Seperti biasa masa cuti persekolahan diisi dengan aktiviti Kembara Malaysia. Kali ini destinasi adalah Pantai Timur-walaupun ia pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini. Ia menjadi pilihan kerana beberapa sebab-menghadiri majlis perkahwinan sepupu isteri dan Aznarina Aziz. Selepas itu melajak ke Kota Baharu(KB).
Setelah menghadiri majlis perkahwinan sepupu isteri di Felda Sungai Tekam Utara, Jengka, Pahang pada Sabtu 24 Mei, perjalanan diteruskan ke Bukit Payong, Marang, Terengganu untuk memenuhi undangan walimahtul urus penyampai berita, Aznarina Aziz.
Memandangkan masa bertolak dari Sungai Tekam Utara sudah agak lewat, kehadiran di rumah Aznarina hanya dapat dipenuhi tatkala azan Maghrib berkumandang. Memanglah tiada tetamu lagi pada waktu itu. Tapi dalam pada itu pun Aznarina sempat menghidangkan masak lemak nangka berlaukkan ikan kering. Puh, berselera dibuatnya. Tapi ikut kata Aznarina sekiranya datang awal dapatlah menikmati masak asam ikan patin.
Kira-kira jam 8.00, saya sekeluarga bersama ayah dan ibu mertua bertolak untuk ke KB. Jam 11.45 baru sampai.
Di KB kami menginap di homestay yang terletak di Kampung Baru, Pantai Mek Mas yang terletak berhampiran PCB, Pantai Cahaya Bulan.
Perjalanan ke sana pada malam gelap gelita mujur dipandu arah oleh saudara Zaidi yang datang membantu. Zaidi adalah orang hubungan ketika menempah homestay berkenaan. Untuk makluman homestay ini diketahui ketika melayari blog rockys bru.
Ia sebenarnya baru diperkenalkan dan masih dalam peringkat awal 'perniagaan'. Masih banyak kekurangan. Itulah pengakuan Zaidi ketika kami melangkah masuk.
Sebenarnya kami tidak berapa kisah. Sekurang-kurangnya dapat juga merasai suasana hidup keluarga nelayan.
Homestay ini milik Pok Sin. Dua buah kesemuanya. Kami adalah di antara pengunjung awal.
Hah. Anak-anak teruja dengan senario kampung. Kambing bebiri bekeliaran di sekitaran(termasuk dengan najisnya sekali-tapi itulah realiti kehidupan).
Di belakang tempat penginapan, anak Pok Sin mengusahakan cantingan batik yang dilakukan secara cottage industry. Kali pertama mendekati aktiviti realiti-bukan sekadar melihat gambaran semata-mata.
Paginya menikmati sarapan/makan tengahari di Pasar Khadijah. Ah berselera menikmati antaranya sotong dan udang yang bersaiz besar. Jika di KL kena fikir dua tiga kali!
Selepas itu apa lagi destinasi 'wajib' ketika berkunjung ke KB-menggali gedung buku Jaafar Rawas di Jalan Tok Pati sementara isteri dan yang lain-lain singgah di kedai emas(macam datin-datinlah pulak).
Sempatlah membeli beberapa tajuk buku kebanyakkannya mengenai gangguan jin dan syaitan-tajuk yang diminati sejak kebelakangan ini setelah mendampingi Ustaz Hanif Ghazali At Tobibi dari Pondok Zubaidiyah, Merbok, Sungai Petani.
Kembali ke homestay lewat tengahari. Boleh tahan juga panasnya. Tapi tak apa, realiti dicari, realiti ditermui. Seronok melihat anak-anak teruja dengan aktiviti kehidupan yang asing walupun sering balik kampung tetapi tidak serupa dengan cabaran sebuah perkampungan nelayan.
Salam Pantai Timur berhenti seketika. Bercadang untuk ke PCB dan malam nanti teringin nak menikmati nasi kerabu.
No comments:
Post a Comment