Monday, December 29, 2008

Mengimbau Kisah Lalu

Baru malam tadi selepas melawat cucu saudara yang lahir Sabtu lalu, singgah membasah tekak di Restoran Mehbub yang terletak di Lucky Garden, Bangsar. Restoran ini sebenarnya tempat bersantai pelbagai peringkat masyarakat termasuk hakim dan artis.

Ketika menikmati capati dengan air suam terpandang Papa Rock, Ramli Sarip mampir bersama keluarga barangkali. Dia mungkin tidak perasan sekiranya saya memperkenalkan diri tetapi beliau pernah menjadi tetamu rancangan kelolaan saya, Pujaan 10 Nescafe.

Saya masih ingat lagi ketika itu lagu Doa Buat Kekasih sedang top. Justeru pada satu hari ahad beliau dan rakan duetnya dalam lagu itu, Khadijah Ibrahim menjadi tetamu saya sambil membawakan lagu tersebut secara live.

Ketika itu PJSN sedang memuncak dan menjadi platform untuk meraih 'bonus' populariti. Sebut sahaja PJSN boleh kata majoriti artis ketika itu cukup teruja untuk turut terlibat. Saya masih ingat apabila perlu merakamkan rancangan itu selewat satu atau dua pagi, artis yang dijemput sebagai undangan tidak pernah menolak seperti 4U2C dan KRU.

Berbalik pada Ramli Sarip, beliau ternyata mudah didekati. Masih jelas terbayang bagaimana beliau datang pagi ahad itu dengan identiti beliau, berkurta dan bercelana batik. Pagi itu Ramli dan Khadijah live menerusi PJSN sambil melayani panggilan peminat.

Untuk mengimbau kembali nostalgia PJSN, saya bercadang untuk tampil dalam program Rock Klasik kelolaan DJ Amy di Melaka Fm pada tahun 2009.
Khuatir juga sama ada saya mampu lagi atau tidak untuk mengimbau kembali gaya persembahan yang telah saya tinggalkan hampir 10 tahun. Apapun ungkapan Jaga Diri Hiasi Peribadi akan bekumandang kembali di ruang udara. Nantikan.

No comments: