Wednesday, May 7, 2008

Tentang KASTURI


Kasturi adalah akronim Karyawan Seni Angkasapuri. Sebuah perkumpulan yang bercita-cita untuk menggiatkan aktiviti kesenian dalam kalangan anggota petugas di Angkasapuri.
Tercetus pada sekitar awal 90an. Bermula dengan bual-bual kosong akhirnya menjadi realiti. Namun pendokong asalnya ada yang telah kembali kerahmatullah dan bersara.
Ia sebenarnya berhasrat untuk aktif. Tapi lantaran kepicikan masa dan komitmen yang terbatas, Kasturi hanya muncul pada ketika diminta untk membuat persembahan.
Bercita-cita untuk mengendalikan majlis baca puisi persis yang dianjurkan Pena, namun masih belum kesampaian. Apapun ia hampir-hampir menjadi realiti apabila mantan Menteri Penerangan, Dato Seri Zainuddin Maidin mengusulkan aktiviti seni diadakan di perkarangan Angkasapuri.
Bak pucuk dicita ulam mendatang. Bersama rakan Saiee Driss, satu kertas cadangan dikemukakan hingga ke peringkat direktorat. Tapi sayang masih belum kesempatan untuk direalisasikan sehingga Saiee pun bersara.
Menerusi Kasturi ramai juga pendokong jiwa seni dalam kalangan petugas di Angkasapuri terlibat dalam beberapa aktiviti peringkat jabatan. Terciptanya lagu Megah Di Angkasa sempena 60 tahun RTM juga adalah menerusi lonjakan semangat Kasturi. Selepas itu adalah beberapa majlis lain yang Kasturi terlibat sama.
Terbaharu sewaktu diminta beraksi oleh Puspanita RTM sempena Malam Mesra Kasih Puspanita mengalu-alukan kehadiran Menteri Penerangan baru, Dato Ahmad Shabery Cheek pada 28 April lalu.

No comments: