Tuesday, December 30, 2008

Drama Dan Skrip Yang Serupa

Semalam semasa di Tesco berhadapan dengan 'peragut' yang suka mengambil kesempatan untuk memperdayakan orang. Saya katakan 'peragut' kerana sikap mereka yang menyerbu dan menerjah tanpa diundang dengan menawarkan peluang 'keemasan' yang pada peringkat 'memancing' dengan 'jujur' mengatakan si mangsa tidak perlu membayar apa-apa pada habuan yang bakal diperoleh kelak.

Kisahnya begini:

Sebaik menuju ke tempat letak kereta sambil menyorong troli yang sarat dengan barangan belian, saya diterpa oleh seorang pemuda berbangsa asing yang ingin menawarkan sesuatu tanpa diundang. Kononya saya layak untuk memperoleh ganjaran tanpa mengeluarkan modal. Kerana telah tercium permainan kotor mereka dengan spontan saya menolak dan pemuda itu terus berlalu. Namun episod itu tidak berakhir di situ. Semasa saya sedang memunggah barang-barang dari troli ke dalam kereta sekali lagi saya didatangi, kali ini oleh tiga 'jurujual' berbangsa asing yang saya pasti rakan pemuda yang pertama dengan tujuan yang sama iaitu untuk memperdaya saya dengan taktik 'belit' mereka.

Kali ini dengan perasaan geram saya tidak lagi menampilkan sikap yang pasif walaupun seorang daripada mereka cuba beramah mesra. Kebetulan pada ketika itu saya dapat rasakan pemilik kereta yang berada di hadapan kereta saya telah menjadi 'mangsa'. Dari jauh saya dapat lihat 'peragut' tadi melonjak kegembiraan sambil bersalaman dengan si pemandu. Dari situ saya sudah mengagak perangkapnya sudah mula mengena. Andaian saya menjadi lebih konkrit apabila saya terlihat pemangsa melambai rakannya yang berada tidak jauh dari situ untuk datang segera.
Sekali lagi drama dan skrip mereka dapat saya agak. Rakan yang baru datang tadi turut melonjak keriangan apabila dia unjukkan oleh rakannya sekeping kad yang saya percaya adalah kad gores dan menang.

Dalam hati saya pasti dialog mereka pada mangsa adalah" Awak sangat bertuah kerana telah berjaya memenangi hadiah lumayan yang belum pernah dimenangi oleh sesiapapun selama ini". Saya berani mengatakan demikian kerana tidak lama dulu saya juga turut terpedaya dengan kejadian yang sama malah banyak sekali laporan dan tangkapan yang didedahkan dalam media terhadap sindiket yang menggunakan modus operandi yang tidak bermaruah ini. Saya berasa lega apabila mendapati 'mangsa' yang saya maksudkan tadi berlalu pergi. Semoga sandiwara tersebut berakhir di situ.

Berbalik pada pemuda dan dua rakanya yang cuba 'bermesra' dengan saya tetapi tidak menjadi itu kelihatan bercakap sesama sendiri dan 'buat-buat bodoh' apabila saya terus merenung tepat ke arah mereka dan meninggalkan tempat itu dengan perasaan geram di hati kerana keseronokan membeli belah dirosakkan oleh insiden berkenaan.

Saya tidak pasti apakah pihak pengurusan Tesco sedar akan gejala ini yang jika dibiarkan pasti akan terus berleluasa dan menyuburkan budaya negatif dalam kalangan masyarakat serta mencemar keharmonian suasana.
Itu belum mengambil kira perangkap mereka yang mengena di mana mangsa akan 'terpujuk' dan tidak pasal-pasal membeli sesuatu dengan sejumlah wang yang bukan kecil. Oleh berhati-hatilah.

No comments: