Tuesday, November 4, 2008

Pemimpin Itu

Ada teman bertanya bagaimana saya membuat ketegori kepada pemimpin. Ah, lain macam soalan ni getus hati saya. Barangkali dek kehangatan pemilihan yang akan berlangsung menjelang Mac tahun depan membuatkan teman tadi melontarkan soalan sedemikian.

Saya minta dia merujuk buku atau bahan tulisan oleh mereka yang hebat-hebat sebagai jalan untuk mendapatkan kepastian lengkap dengan dalil dan hujahnya sekali. Namun teman itu masih berminat untuk memperoleh pendapat saya.

Dalam kekaburan saya terus memandangkan ke langit biru. Apa ya ciri-ciri pemimpin yang ada pada hari ini? Mungkin ini agaknya :

i) Pemimpin kelip-kelip

Sekadar mengisi kerusi dan hanya mampu menjadi perhiasan malam. Tidak mampu membawa lonjakkan kepada pengikut kerana dunianya gelap pekat.

ii)Pemimpin lampu jalan

Sekadar mampu menyuluh dalam lingkungan yang terbatas sedangkan ia sendiri bersifat statik dan jumud.

iii)Pemimpin bintang di langit.

Pemimpin jenis ini terlampau ideal dan nampak kehebatannya sehingga terus bekerja siang dan malam. Namun sebagai manusia apakah dia mampu untuk kekal sedemikian rupa.

iv) Pemimpin lampu basikal

Ingat lagi masa kecil-kecil dahulu sering membonceng basikal bapa yang mengayuh basikal tuanya meredah malam. Terletak dibahagian 'handle' basikal adalah lampu yang dihidupkan oleh dynamo yang dilekapkan pada tayar belakang. Ia akan menyalurkan tenaga elektrik pada lampu yang akan menyala mengikut jumlah tenaga yang dibekalkan. Selagi pengayuh memindahkan tenaga pada kayuhan,selagi itulah roda berputar. Dan selagi itulah lampu akan bernyala menyuluh jalan yang akan dilalui sama oleh pembonceng yang duduk di atas 'carrier' di belakang.

Kinetic engergy ini akan menggiatkan potential energy pengikut. Apapun ianya bergantung kepada daya dan kemampuan si pemimpin. Ia tidak berpura-pura kerana jika dia lemah, dia akan mengakui kelemahan kayuhannya terutama sewaktu melalui jalan berbukit. Dan ketika itu pembonceng di belakang sebagai makmum akan menggantikannya bagi menyuntik tenaga baru agar kayuhan diteruskan menuju destinasi atau matlamat.

Yang dibanggakan ialah pembonceng tidak perlukan apa-apa insentif selain kata-kata semangat dan bertindak dengan rasa keinsafan. Ini kerana si pembonceng memikirkan sekiranya dia mengharapkan pulangan jangka pendek, kayuhan akan diteruskan tetapi lampu lambat laun akan malap lantaran tenaga yang dipindakan kali ini bergerak atas dasar imbuhan bukan dek kudrat tulin. Lampu tadi sebenarnya amat mengharapkan tenaga yang disalurkan kepadanya benar-benar telus dan ikhlas.

Mendengarkan jawapan spontan saya teman tadi sekadar tersenyum. Dalam fikirannya saya dapat mengagak bahawa beliau sedang mencari pemimpin tertentu buat disesuaikan dengan ketegori ciptaan saya itu.

No comments: