Friday, December 5, 2008

Ulat Buku Atau Buku Berulat

Membaca buku kaedah mudah cari dimensi, motivasi, idea dan perspektif baru kehidupan...kata Prof. datuk Dr. Zaini Ujang.

Bak kata beliau musin cuti sekolah ini antara lain elok giatkan aktiviti membaca dalam kalangan anak-anak. Menyahut cabaran itu selepas solat Jumaat tadi mampir ke Pustaka Buku Salleh Mohd. di Taman Cempaka. Tiga buku pertama untuk bulan Disember disambar dari rak pameran. Khalifah Umar Bin Abdul Aziz,Misteri Aneh dan Ganjil Bukti Keangungan Allah dan Travelog Dakwah Meniti Hari Esok( Muhd. kamil Ibrahim). Dua tajuk terakhir adalah buku yang baru terbit. Travelog Dakwah adalah sequel dari buku Travel Log Haji : Mengubah Sempadan Iman.

Selain untuk bacaan sendiri buku-buku ini dicadang untuk dihadiahkan pada anak-anak yang sedang riang menghabiskan percutian di rumah.

Itu awal bulan Disember. Sehingga akhir Disember tak pasti berapa banyak ongkos yang akan dibelanjakan. Paling tidak sebulan saya akan membelanjakan sekitar RM200.00 untuk membeli bahan bacaan. Belum lagi mengambil kira yang diselongkar dari rak perpustakaan(selalunya buku inggeris yang bernilai sekitar RM90 senaskah).

Menyentuh mengenai buku yang dipinjam dari perpustakaan, saya kira saya adalah antara ahli pusat sumber Kemnenterian Penerangan di Angkasapuri yang sering dikenakan denda kerena kerap overdue. Tak apa masih untung lagi.

Berbalik pada pembelian buku, cuma sejak akhir-akhir ini saja saya menyimpan dan meminta resit untuk buku-buku yang dibeli bagi rebat cukai pendapatan. Pembelian yang sudah mencapai ribuan ringgit sebelum ini tidak pernah teringat nak memohon resit pembelian.

Jumlah RM200 untuk sebulan mungkin kecil bagi seorang yang sederhana macam saya berbanding dengan seorang sahabat yang memperuntukkan perbelanjaan sekitar RM500 untuk setiap kali pembelian sehingga beliau boleh dikatakan sering tenggelam dalam lautan buku di rumahnya. Sahabat yang saya maksudkan ialah Dato Jaafar Rahim yang sebelum ini pernah bertugas di Dewan Bahasa & Pustaka. Pembacaan beliau juga meliputi pelbagi bidang termasuk falsafah dan pemikiran.

Saya tidaklah sekritikal itu tapi lambakan buku telah mula dirasakan di rumah sewaan di Melaka. Malah di dalam kereta juga sudah seperti ada kutub khanah bergerak.

Nak kata ulat buku entahlah kerana dalam ratusan tajuk yang ada dalam simpanan, buku yang sempurna dibaca boleh dikira dengan jari. Selainnya paling tinggi, tidak sampai saparuh. Itulah tabiat saya. Bagi saya "Buku tidak semestinya dihabisi tetapi bila perlu ia ada di sisi".

Pada peringkat awal koleksi saya berkisar pada bab agama. Cuma kebelakangan saya meminati politik, ekonomi,sosiologi, fiksyen dan biografi. Tajuk-tajuk lain turut menjadi koleksi tetapi mengikut keperluan semasa. Paling mutakhir ialah buku dan kitab hal-hal perubatan Islam mengkhusus berkaitan ganggguan jin & syaitan.

Di pejabat juga sekarang sudah ada lambakan buku. Entahlah takut bila tiba saat berpindah nanti, perlu sebuah 'kontainer' khas untuk buku sahaja. Moga buku-buku tersebut tidak berulat kerana jarang dibuka.

Cuma hari ini di samping membelanjakan sekian banyak untuk buku-buku, saya juga perlu melunaskan RM15 untuk membayar denda parkir kereta kerana sementara asyik menyelongkar buku dari rak ke rak, attenden parkir juga asyik 'menenyeh' resit saman kerana saya tidak memaparkan kupon parkir. Tak apa masih untung lagi.

No comments: