009 di Hospital Jasin setelah dimasukkan ke hospital berkenaan hari Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada.Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ialah pada Rabu lalu. Allahyarham sebenarnya telah diberi pelepasan dari bertugas sejak sabtu lepas memandangkan sejak kebelakangan ini beliau didapati tidak begitu sihat untuk mengendalikan konti.

Saya mengenali Allahyarham sejak bertugas di Melakafm iaitu kira-kira tujuh bulan. Allahyarham yang saya kenali merupakan seorang periang, banyak idea dan mempunyai sentuhan seni. Bakatnya terserlah apabila mengendalikan program bercorak puisi pada tahun lalu. Allahyarham sebenarnya bertugas dengan Jabatan Pelajaran dan terlibat sebagai juruhebah sambilan sejak tahun 2005.

Beliau pergi dalam usia 42 tahun meninggalkan balu dan dua orang anak. Sebagai anak sulung dalam keluarga. pemergian Allahyarham amat dirasakan oleh bapa dan ahli keluarga. Ramai yang datang berziarah di rumah orang tua Allahyarham di Bukit Lintang, Ayer Molek termasuk beberapa ahli yang berhormat yang mengenali Allahyarham semasa hayatnya.

Teringat pada hari raya tahun lepas saya membuat artikel tentang Dj-Dj Melakafm menyambut hari raya yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 28 September 2008. Sebaik artikel itu disiarkan Allahyarham datang bertemu saya sambil mengucapkan terima kasih kerana beliau memperoleh banyak maklumbalas daripada peminat dan pembaca.


Sahabat,Berbahagialah rohmu sahabat di sana. InsyaAllah kami juga akan menyusuli. Hanya doa kupanjatkan dan kesempatan menyembahyangkan jenazahmu buat kali terakhir pagi tadi menghadirkan sebak di dada kerana genggaman erat tanganmu petang Rabu lepas rupa-rupanya adalah sentuhan terakhir daripada rakan sekerja yang mesra dan periang.Al Fatihah.

Monday, January 19, 2009

Melakafm 24 Jam?

Malam ini sepatutnya Melakafm akan mula relay atau sambung siar siaran Klasik Nasional yang boleh didengar menerusi frekuensi 102.3mhz dari jam 12.00 tgh malam hingga 6.00 pagi. Jika sebelum ini frekuensi Melakafm akan senyap selepas mencecah jam 12.00 tgh malam, tetapi mulai malam ini, Selasa 20 Januari 2009, ruang udara Melakafm seolah-olah akan bersiaran sepanjang 24 jam walaupun untuk selama enam jam, 12.00tgh hingga 6.oo pagi,pendengar akan dapat mengikuti siaran Klasik Nasional.

Idea untuk melakukan sambung siar ini datangnya daripada boss Melakafm sendiri.Satu anjakan untuk Melakafm sempena 2009. Saya melihat usaha ini sebagai 'gaining the air' agar pendengar Melakafm tidak perlu tukar frekuensi atau tutup saja radio sebaik sahaja jam menunjukkan tepat pukul 12.00 tgh malam.Itulah sifirnya. Jadi beerti apabila jam mencecah 6.00 pagi, Melakafm akan kembali mengambil alih siaran.Begitulah seterusnya sehingga ada perubahan yang lain pula selepas ini.Justeru, uar-uarkanlah berita baik ini kepada pendengar setia Melakafm agar terus melekat di sisi 102.3mhz.

Kedamaian Yang Tercarik

Aduhai, pada posting sebelum ini saya menyentuh tentang ingin mencari 'kedamaian' tinggal di tempat baru di Bukit Katil Damai. Tapi mengikut cerita setakat ini sudah ada tiga kes pecah masuk. Terbaru kes berlaku Jumaat lalu. Lagi kes pecah masuk dilaporkan berlaku dengan modus operandi yang hampir sama.Ini yang menggelisahkan. Khabarnya juga belum ada inisiatif untuk menubuhkan jawatankuasa persatuan penduduk bagi melihat dan menangani masalah setempat berkenaan. Sesuatu perlu dilakukan. Dan sebagai salah seorang ahli komuniti, saya rasa terpanggil untuk turut sama memikir dan menggerakkan suatu kesapakatan dan kebersamaan dalam menghadapi kemelut yang mendatangkan ancaman ini.

Cambah Fikiran

Hari ini saya berpeluang membakar semangat rakan-rakan sekerja untuk melaksanakan suatu projek besar penghujung Februari ini. Ia turut membabitkan penuntut-penuntut IPT yang sedang menjalani latihan industri di Melakafm. Mereka saya 'seret' sekali bagi melihat belang mereka. Bagaimana mereka menggarap idea untuk direalisasikan sebagai karya buat tontonan ramai. Ini assignment yang saya minta mereka laksanakan berganding bahu dengan staf yang akan membimbing.

Pada peringkat awal ini nampaknya mereka 'bernafsu' untuk memberi kerjasama. Masing-msing telah memperoleh peranan untuk dipikul. Apakah projek yang bakal mereka lunasi? Nanti akan saya jelaskan kemudian.

Apa Cheghita Hari Ni Yob?

Khabarnya tahun ni genap 25 tahun usia TV3. Semakin dewasa deme ye. Cuma teringat di awal-awal tahun munculnya stesen tv swasta ini di ruang udara Melaysia. Masa tu saya berkhidmat di Unit Seranta TV. Tugas unit ini adalah untuk menguruskan publisiti rancangan-rancangan tv kepada akhbar-akhbar tempatan termasuk Bernama. Secara tak langsung di sinilah saya banyak bergaul dengan wartawan hiburan seperti Juwie, Huzz, Muzlina Abu Bakar, Ku Seman,Zubairi Zabidin selain wartawan dari akhbar berbahasa Inggeris, Tamil dan Cina.

Tugas saya setiap hari adalah menyediakan bahan sinopsis rancangan tv berserta jadualnya untuk kegunaan akhbar-akhbar terbabit. Pada masa inilah saya menjadi 'pemburu' untuk mendapatkan bahan samada rancangan syndicated(luar negara) atau tempatan(yang diterbitkan oleh RTM sendiri). Antara yang saya buru ialah penerbit-penerbit drama TV termasuk Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Abdul Rahman Hamid yang pada ketika itu merupakan antara penerbit drama RTM yang tersohor selain nama-nama seperti Allahyarham Rosli Jalil, Hasiah Ariffin, Husner Ahmad dan Abdullah Zainol. Pendekkan cerita dalam kalangan penerbit-penerbit drama berkenaan amat 'seriau' apabila melihat kelibat saya kerana kedatangan saya tidak lain ingin mendapatkan sinopsis drama terbitan mereka. Dan mereka pula tidak dapat tidak perlu menyediakan sinopsis walaupun sebaris kerana Pengawal Drama ketika itu Tuan Haji Abdul Aziz Abas(3A) adalah seorang yang mengambil berat tentang publisiti khususnya drama. Kerana jika tiada publisiti untuk drama siaran hari Ahad(slot Drama Minggu Ini), keesokkannya hari Isnin, beliau akan 'bising'. Yang terkena 'hayun' pastinya penerbit terbabit. Jadi begitulah secebis senario 'kesibukan' bekerja era berkenaan.

Berbalik pada kewujudan TV 3, pada ketika itu TV1 memang terasa pukulan kehadiran TV swasta pertama ini. Saya masih ingat lagi, Pengawal Rancangan TV masa itu ialah Encik Ahmad Noor yang 'berserabut' memikirkan cara untuk menyaingi program-program yang disiarkan oleh TV 3. Antara yang diperkenalkan ialah sebuah sitcom yang jika ramai masih ingat, Mind Your Language, kisah sebuah kelas dewasa belajar bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh pengajar bernama Mr. Brown. Ternyata ia berjaya menarik perhatian penonton ketika itu.Nampaknya kini wujud sebuah sitcom tempatan berjudul Kelas Nombor 1 yang mirip dengan program tersebut. Itulah sebahagian dari ribut yang melanda RTM khususnya TV sewaktu kehadiran TV yang muncul dengan tagline, Berita Terkini,Hiburan Sensasi 25 tahun lalu. Dan saya sendiri dapat menyaksikannya.Apapun betapa pantas masa berlalu.

Sunday, January 18, 2009

Jihad Seorang Teman

Kelmarin terima panggilan dari seorang teman lama. Teman ini berjawatan tinggi dan punya kepakaran dalam bidang ICT. Dalam usia lewat 40-an, beliau sebenarnya menghidapi penyakit hepatitis B. Beliau sebelum ini pernah menunggu giliran untuk menerima derma hati. Tapi yang menakjubkan ialah sejak balik dari Tanah Suci, hati beliau yang sebelum ini bermasalah tetapi kini didapati telah pulih sehinggakan doktor yang merawat juga merasa takjub. Itulah yang diceritakan pada saya. Apapun teman saya ini sebenarnya adalah seorang yang tabah. Banyak ujian yang telah dan sedang dilalui. Cuma semalam saya agak terharu apabila beliau mengatakan bahawa beliau telah mendaftar nama kepada Mercy Malaysia sebagai sukarelawan untuk berkhidmat di Palestin. Menurut teman saya ini, daripada mati di tanah air sendiri beliau redha untuk mati di medan jihad. Subhanallah. Hebat teman saya ini. Semoga Allah memberinya kesembuhan dan kekuatan. Mampukah saya mengikut jejaknya?

Saturday, January 17, 2009

Demonstrasikan Kesanggupan Diri

Ketika puluhan ribu berdemonstrasi mengutuk kekejaman rejim zionis, cuba kita tanya berapa ramai yang benar-benar sanggup untuk mendemonstrasikan kesanggupan mereka dan berada di medan perang di bumi Palestin? Selain pasukan sukarelawan yang agak terbatas bilangannya, golongan media adalah yang akan menyahut cabaran ini demi memperoleh bahan berita yang ditulis berdasarkan 'eye witnessed story' agar ianya lebih bersifat adil dan berintegriti.

Saya kagum dengan Shahanaaz Habib, wartawan The Star yang kini berada di kawasan sempadan Mesir/Gaza bersama sekumpulan wartawan lain untuk menjalankan tugas sambil letupan bom(mengikut laporan beliau) kedengaran tidak mengira waktu.

Teringat saya pada sebuah pertubuhan di Indonesia yang menawarkan tiket sehala kepada anggotanya yang ingin berjihad membantu saudara seagama mereka memerangi kekejaman di Palestin. Semoga perkara ini tidak beraku pada kumpulan wartawan terbabit kerana seperti pasukan penyelamat, kehadiran mereka adalah atas sifat berkecuali dan diberi pelindungan. Tetapi tiada jaminan mereka akan 'terlepas' dari ancaman seperti peluru sesat dan salah faham kumpulan tertentu seperti yang dialami rakan saya Haji Omar Salleh ketika berada di Baghdad satu ketika dulu di mana konvoi yang terdiri dari pasukan media diserang dan diancam bunuh. Itulah sebenarnya bidang tugas mereka yang terlibat dalam bidang kewartawanan atau penyiaran. Bukan sekadar berada di dalam bilik berhawa dingin tetapi sanggup ke lapangan di mana jua untuk membuat liputan dan memberi laporan, ia bukan untuk mencari populariti semata-mata. Justeru saya tidak rasa terkilan sekiranya tiada calon dj dari stesen radio RTM yang tercalon dalam kategori dj radio lelaki/wanita terbaik dalam satu pertandingan yang bakal dianjurkan oleh sebuah akhbar arus perdana tempatan. Pandai berceloteh dan mengendalikan program belum tentu berkemampuan berada di lapangan dan berhasil mengendalikan 'rancangan' dengan baik. Tetapi jika kedua-dua bidang berjaya dilakukan dengan cemerlang ia adalah satu bonus yang wajar diberi pengiktirafan. Bagi wartawan dan penyiar radio RTM, persiapkanlah diri anda dengan kepelbagaian agar kehadiran anda bukan sekadar mencipta nama tapi melakukan jasa.

Kepada Shahanaaz, selamat kembali ke tanahair.

Thursday, January 15, 2009

Apa Cheghita Hari Ni Yob?

Lazimnya untuk mengumpul harta atau hak milik, kita akan mencari, mengumpul dan mempertahankan sedaya upaya apa yang ada. Namun belum tentu ianya menjadi hak mutlak kita. Pernah 'guru' saya menyarankan, banyakkan memberi nescaya akan ada pulangan. Yakinlah. Satu lagi pengalaman yang saya peroleh semalam dan hari ini. Bukan untuk riak tapi sekadar berkongsi pengalaman agar kita berusaha melawan sifat kikir atau kedekut.

Semalam saya berusaha untuk 'memberi ' sebahagian kecil wang kepada dua rakan yang banyak menolong sebagai insentif dan tanda penghargaan saya kepada mereka. Hari ini rakan-rakan yang sama datang bertemu saya dan menghulurkan sejumlah wang yang berkali ganda daripada apa yang saya beri semalam sebagai tanda penghargaan mereka pula kepada saya di atas peluang memperoleh pendapatan 'extra' yang saya beri kepada mereka sebelum ini. Tengok. Saya tidak menjangkakan itu akan berlaku namun itulah 'buah' dari 'pemberian' saya. Justeru banyakkanlah berbuat kebajikan dalam bentuk yang kita mampu lakukan. Buah fikiran. Penghargaan.Tenaga. Malah apa saja yang termampu dek kita. Jangan takut rugi.

Sukma Ke-13

Hari ini terisi dengan lawatan tapak ke Stadium Hang Jebat untuk persiapan awal Sukma ke-13 Mei 2010 di mana Melaka Bandaraya Warisan Dunia menjadi tuan rumah. Ia disertai rakan-rakan dari ibu pejabat Angkasapuri. Satu lagi pengalaman baru diperoleh hari ini. Betullah kata orang pengalaman mendewasakan kita. Minggu ini saya banyak mengumpul pengalaman baru. Jelas ia tidak boleh dibeli di mana-mana.

Wednesday, January 14, 2009

Mencari Santapan Rohani

Kebetulan Maghrib tadi bersolat di Mesjid Fathurrahman, Pengkalan Rama(berhampiran dengan Melakafm).Rupa-rupanya malam ini ada kuliah Tasauf yang baru bermula bersama Tuan Guru Al Ustaz Sheikh Kamaruddin Fuad Al Maliki dari Negeri Sembilan.Kitab yang ditadah ialah Al Hikam Ibnu Athoillah.Subhanallah, saya agak hampir 300 jemaah yang mengkuti kuliah beliau. Belum pernah saya menyaksikan jumlah jemaah sebanyak itu dalam satu-satu kuliah maghrib. Terasa Tuan Guru ini ada kelebihan yang dianugerahkan Allah SWT.Beliau baru berusia 34 tahun tapi telah merantau mencari ilmu ke segenap pelusuk dunia. Walau dalam usia yang muda penampilan beliau ternyata berkesan dalam menyampaikan pengajaran ilmu tasauf atau ilmu bersangkutan keheningan hati ini. Anugerah Allah SWT. Teruja mendengar kuliah beliau yang berakhir tepat jam 9.30 malam. Walaupun agak lewat tetapi jemaah tidak sedikitpun berganjak.

Banyak yang disentuh oleh Al Ustaz dalam kuliahnya. Yang ditekankan ialah kekuatan dalaman yakni hati agar ia terpancar ke luar. Seperti posting saya semalam yang menyentuh tentang luahan rasa marah teramat sangat terhadap 'syaitan'rejim zionis yang mengganyang rakyat Palestin, jangan kita lupa pada syaitan dalam diri yang sedia mengganyang dan meratah kita pada bila-bla masa. Ditakuti sorakan dan manifestasi marah kita hanya pada sorakan tanpa digeruni musuh lantaran semangat yang terluah bukan terbit dari hati yang takutkan Allah SWT dengan sebenar-benar takut agar kita ditakuti musuh. Itulah atara mutiara hikmah yang terbit dari mulut Al Ustaz yang sesekali membuat jemaah tersenyum dan terusik dengan penyampaiannya yang tidak ketinggalan menyelitkan dialek nogori.

Betapa kita sangat menjaga 'makanan' jasmani, tapi kita jarang memberi perhatian keada 'makanan' rohani agar sama kuat luar dan dalam.

Azam Dungun

Baru semalam menunjukkan 'khazanah' carta Pujaan Sepuluh saya kepada DJ Amy yang mengendalikan program rock klasik Melaka fm, petang tadi Siso Kopratasa menelefon dan menyerahkan gagang kepada Azam Dungun(komposer/penulis lirik) yang berminat ingin tahu samada saya masih meyimpan data berkaitan juara -juara Pujaan Sepuuluh untuk projeknya yang sedang memburu PHD. Terharu dalam bangga kerana Pujaan Sepuluh saya dimanfaatkan secara ilmiah kira-kira setelah sepuluh tahun saya tinggalkan. Tak tahulah samada saya boleh membantu beliau atau tidak. Apapun tengoklah nanti.

E-Book

"Terengganu perintis guna komputer e book". Pasti ini bukan gimik pilihanraya kecil Kuala Terenganu. Apapun ia merupakan satu lonjakan berterusan ke arah memanfaatkan aplikasi ICT dalam kalangan pelajar sekolah. Semoga kaedah ini mampu menaikkan semangat belajar murid-murud terbabit.

Tetapi itu bukan isunya apa yang ingin saya sentuh di sini ialah tentang 'keseronokan' menggunakan cara tradisional seperti dalam aktiviti membaca. Saya mungkin dikatakan 'outdated' tetapi biarlah asalkan saya tidak secara total menolak kemajuan khususnya dalam mengaplikasikan ICT dalam kehidupan. Menyentuh tentang pembacaan ini, saya masih cenderung dan 'menyintai' kaedah membaca dari buku atau teks berbanding melakukannya secara maya. Rasa 'kehilangan' jika tidak mendengar bunyi helaian diselak, menyentuhnya dengan jemari malah ianya dapat dibuka di mana-mana tanpa rasa bimbang dan ragu e-book(pastinya set komputer) kita dicelok oleh orang.

Memang boleh berjimat dengan hanya menyentuh tetikus tapi rasa sayu kehilangan 'kekasih' yang boleh disentuh secara fizikal berupa kertas yang bernama akhbar mahupun buku.

Apa Ceghite Hari Ni Yob?

Uh, langkah kanan teman. Sebaik saja menjenguk keluar dari pejabat, terserempak dengan kereta yang memaparkan nombor pendaftaran NAJIB (NAJ 18). Pada posting sebelum ini saya pernah mengimpikan untuk melihat dengan mata kepala sendiri nombor unik dan menarik berkenaan yang dikaitkan dengan bakal PM kita, Dato' Seri Najib Tun Razak. Hari ini tertunailah hajat. Uh.

Merah Darah



Amat jarang headline akhbar berwarna selain hitam tetapi dalam kes 'kemarahan' terhadap perlakuan rakus dan biadap rejim zionis, fon berwarna merah digunakan. Merah adalah manifestasi kemarahan dan sinonim dengan warna darah. Begitulah 'kecaman' yang dilahirkan dicelah-celah berita jeritan dan tangisan bangsa yang diceroboh penempatan mereka dengan tragis tanpa belas kasihan, sedang dunia belum mampu menghentikannya.

Peredaran Masa

Menonton wajah Dato Muhammad Salleh Majid, bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur kini Bursa Saham Malaysia, terkenang kembali ketika mengendalikan program RS 6-9 di Radio Satu 15 tahun lalu. Pada waktu itu Dato Salleh adalah tetamu saya dalam segmen Fahami Saham. Saya masih ingat lagi penampilan 'macho' beliau ketika itu ialah datang dengan superbike Viragonya dilengkapi fullface dan leather jacket. Cuma yang jelas berbeza adalah fizikal beliau. Jika 15 tahun lalu rambut beliau merimbun di kepala tidak seperti yang saya lihat pagi tadi. Namun Dato Salleh masih seperti yang saya pernah kenali dulu iaitu tetap tenang dan yakin sewaktu respons pada sebarang persoalan yang dikemukakan.Tanyalah apa saja tentang saham atau sebarang instrumen berkaitan kewangan, akan beliau jawab dengan jelas sehingga kefahaman si penanya betambah.

Tuesday, January 13, 2009

Angin

Dalam seminggu dua ini 'angin' yang bertiup kencang adalah angin kemarahan terhadap kebiadapan rejim zionis dalam gerakan apa yang dikatakan sebagai penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin. Lalu berkumandanglah ruang angkasa dengan angin protes dan kebencian yang sekiranya diukur mampu mencecah 70km per jam. Apapun posting ini tertulis ketika menikmati makan malam ala bujang di perantauan. Menikmatinya sambil menyelak buku yang baru dibeli petang tadi yang membicarakan tentang silang jantina dan silang mazhab(cadangnya untuk menambah input bagi menyempurnakan karya kreatif yang sedang diusahakan tetapi tomakninah sejenak lantaran diserang angin kebuntuan). Ketika mengunyah santapan terasa angin yang bertiup malam ini agak 'deras'. Mengikut seorang teman keadaan ini lanjutan dari siang tadi. Jika di kampung dulu fenomena angin bertiup kencang tanda hujan akan turun atau 'langit nak runtuh'. Tapi ikut logik angin akan memindahkan awan kumulus nimbus ke tempat lain. Apapun angin malam ini rasanya ingin meluahkan rasa geram dan jijik dengan perlakuan rakus Israel yang tanpa peri kemanusiaan merobek jiwa-jiwa rakyat Palestin. Betapa angin juga 'angin'.

Forum


Dimulakan dengan Dr. Chandra Muzzaffar yang mempersoalkan di mana pemimpin dunia Islam ketika Hugo Chavez, Presiden Venezuela dengan jelas mengutuk kekejaman yang dilakukan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin termasuk mengusir perwakilan Israel keluar dari negaranya.

Berikutnya Dr. Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA menyeru rakyat tanpa mengira kaum dan agama untuk sama-sama bangkit menyuarakan kecaman terhadap keganasan yang berleluasa di Tebing Gaza demi kebenaran dan keadilan sejagat. Ketua Wanira Gerakan, Tian Lian Hoe pula turut menyuarakan kekesalan terhadap pendirian berat sebelah kuasa besar Amerika Syarikat ke atas apa yang dialami oleh rakyat Palestin.

Rata-rata kesemua ahli panel termasuk Dato Mukriz Mahathir,penyelaras Aman Malaysia meluahkan kekecewaan dan rasa geram dan marah tidak terhingga terhadap kekejaman yang tidak berperikemanusiaan rejim Zionis yang diterajui Ehud Olmert terhadap negara berdaulat Palestin.

Apapun di sebalik laungan takbir dan sorakan penuh semangat agar dihancurkan rejim yang disamakan dengan iblis dan syaitan laknatullah itu,segelintir individu yang hadir seharusnya membebaskan diri mereka daripada hasutan 'iblis dan syaitan' dalaman yang menjadikan kehadiran mereka ke perhimpunan hari ini sekadar memenuhkan ruang atau mematuhi arahan memandangkan ada yang dilihat 'bermain-main' seolah-olah mereka sedang menonton rancangan Raja Lawak.

Allahuakbar!

Untuk Saudaraku

Posting ini dibuat dicelah-celah sorakan anti yahudi, zionis, Israel dan kekejman di luar batasan yang sedang meratah saudara kita di Tebing Gaza sewaktu menyertai perhimpunan Forum Kekejaman-Israel Terhdap Rakyat Israel di MITC, Ayer Keroh.

Sunday, January 11, 2009

Apa Cheghite Hari Ni Yob?

Duduk melepak di kampung mentua sambil menikmati nyaman alam tanpa gangguan bingit kenderaan. Melihat dedaun nyiur melambai-lambai mengikut rentak sentuhan angin yang berpuput. Mandi dengan air kolam yang dinginnya menusuk ke tulang. Terhibur dengan muzik alam sewaktu hujan menimpa atap zink. Malah banyak lagi yang terlakar dari 'dunia' yang tersisih dari hingar bingar kota ini.

Sambil menanti makan tengahari, yang pastinya ada masak lemak ayam kampung, beserta tumis pucuk paku, pun ditambah ulaman jering, ulam raja, putat, bunga betik, sambal udang petai dan goreng cencaru masin, sempat juga menatap akhbar di bawah rumah sedang anak-anak sibuk meneroka dan berbicara dengan alam.

Terbaca kolum Di Luar Lingkaran tulisan Dato Johan Jaafar, saya tersenyum sendirian. Ini kerana minggu ini Dato Johan memperkatakan tentang keadaan tandas awam di negara kita yang memualkan. Saya tersenyum kerana posting saya Jumaat lalu turut menyentuh isu yang sama. Bermakna kisah tandas juga bermain di kepala kolumnis mapan yang semestinya menuntut sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi cerita tandas yang 'kotor' ini tidak terus dikotori oleh sikap kita yang jelek.

Terus beralih ke akhbar mingguan 'broadsheet'. Terpaku pada ungkapan-ungkapan berikut- sertai boikot, sertai larian, solat hajat, harus bantu dan jangan meterai. Semuanya berkisar pada isu yang melanda Genting Gaza. Setakat ini lebih 800 maut dan ramai lagi yang cedera. Berapai ramai lagi yang harus menjadi korban sebelum dunia dapat menyaksikan Israel patuh pada gesaan gencatan senjata. Setakat ini ia dengan selamba terus membedil penempatan awam.

Bagi pihak kita banyak yang telah dilakukan sekadar yang termampu seperti menyuarakan bantahan di PBB, mengadakan sidang khas parlimen, boikot barangan tertentu, demonstrasi dan solat hajat.

Jika mereka manusia yang berhati perut, saya percaya tindakan oleh tiga per empat masyarakat dunia ini pasti akan menjentik 'keakuan' rejim yang sangat tidak disetujui ini kecuali oleh kuasa mega seperti AS.

Bayangkan sekiranya ada negara lain selain Israel yang bertindak sebegitu, dengan pantas(bak kata Komeng, ketua gangster dalam Nasib Do RE Mi) Amerika akan menggodam negara terbabit.

Apakah kita umat Islam hatta masyarakat dunia sendiri hanya menanti 'keajaiban' terjadi untuk menyelesaikan kemelut ini?

Friday, January 9, 2009

Fardhu Kifayah

Terlihat mayat-mayat bergelimpangan hasil kekejaman Israel ke atas umat Islam di Genting Gaza dan terbaca pula tentang kursus jenazah yang diadakan penduduk setempat di sebuah kampung di Batu Kikir, Negeri Sembilan,saya tergerak untuk menyentuh sikit tentang amalan Fardhu Kifayah ini.

Berapa ramai golongan muda atau pelapis terlatih yang bersedia untuk mengambil alih tugas yang kebanyakkannya dipertanggungjawabkan kepada golongan warga emas samada lelaki atau wanita.Terlatih mungkin banyak kerana sejak kebelakangan ini ramai yang berminat dan terlibat dalam kursus yang diadakan tetapi sejauh mana mereka 'berani' mempraktikkannya? Saya sendiri telah beberapa kali menyertai kursus menguruskan jenazah seperti mandi mayit, kapan dan mengebumikan jenazah. Namun untuk mempraktikkannya secara profesional belum tentu boleh. Sebabnya ia bukan selalu dilakukan justeru tentu saja rasa kekok dan gemuruh masih bersarang dalam benak. Saya sendiri tidak berkesempatan memandikan jenazah ayahanda kerana Almarhum meninggal dunia di Tanah Suci Makkah. Cuma sempat sama menguruskan mandi jenazah bonda. Apapun jika terdesak, insyaAllah saya percaya kekuatan dan kemahiran itu akan datang sendiri tetapi masih perlukan bantuan para otai.

Isu ini saya sentuh kerana terbaru saya berhadapan dengan suasana pengurusan jenazah ialah ketika menziarahi kepulangan ke rahmatullah ayahanda rakan sekerja, Rahim Luwi rabu lalu di Pangkalan Balak. Meskipun saya tidak terlbat secara langsung dalam pengurusan jenzah namun sempat menyaksikan bagaimana Rahim beserta saudara -suadara lelakinya melakukan khidmat terakhir memandikan ayah mereka yang kini terbujur kaku. Malah menurut apa saya pelajari adalah paling afdhal ahli-ahli keluarga atau anak-anak sendiri yang 'turun padang' menguruskan jenazah ayah atau ibu. Jadi memang kenalah sekiranya Tok Bilal yang menjadi ketua dalam urusan pagi itu mengarahkan Rahim dan ahli keluarganya sendiri yang terlibat memandikan ayahanda mereka yang tercinta. Kata-kata Tok Bilal yang cukup menyentuh saya ialah " Mandikan ayah kamu kerana sebelum ini almarhum telah banyak memandikan kamu semua"

Mendengarkan itu saya hampir menitiskan air mata. Namun itulah antara lain hikmah di sebalik kenapa kita dituntut untuk menziarahi kematian, untuk menimbulkan keinsafan dan menjadi pengajaran serta mengambil iktibar daripadanya. Bukan datang tetapi berkumpul di luar rumah sambil berbual hal-hal keduniaan.

Malu Kita

Terbaca kolum pandangan IKIM dalam Utusan Malaysia hari ini(Jumaat 9/1). Tajuknya ringan tapi bisa membuatkan kita berfikir. Kisah pengalaman penulis, Siti Fatimah Abdul Rahman, kini Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, IKIM(pernah menjadi tetamu program saya sewaktu di Radio 1)ketika berkunjung ke Jepun. Pendekkan cerita ia kisah keadaan tandas yang lebih Islami(menurut beliau) daripada apa yang kita umat Islam ada.Tengok, betapa masyarakat beragama Shinto lebih mendahului kita dalam soal menjaga kebersihan sedangkan menjaga dan memastikan kebersihan itu sentiasa terpelihara sewajarnya diamal dan dipertahankan oleh umat Islam. Bukan silap agama(na'uzubillahiminzalik) tetapi silap kita umatnya.

Jika pengalaman Siti adalah sewaktu beliau berada di hotel, pengalaman yang suka saya kongi bersama ialah semasa menggunakan tandas di mesjid-mesjid di serata tempat di negara kita. Ada ketikanya singgah di mesjid yang bertaraf mesjid negeri, namun ianya belum pasti mempunyai tandas yang bertaraf 'negeri' layaknya. Pam yang rosak, mangkuk yang tidak diflush,tiada selipar dan dinding atau daun pintu menjadi tempat 'sasterawan' tandas melakar karya.

Apapun saya pernah menghulur sedikit sumbangan tanda penghargaan dan kata-kata pujian kepada seorang petugas di sebuah mesjid di Perak kira-kira tiga tahun lalu kerana teruja dengan kebersihan tandas yang ditanganinya. Tapi sayang keadaannya jauh berbeza apabila mengunjunginya Ahad lalu malah 'makcik'yang pernah saya temui itu juga tidak lagi kelihatan.

Saya cenderung mengatakan bahawa ia banyak bergantung kepada sikap kita sebagai pengguna. Saya juga lebih suka mengaitkannya dengan mesjid kerana di sanalah kita menunaikan ibadah termasuk belajar tentang taharah atau bersuci.

Justeru marilah sama-sama kita fikirkan. Apakah ia perlukan petugas tertentu yang digaji seperti di kawasan Rawat & Rehat Lebuhraya misalnya baru kebersihan ditandas terserlah? Sepatutnya keimanan yang kita miliki sudah mengatasi segalanya. Jika tidak , malu kita.

Alang-Alang Tahu(3)

HALA TUJU SEORANG PENYIAR

◙ Kita sebenarnya adalah ‘tetamu’ kepada pendengar bukan jurujual. Seorang jurujual mempunyai sikap “hendak beli, tak hendak sudah”. Kita tidak begitu. Kita mahukan pendengar berasa seronok dan mereka juga memperoleh sesuatu daripada kita seperti maklumat. Mereka tidak seharusnya ‘dipaksa” sebaliknya kita berkongsi maklumat dengan mereka.

◙ Bercakaplah dengan mereka seperti BERCAKAP DENGAN SEORANG KAWAN.

BERCAKAP.........Bukan membaca atau berkhutbah tetapi menyampaikan.

DENGAN.............Seseorang yang “setaraf” dengan kita. Bukan menyanjung mereka dan
sesekali tidak memandang rendah kepada mereka.

SEORANG..........Mereka mungkin ramai tetapi kita perlu membayangkan mereka boleh jadi
seorang atau dua. Dalam kumpulan kecil. Oleh itu tidak perlu meninggikan
suara apatah lagi menjerit. Mereka hampir.

KAWAN.............. Nada suara kita kedengaran seolah-olah ‘tersenyum’ kerana ketika itu kita
sedang bercakap dengan seorang kawan yang kita suka. BAYANGKAN WAJAH
KAWAN KITA DAN KITA SEDANG BERCAKAP DENGANNYA.

◙ Tidak keterlaluan sekiranya kita ‘berlakon” kerana kita hanya mampu menyampaikan maklumat, pandangan dan perasaan semata-mata menerusi suara.

◙ Zahirkan rasa suka dan minat pada tugas agar pendengar juga terkesan dengan situasi itu lalu minat untuk mendengar kita. Tanamkan semangat : MENARIKNYA RANCANGAN INI. Ceria dalam penyampaian.

◙ Jadikan diri kita sebagai ‘pendengar’. Tanamkan sifat empati. Bertanya pada diri sendiri apa yang pendengar ingin tahu. Apa yang mereka minat untuk mengetahui. KEPADA SIAPA SAYA BERCAKAP KETIKA INI? SIAPA SASARAN KITA?

◙ Penyiar adalah ‘wakil’ jabatan. Betapa pentingnya kita. Kita diperhatikan dari segi penggunaan bahasa yang betul dan sopan. Jika kita mengambl sikap sambil lewa, tidak bertanggunjawab, bagaimana nanti kesannya kepada jabatan. Ingat radio mudah mempengaruhi tingkah laku dan sudut pandang manusia. Gunakan kesempatan ini sebaiknya.

◙ Sentiasa sedia dan terbuka kepada kritikan dan pandangan. Kemungkinan ianya ada yang keterlaluan tetapi ia adalah cabaran yang perlu dihadapi. Mustahil untuk memuaskan setiap orang tetapi berusahalah sedaya upaya.

◙ Sediakan ‘ruang’ untuk mendengar persembahan penyiar lain termasuk dari stesen pesaing. Buat perbandingan. Kita sepatunya lebih tahu di mana kelemahan kita. JIKA KITA MERASAKAN KITA SUDAH SEMPURNA BEERTI KITA BUKAN ‘PENDENGAR’ YANG BAIK.

Alang- Alang Tahu(2)

APAKAH CIRI-CIRI PROGRAM YANG MENARIK


◙ Ia berkaitan dengan kehidupan pendengar sehingga ia membuatkan mereka rasa terlibat sama.

◙ Ia melibatkan konflik tetapi tidak semestinya antara hidup dengan mati tetapi seperti perbezaan pendapat antara dua pihak atau antara manusia dan alam, permasalahan untuk diselesaikan malah persoalan yang mencabar minda.

◙ Mereka yang terlibat seperti penyampai atau pelakon(dalam drama) melahirkan minat ketika membuat persembahan. Misalnya jika penyampai membuat persembahan secara ala kadar tentu sukar menjadikan sesuatu rancangan itu menarik.

◙ Rancangan yang diterbitkan mudah difahami oleh pendengar. Rancangan yang kompleks selalunya mengelirukan.

◙ Menggambarkan ‘imej’ yang ingin disampaikan dengan elas dan jitu. Justeru membolehkan pendengar memperoleh ‘maksud’ dengan mudah. Tiada halangan. Manfaatkan segala teknik dalam penerbitan yang ada termasuk menyedari kelebihan yang ada pada radio iaitu :

BOLEH DIBAWA KEMANA-MANA(MOBILITY)
LANGSUNG (REALITY)
SEMASA/SEGAR. YANG BERLAKU HARI INI.(IMMEDIACY)

◙ Terdapat elemen kepelbagaian dari segi suara, topik, format, teknik dan persembahan. Samada ‘benda’ yang sama atau kehilangan pendengar. Pilih satu antara dua.

Thursday, January 8, 2009

Alang-Alang Tahu(1)

Hari ini saya edarkan nota tentang kerjaya sebagai penyiar kepada rakan-rakan yang saya namakan Alang-Alang Tahu. Semoga ianya berguna untuk dibuat renungan. Diperturunkan di sini kandungan nota itu :


MEDIUM KITA ADALAH RADIO DAN ‘BISNES’ KITA ADALAH BUNYI ATAU SUARA

◙ Set radio pendengar hanya ada dua pilihan.....samada buka atau tutup
OLEH ITU TARIK PERHATIAN MEREKA DAN KEKALKAN

◙ Minda kebiasaannya tidak mampu menerima terlalu banyak maklumat dalam satu-satu masa
OLEH ITU HADKAN BAHAN ATAU MAKLUMAT, RINGKASKAN SEBERAPA BOLEH

◙ Dalam banyak hal kita menggunakan komunikasi satu hala
OLEH ITU BIAR KITA MUDAH DIFAHAMI

◙ Kadar kelajuan percakapan biar mampu dan mudah untuk diserap pendengar

◙ Maksud yang ingin disampaikan terkandung dalam perkataan
OLEH ITU BIJAKLAH MENUTURKAN KATA-KATA TERMASUK MEMBUAT PENEKANAN, TUKAR NADA, BERHENTI SEKETIKA DAN JELAS DALAM SEBUTAN

◙ Lazimnya kita lebIh mudah belajar melalui penglihatan
OLEH ITU BANTU PENDENGAR DENGAN ‘MENGGAMBARKAN’ APA YANG KITA UCAPKAN SUPAYA MEREKA MUDAH FAHAM

◙ Kita bercakap untuk ‘seorang’ walaupun sasaran kita kepada kumpulan atau kelompok

◙ Antara halangan yang perlu dihadapi adalah seperti masalah mekanikal, teknikal, bahasa dan sebagainya yang boleh menggangu kelancaran siaran
OLEH ITU BERHATI-HATILAH DAN BERILAH TUMPUAN

◙ Apapun di sebalik semua itu yang disebut sebagai perkhidmatan dalam bentuk suara dan didengari ialah tiga elemen yang tdak kurang pentingnya untuk disampaikan kepada pendengar iaitua :

MEMBINA/MENDORONG MINAT
MEMPENGARUHI PERASAAN
MENJANA IMAGINASI

Setengah Berisi, Setengah Kosong?

Sebanyak 16 badan bukan kerajaan(NGO) akan memboikot produk keluaran Amerika Syarikat menerusi gerakan Kempen Boikot Produk Terpilih Yahudi bermula esok(9 Januari). Ia merupakan bantahan rakyat Malaysia terhadap kekejaman Israel yang menyerang Palestin di Gaza sehingga menyebabkan ratusan oerang awam terkorban.Semoga tindakan ini akan menyerlahkan ketegasan kita terhadap perbuatan yang sukar untuk diterima kewajarannya ini.

Lalu kita pun disaran agar memboikot barangan tertentu yang saya difahamkan senarainya sampai mencecah ratusan. Ketika menulis posting ini pun saya menerima sms daripada serang teman di Kuala Lumpur menyenaraikan beberapa jenama barangan yang perlu diboikot. Kita tidak kisah sekiranya ia ada alternatif malah tidak terasa sangat sekalipun kita tidak perlu menggunakan barangan yang boleh sekiranya tidak diambil pun. Tetapi kita mungkin terkedu sekiranya terdapat antara barangan itu tidak mempunyai pilihan lain. Di sinilah kita boleh mengambil kesempatan melalui kesempitan sekalipun ia nampak sekadar kebetulan.Kita menyeru agar mereka yang boleh merebut peluang ini untuk membekalkan barangan yang menjadi keperluan rakyat tempatan.Dan ia banyak bergantung kepada bagaimana kita melihat sesuatu itu.Seperti ayam goreng, terdapat di utara tanahair satu jenama ayam goreng keluaran bumiputera yang khabarnya mampu menyaingi ayam goreng kolonel seragam putih itu.

Teringat pula saya akan konotasi ini Setengah Berisi Atau Setengah Kosong. Ia ada cerita di sebaliknya . Begini :

Seorang pekerja muda yang bertugas di bahagian promosi sebuah syarikat yang memasarkan pakaian dalam wanita diminta oleh penyelianya bagi melakukan kaji selidik di sebuah kawasan pedalaman. Tujuan kaji selidik itu adalah bagi melihat sama ada terdapat pasaran untuk barangan mereka di kawasan berkenaan.

Apabila tiba di kawasan pedalaman berkenaan pekerja itu sungguh kecewa kerana melihat hampir semua wanita di situ tidak memakai pakaian apalagi pakaian dalam. "Tidak mungkin ada permintaan untuk pakaian dalam di tempat ini" katanya tegas lalu kembali ke ibu pejabatanya.

Penyelianya tidak mempercayai apa yang diceritakan oleh pekerja itu lalu menghantar seorang lagi pekerja muda melakukan kaji selidik di tempat yang sama. Setibanya di tempat tersebut dia terkejut melihat begitu ramai wanita kawasan itu yang tidak memakai pakaian dalam."Ini satu kesempatan yang cukup baik sekiranya kami dapat mengambangkan perniagaan di sini, sudah tentu wanita-wanita ini kelhatan lebih bersopan" katanya dengan penuh semangat. Dia segera menghubungi ibu pejabat dan memberitahu terdapat satu kawasan baru yang mempunyai harapan untuk diterokai.

Dua orang yang berbeza tetapi mempunyai latar belakang pekerjaan yang sama dan melihat situasi yang sama tetepi memiliki cara pandang yang berbeza. Seorang optimis dan seorang lagi pesimis. Perubahan situasi pasaran dan linkungan perniagaan membuatkan setiap orang bertindak balas dengan cara yang berlainan.

Siapa antara mereka yang ketika disuakan gelas yang berisi air dalam kadar separuh akan mengatakan bahawa gelas itu setengah berisi dan sekali gus memiliki sikap optimistik dan positif lalu bertindak merebut peluang?

Wednesday, January 7, 2009

Menarik Dan Meyakinkan

Alhamdulillah, 2009 terdakap jua. Hari ini sudah masuk hari ketujuh. Kerisauan saya sebagai Ketua Bahagian Rancangan Melakfm adalah apabila menanti saat 'kelahiran' anak angkat pada tahun baru . Anak angkat yang dimaksudkan ialah sedikit perubahan pada penjadualan tugas rakan-rakan deejay dan memperkenalkan beberapa segmen dan program baru Melakafm. Syukur, ia telah dimulakan pada 1 Januari lalu. Fokus yang lebih diberikan pada segmen pagi dan malam.Sasaran pada tahun 2009 ialah untuk 'memenangi' hati generasi muda agar mereka melekat pada Melakafm. Kalau dari segi pendengar yang berusia Melakafm memang tiada masalah. Malah golongan ini boleh dikatakan menjadi 'diehard listeners' Melakafm.Suara merekalah yang mewarnai ruang udara 102.3 selama ini. Terima kasih dan teruskan.

Cuma untuk tahun 2009, dengan pendekatan menarik dan meyakinkan, Melakafm berusaha menempuh cabaran baru. Lalu barisan penyiar atau deejay muda diketengahkan pada sebelah pagi dan malam. Memang pada peringkat awal ini saya akui memang satu usaha yang sukar untuk mencari suara-suara baru buat dikeudarakan. Saya sempat memantau gandingan Shazrena/Iskandar dan Daim/Shahrizad ke udara mengendalikan segmen remaja/belia dari jam 8.00 hingga 10.00 malam. Saya dapat mendengar 'keletihan' mereka untuk memperoleh panggilan dari golongan muda. Sesekali terlepas juga suara-suara orang lama malah pada banyak keadaan jarang atau tiada respons langsung daripada golongan sasar.Lebih-lebih lagi apabila pendengar diminta untuk memperkatakan sesuatu topik yang dikemukakan. Kemana mereka? Harapan saya semoga keadaan akan berubah dalam masa yang terdekat ke arah menceriakan Melakafm dan mampu memenangi hati pendengar-penengar baru yang sedia memperkatakan perkara-perkara yang 'berat' dan bukan sekadar meminta lagu dan berkirim salam. Betapa dunia penyiaran dan komunikasi bukan sekadar hiburan malah di sana ada input ilmiah dan maklumat berfaedah sebagai santapan masyarakat pendengar agar tidak 'ketinggalan'dalam arus perubahan dan kemajuan ini.

Akses Kepada Maklumat

Dalam beberapa ketika kebelakangan ini kita banyak dipaparkan dengan berita tentang situasi yang menjadi medan 'pertempuran'pihak-pihak tertentu yang tidak dapat tidak membabitkan 'kesejahteraan' rakyat. Memang seharusnya ia mengundang rasa simpati daripada kita yang waras dan mempunyai pertimbangan terhadap kewajaran yang optimum. Kebanyakkannya dipaparkan dalam slot berita. Yang jelas meninggalkan kesan yang mendalam adalah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sehingga kita rasa terpanggil untuk melakukan tindakan 'mengajar dan menghukum' golongan yang tidak pernah jemu menzalimi umat Islam.

Di sini saya suka menarik perhatian kepada beberapa insiden dalam negara yang menjadi fokus berita yang bagi saya jika dilihat dari sudut profesionalisme, hanya memerlukan akses yang wajar dan seimbang dari segi maklumat demi mencari penyelesaian. Jika kita terhalang atau dinafikan daripada akses maklumat yang jelas dan seimbang, sesuatu itu akan nampak hitam pada sebelah pihak dan seolah-olah memenangi pihak yang lain.

Tetapi menerusi berita yang saya saksikan di kaca tv malam ini, semacam ada sedikit ruang untuk akses kepada maklumat dari sudut pandang pelbagai pihak agar rakyat dapat membuat pertimbangan. Syukurlah harapan saya termakbul akhirnya.
Kita ketepikan dulu soal fahaman, pegangan mahupun pendirian. Hasrat kita ingin merungkai permasaalahan. Jadi akses kepada maklumat itu penting. Berilah peluang rakyat memperoleh maklumat yang jelas agar setiap tindakan itu tidak dinilai pada penghujungnya sahaja. Ini dikhuatiri boleh mengakibatkan persepsi yang berat sebelah sehingga mampu meretakkan perhubungan bukan memulihkan keadaan.

Saya juga turut tidak terkecuali melihat perkembangan tentang isu lif rosak di sebuah blok flat di Sentul yang berlanjutan sehingga membawa ke kamar tribunal. Bukan saya tidak menaruh simpati kepada mereka yang terlibat. Lebih-lebih lagi apabila dipaparkan dengan berita sayu yang membabitkan kematian salah seorang penduduk yang terhimpit dengan situasi yang membebankan itu hingga ke akhir hayat Allahyarham dan ia sepatutnya tidak berlaku. Kita melihat terjadinya pertikaman lidah, sindir menyindir dan penundingan jari. Cuma seingat saya, saya tidak didedahkan atau apa mungkin terlepas pandang tentang berita punca kenapa lif yang dimaksudkan itu rosak sehingga 'menyembah bumi'.

Ia mungkin rosak kerana peralatan yang digunakan tidak bermutu, lemah dari segi penyenggeraan atau kerana hasil dari penggunaan yang semberono dalam lain erti kata tidak ada sikap 'penjagaan' dari peringkat awal lagi. Yang diperkatakan ialah kekhilafan pihak pemaju dan sebagainya. Bagaimana dengan pihak pengguna? Apakah cara penggunaan yang diaplikasikan terhadap lif itu benar-benar dititikberatkan sejak dari hari pertama ia digunakan. Apakah yang menggunakan lif itu terdiri daripada 'malaikat' belaka tanpa ada tangan-tangan 'nakal' yang menyalahgunakannya sehingga besipun 'memohon ampun'. Saya memperkatakan ini kerena dalam kita asyik menunding jari ke arah pihak lain, jangan lupa kita juga tertuding dek jari sendiri samada mahu atau tidak.

Jadi sama-samalah kita cari jalan penyelesaian. Jangan lekas puas hati hanya kerana suara kita didengar setelah dicanang dengan kuat. Tengok juga pada kelemahan yang ada pada pihak kita. Biar sama-sama menyedari dan insaf dengan kelemahan masing-masing. Tetapi jika jelas ada pihak yang teraniaya, tafaddhal, ambillah tindakan apapun agar pihak yang tidak berhati perut itu diambil tindakan setimpal. Apapun balik kepada pokok perbincangan, akses kepada maklumat itu cukup penting. Percayalah.

Sunday, January 4, 2009

Kembali Ke Sekolah

Menghantar anak kembali ke asrama di Maahad Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak. Tahun kedua di Maahad ini. Menurutnya dia semakin seronok belajar di sini dan telah bersedia fizikal dan mental untuk meneruskan pengajian. Saya dimaklumkan bilangan pelajar baru untuk 20 09 turut bertambah dan ini petanda bahawa pengajian agama semakin menarik perhatian masyarakat.

Santai Oh Santai

Sempat menyaksikan Santai Di Menara Kuala Lumpur bersama Hezri. Makin menjadi 'budak selamat' ni. Syabas. Perjuangan Hezri akhirnya membawa beliau menjadi hos sebuah program tv sendiri. Syabas juga buat Alex Reza yang bertindak sebagai penerbit.Pada siri pertama ini tentu banyak yang boleh diberi perhatian agar sekiranya ada kelemahan boleh diperbaiki. Hezri misalnya tidak perlu 'menjerit' ketika mengacarakan program berkenaan.

Tetamu siri pertama ini menampilkan Dato Danny Oi, penerbit Malaysia Book Of Records(MBR) dan angkasawan ulung negara, Dato Sheikh Muzaffar.

Menyentuh tentang MBR, saya juga pada satu ketika pernah berhasrat untuk mencalonkan dua aktiviti yang saya rasakan layak dicatatkan dalam MBR. Yang pertama ialah stesen radio tempatan ulung yang mengendalikan rancangan yang membabitkan penggunaan kaedah ICT iaitu internet menerusi Salam Maya Kemerdekaan dan Salam Maya Aidil Fitri pada tahun 2002 dengan kerjasama MIMOS. Program ini menghubungi secara live perwakilan, penuntut dan rakyat Malaysia yang berada di seluruh dunia untuk ditemubual menggunakan kemudahan aplikasi internet. Cabaran yang ketara adalah kerana ia membabitkan perbezaan zon waktu.

Sementara satu lagi produk yang saya fikir layak untuk menghiasi MBR ialah inisiatif Pusat Berita Radio RTM mengendalikan 'news alert' menerusi kaedah SMS. Kali ini berkolaborasi dengan pengendali sms , DAPAT Vista.

Sayang sekali hasrat tersebut tidak kesampaian hanya kerana 'berat' untuk mengisi borang sehinggalah obor semangat mendingin. Jika tidak pasti bertambah lagi pencapaian 'outstanding' RTM dalam MBR. Moga-moga saya akan ketemu lagi ruang dan peluang untuk merealisasikn impian saya yang terbantut itu. Kemungkinan ini adalah antara resolusi tahun baru saya.

Saturday, January 3, 2009

Diari Malam(Awal Pagi)

Jalan-jalan melihat 'wajah' malam Kuala Lumpur.

12.43 tgh mlm-Melalui Dataran Merdeka. Banyak kereta bergelandangan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Ramai juga anak bangsa melepak di persimpangan lampu syarat berhadapan Panggung Bandaraya lama.

12.50 tgh mlm-melewati Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tidak banyak aktiviti malam selain lalu lintas yang masih menjalar tapi agak lengang.


12.55 tgh malam-Di Jalan P.Ramlee. Suasana 'menggelegak' di kiri kanan jalan. Tampak ramai warga asing. Bingit dengan muzik panas menyelubungi hingar bingar awal pagi. Kedapatan banyak teksi yang sedang menunggu tempahan untuk mereka yang ingin mengcapi syurga sementara.


1.05 pagi-Jalan Bukit Bintang. Giat dengan aktiviti. Terdapat sekumpulan remaja Melayu dan Cina memperagakan kecekapan breakdance dan shuffle. Pub dan restoran dipenuhi pelanggan. Kelihatan juga pasangan warga Arab.


1.15 pagi-Melawati Pudu Raya. Agak lengang. Cuma kelihatan satu dua bas ekspress yang memasuki perkarangan teminal.


1.19 pagi-Jalan Tun Tan Cheng Lock. Hanya kenderaan memenuhi jalanraya.
Petaling Street juga sudah 'tidur'.


1.25 pagi- Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields. Masih hidup terutama restoran yang menyediakan resepi India Selatan.


Demikian sebahagian wajah Kuala Lumpur waktu malam dan awal pagi yang menjadi nadi penghuninya dari pelbagai kaum dan warnegara. Jika KL sebegini rupa tentu kota raya lain di serata dunia yang terkenal dengan aktiviti malamnya seperti Bangkok dan New York lebih menggelegak lagi. Sejenak teringat suasana di Bandar Seri Begawan yang mulai 'tidur' menjelang 9.00 malam seperti yang dialami ketika berkunjung kira-kira ke sana enam tahun lalu.


Menyaksikan wajah malam Kuala Lumpur sambil 'mendedahkan' pada anak-anak kebobrokan hidup tanpa paksi iman yang mantap. Semoga secara tidak langsung mereka dapat belajar tentang kehidupan melalui lakaran alam sambil diiringi nasihat gemersik ayah yang 'kecut perut' melihat gelagat dunia yang kemungkinan akan lebih 'meracun' pada masa mendatang.

"Besarlah anak-anakku dengan murni perilaku"

TV 1 Saluran Informasi

Baru malam tadi dapat menonton TV 1 dengan paparan 100% informasi. Rupa-rupanya Warta Perdana kini jadi Nasional@1 dan disiarkan jam 9.00 malam. Muda-muda belia para penyampainya. Pangkat adik-adik belaka. Tapi entahlah bila bab berita ni saya masih cenderung pada penyampai yang berusia dan tampil dengan lebih 'autoritative' supaya lebih 'meyakinkan'.

Friday, January 2, 2009

Berita Bikin Berita

Pesta Seks-Penyampai Berita Dan Pelakon TV Ditahan. Membaca berita ini saya jadi gabrah. Siapa penyampai berita itu? Rupa-rupanya penyampai berita dari sebuah stesen swasta. Siapa dia nombor dua. Yang bikin hati tersentak ialah profesyen yg dijawatnya, penyampai berita. Saya juga penyampai berita. Penyampai berita samada di radio atau tv layaknya hanya melaporkan berita. Tetapi kali ini si penyampai menjadi bahan berita.

Teringat saya ungkapan: Anjing menggigit posmen itu biasa, tetapi apabila posmen menggigit anjing, itu luarbiasa dan menjadi bahan berita yang sensasi.

Kali ini si penyampai berita terlibat dengan pesta seks sempena menyambut tahun baru 2009. Jika sambutan tahun baharu dikaitkan dengan pembinaan azam, barangkali itulah 'azam mereka' sempena kehadiran tahun 2009. Apapun azam mereka awal-awal lagi kantoi. Terima kasih kepada pihak penguatkuasa. Tapi itu yang kita dimaklumkan. Tidak mustahil banyak lagi 'pendekatan' di luar batasan yang berlaku di sana sini

Thursday, January 1, 2009

Mencari Damai Di Taman Bukit Damai

1 Januari terisi dengan menguruskan perpindahan ke rumah sewaan baru di Taman Bukit Katil Damai. Apakah akan ketemu kedamaian baru di taman perumahan yang baru ini? Apapun terdengar daripada jiran mengatakan bahawa setakat ini sudah ada tiga kes pecah masuk rumah di taman berkenaan. Aduhai di mana kedamaian di taman damai ini?

Selamat tinggal Lefthanded dan Righthanded-jiran saya semasa tinggal di Jalan Taming Sari. Mereka ini cukup unik. Nantilah akan saya lakarkan dalam Karya Kasturi dalam sedikit masa lagi. Mereka sebenarnya sebahagian daripada ahli kumpulan 'winning team Melakafm' yang saya bentuk. Semoga mereka dan rakan-rakan lain akan berusaha gigih mencapai 'kemenangan' buat Melakafm.

Jiran-jiran baru saya pula, Rashidi(sebelah rumah), anak Sarawak(teringat pada mantan jiran, Righthanded yang juga anak Sarawak). Rashidi bertugas di Jabatan Kebajikan. Seorang lagi jiran baru ialah Rosli yang khabarnya bertugas di UTem.

Merekalah jiran-jiran baru saya di samping ramai lagi yang lain tapi belum ada kesempatan untuk berkenalan yang akan mewarnai kehidupan bermasyarakat di Taman Bukit Katil Damai ini.

Tersingkapnya Tabir 2009.

Selamat datang aduhai 2009. Kali ini menyambut tahun baru di Melaka Bandaraya Warisan Dunia. Sedikit kronologi buat tatapan bersama:

10.45 malam - Melalui Jalan Taming Sari menuju persimpangan Mesjid Pengkalan Rama. Terlihat empat pasangan warganegara asing(kemungkinan Vietnam) berbasikal menuju ke River Cruise.

12.01 tgh malam- Menyambut Tahun Baru 2009 di Mydin 24 Jam

12.50 malam - Melalui persimpangan Tesco/Melaka Sentral. Kelihatan sekumpulan Mat Rempit mula menunjuk aksi


1.10 pagi - Di sebuah kedai serbanika 24 jam berhadapan Pusat Perubatan Mahkota. Anak bangsa membeli arak. Di luar kelihatan si pembeli tadi menaiki Kancil yang siap mengibar Jalur Gemilang. Berjiwa patriotik tapi muflis akhlak.

1.20 pagi-Melalui Dataran Pahlawan. Kelihatan ramai yang melepak di bawah cahaya lampu limpah berhampiran Menara Taming Sari.

1.37 pagi-Melalui Jambatan Hang Tuah. Sekumpulan remaja anak bangsa menunggang basikal menongkah arus menuju ke Eye On Melaka.

1.43 pagi - Persimpangan lampu trafik berhadapan Hotel Sraits Meridien. Kelihatan sekumpulan Mat Rempit mula beraksi.