Monday, November 3, 2008

BESTANI

Bangga sendirian apabila terdengar Buletin 11.00 malam mengatakan rancangan pertanian yang pernah disiarkan melalui Radio Satu(kini Klasik Nasional) akan kembali menemui peminat setelah di'benamkan' penyiarannya sebaik Klasik Nasional di'takhtakan' oleh Tok Zam.

Dua sebab kenapa saya berbangga. Pertama ia merupakan satu-satunya rancangan pertanian yang terdapat di saluran radio peringkat nasional. Jika dulu seingat saya rancangan pertanian di radio memang mendapat tempat. Saya sendiri pada peringkat awal di Radio Satu sekitar tahun 80-an pernah mengendalikan rancangan Fajar Harapan yang disiarkan jam 4.05 pagi yang cukup mendapat perhatian ketika itu.

Selain itu terdapat rancangan BDBD atau Bakti Disemai Bukti Dituai juga bercorak pertanian yang membolehkan pendengar sasar iaitu golongan petani, penternak dan nelayan memperoleh sumber maklumat dalam bidang yang mereka ceburi.

Rancangan ini dulu dikendalikan oleh penerbit-penerbit yang dedikasi seperti Mahmud Amat, Manan Selamat, Daud Abdullah(sekadar menyebut beberapa nama). Rancangan terbitan mereka ini mempunyai kekuatan tersendiri sehingga agensi dan badan berkaitan pertanian menghormati program berkenaan.

Malangnya apabila Radio Satu di'kahwinkan' dengan Radio Klasik melahirkan Klasik Nasional, kebanyakkan rancangan yang berbentuk bicarawara dikuburkan. Sekiranya adapun disiarkan lewat malam dengan durasi yang terhad. Ironinya ketika itu Pak Lah telah menjadikan bidang pertanian sebagai fokus untuk dianjak sebagai sumber negara alaf baru.

Namun apakan daya para profesional radio ketika itu perlu akur dengan kemahuan pihak yang lebih tinggi bagi merealisaikan Klasik Nasional tampil dengan hiburan lagu-lagu yang dikategorikan sebagai klasik yang khabarnya mempunyai ramai peminat.

Kini nampaknya sudah seperti sudah ada nafas baru. Syukur rancangan yang bernilai seperti Bestani dilahirkan semula. Saya pasti ia akan menjana satu pendekatan baru bagi bersaing dengan tuntutan dan kemahuan pendengar masa kini. Syabas Haji Khalim Rohani dan anak buah di Unit Pembangunan & Pertanian.

Sebab kedua kenapa saya bersa bangga apabila Bestani kembali diterbitkan ialah kerana saya terlibat menghasilkan nama Bestani itu sendiri. Ini terjadi apabila Shahizan Jelas, Pengawal Unit Pembangunan & Pertanian ketika itu meminta saya mencari tajuk baru bagi rancangan berkenaan.

Lalu timbul Bestani, singkatan bagi Bergerak Bersama Teknologi Pertanian kerana bidang pertanian kini sudah diindustrikan. Sekali imbas pertanian seharusnya dianggap sebagai suatu bidang penghasilan produk makanan dan sumber pendapatan terbaik atau dalam bahasa Inggeris disebut Best. Lalu Bestani menepati dalam makna dan sebutan.

Selamat datang kembali Bestani. Khabarnya ia telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Mustapa Mohd. Harap-harap penerangan tentang apa itu Bestani terdapat dalam pamplet yang diedarkan.

No comments: