Wednesday, December 24, 2008

Veteran RTM (ii)

Teringat pula saya pada seorang lagi veteran RTM yang juga bernama Hashim iaitu Mohd. Hashim Hassan(Dato, Allahyarham). Pak Hashim(gelaran mesranya ketika itu) merupakan perintis penyiaran moden negara kita. Saya percaya penyiar generasi kini tidak mengenali Allahyarham sementelah saya sendiri pun ketika 'berkenalan' dengan beliau sekitar awal sembilan puluhan,usia Pak Hashim sudah melewati 70-an.

Pak Hashim hebat dalam bidang kewartawanan dan kariernya bermula ketika Radio Malaya masih beroperasi dari Singapura lag. Beliau seorang yang 'soft spoken' dan bertutur dengan jelas dan satu persatu.

Saya masih ingat dalam satu perbualan, Pak Hashim dengan bangga tapi rendah hati menyatakan bahawa gelaran Angkasapuri lahir dari ilham beliau. Menteri Penerangan ketika itu Datuk Senu Abdul Rahman meminta beliau mencari satu nama yang sesuai untuk kompleks penyiaran unggul negara.

Lalu timbullah Puri Angkasa. Menurut Pak Hashm, Puri bermaksud Istana sementara Angkasa adalah rujukan kepada bidang penyiaran. Idea beliau itu diterima dan digunakan dengan sedikit perubahan menjadi Angkasapuri.

Jika tak salah ingatan saya bahawa beliau jugalah yang mengesyorkan pemakaian baju batik oleh kakitangan sektor awam pada setiap sabtu pada satu ketika dulu.

Dalam dunia peniaran, Pak Hashimlah yang memperkenalkan 'telefon show' di radio hasil pengamatannya ketika berada di Amerika Syarikat.

Antara kata-kata hikmah Pak Hashim ialah bantulah mereka yang memerlukan selagi kita ada kemampuan dan kuasa dan kepada wartawan muda samada media cetak atau elektronik pesanan Pak Hashim ialah banyakkan membaca serta bekerjalah dengan rajin dan tekun.

Paling terkesan bagi saya apabila mengenali Pak Hashim ialah apabila membaca pojok beliau dalam akbar Utusan Malaysia, Sekali Pensil Diraut, yang tersiar setiap hari Rabu dan saya tidak pernah terlepas dari menatapnya.

Al Fatihah buat Allahyarham Datuk Hashim Hasan.

No comments: