
Terpampang wajah Datuk Mohammed Nor Khalid@Datuk Lat bersama bekas gurunya di akhbar Berita Harian hari ini pada satu majlis pelancaran Sampul Surat Hari Pertama Kartun Malaysia. Dalam berita yang dipaparkan antara lain Datuk Lat menyeru agar kartunis tempatan diberi pengiktirafan sewajarnya oleh pihak yang berminat khususnya NGO. Saya amat bersetuju dengan saranan itu memandangkan kartunis juga punya peranan dalam dunia hiburan yang turut terlibat sebagai pengkritik sosial dan genre kartun termasuk karikatur.
Tentang Datuk Lat, saya tidaklah mengenali beliau secara personal tetapi terdapat dua perkara yang menyebabkan saya rasa 'dekat' dengan beliau. Pertama ialah kerana kami berasal dari negeri yang sama, Perak. Kedua pula saya bersekolah di sekolah yang datuk Lat pernah menuntut dan menjadi medan pertama beliau menyerlah dalam bidang lukisan iaitu sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Pasir Putih, Ipoh dan dikenali kemudiannya sebagai Sekolah Rendah Kebangssan Raja Dihilir Ekram.
Saya pada ketika itu berkesempatan melihat Majalah Sekolah yang dimiliki oleh abang(yang turut mrnuntut di sekolah yang sama dan seangkatan dengan Datuk Lat)yang memuatkan karya awal Datuk Lat. Memang berbeza dengan apa yang kita lihat sekarang maklumlah ketika itu beliau dianggap baru berjinak-jinak dalam arena ini. Sayangnya majalah tersebut telah hilang dari simpanan.
Sebenarnya saya memang 'admire' Datul Lat sejak saya mengikuti perkembangan beliau itu. Pada waktu itu(sekitar tahun 70-an) karya Datuk lat telah dimuatkan dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Time. Malah Keluarga Si mamat hasil ciptaan beliau turut dibukukan.
Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa akibat terlalu 'fanatik' dengan penampilan Datuk Lat yang memang tidak gemar bersikat, saya juga telah meniru gaya tersebut semasa dalam tingkatan tiga sehingga ada teman yang perasan gelagat saya itu. Dengan megah saya katakan saya meniru gaya Lat.
Pada peringkat awal siri Katun Lat The Kampung Boy diterbitkan saya turut menjadikannya koleksi. Antara tajuk yang masih saya ingati ialah Lat The Kampung Boy, Lots Of Lat dan Lats Lot.
Walaupun jauh di sudut hati ingin berkarya seperti Datuk Lat namun kerana tiada bimbingan asas saya hanya syok sendiri meniru-niru karya yang terpapar di majalah atau akhbar dan hanya memendam cita-cita bahawa karya 'bilis' saya itu turut terpampang di media suatu hari nanti. Yang pasti saya masih terlalu jauh untuk mengecapinya lebih-lebih lagi dalam usia sebegini.
Apapun Datuk Lat, saya masih ingat aksi Datuk dalam teater Alang Rentak Seribu karya Allahyarham Datuk syed Alwi yang disiarkan di TV 1. Malah saya terhibur sekali kerana dapat menatap secara live wajah personaliti yang saya kagumi ketika itu.
No comments:
Post a Comment