Monday, December 29, 2008

Ulasan Upacara Pemakaman

Tadi sempat mengikuti ulasan istiadat pemakaman Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman menerusi Klasik Nasional oleh rakan-rakan Hj Khalim Rohani dan Hj Daud Abdullah. Saya tabik dengan keupayaan mereka membuat ulasan. Terus terang dikatakan bahawa membuat ulasan upacara sebegini bukan boleh sembarangan. Ia perlukan persediaan rapi dan pengalaman luas dan kedua-dua rakan saya itu memiliki ciri-ciri tersebut. Syabas.

Saya sendiri mengakui tidak banyak pengalaman dalam bidang ini. Apapun saya pernah juga terlibat dalam upacara pengkebumian mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba di Makam Pahlawan, Mesjid Negara. Saya masih ingat lagi pada upacara itulah seorang pengulas muda dari sebuah stesen tv swasta yang mendapat teguran kerana membuat ulasan upacara sayu dan sedih itu seolah-olah sedang mengacarakan sebuah rancangan hiburan.

Sebenarnya ketika menonton laporan dari lokasi menerusi Berita RTM Satu Sabtu lepaspun saya tertengok seorang wartwan penyiaran yang berpotensi juga turut 'kelam kabut' ketika membuat ulasan. Sudahlah tidak mengawal nada suara agar nampak 'solemn', beliau juga kelihatan tidak cermat memilih dan menggunakan istilah seperti jenazah dihantar dan tersasul menggunakan gantinama beliau yang sepatutnya baginda. Mungkin atas alasan itu pengulas waktu berikutnya dipikul oleh rakan beliau yang kelihatan lebih bersedia.

Justeru melakukan ulasan dalam bidang ini bukan sekadar tangkap muat atau bersandarkan pengalaman mengulas rancangan yang mempunyai suasana yang santai atau bersahaja. Penyiar RTM harus sedar tentang itu sekiranya ingin disegani rakan-rakan dari stesen pesaing.

No comments: