Terharu tapi tidak terkejut apabila menerima sms daripada Pak Ibrahim Abu Bakar(pengulas sukan veteran) menyatakan rakan DJ Ahmad’Radio Man’ Alwani Amir Hamzah kini berada di CCU Hospital Kuala Lumpur.
Tidak terkejut kerana sememangnya telah mengetahui keadaan beliau dan telahpun pergi melawat minggu lalu tetapi di Hospital Putrajaya.
Terharu melihat keadaannya yang terlantar dengan dikelilingi alat bantuan pernafasan serta monitor yang memaparkan imej denyutan nadi. Sempat bertemu isteri beliau yang nyata menaruh harapan agar Alwani kembali sembuh.
Kali terakhir berbicara dengan beliau ialah pertengahan April lalu. Terkejut apabila panggilan dijawab dari atas katil hospital. Baru tahu beliau dimasukkan ke wad disebkan komplikasi diabetes yang dialami.
Sebelum mengakhiri perbualan saya sempat berpesan agar beliau tabah menghadapi dugaan Allah ini. Dengan tenang beliau membalas “ abang, kalau saya tidak kuat, keadaan saya tentu lebih teruk” Syabas kata hati saya.
Seterusnya ada teman yang nak pergi melawat tetapi lantaran kesibukan saya hanya sempat menitipkan sehelai kertas dengan pesanan “ Alwani, banyakkan berzikir dan menyebut nama Allah” sambil saya berpesan agar perbanyakkanlah berzikir dengan zikir Nabi Yunus.
Sebaik menerima sms daripada Pak Bakar seperti biasa saya terus saja forwardkan kepada beberapa kenalan khususnya yang telah bersara. Begitulah kebiasaannya rutin saya akan menyebarkan berita tentang hal ehwal rakan yang dilanda musibah kepada teman-teman lama. Begitu juga mereka akan mengirmkan khabar kepada saya tentang rakan-rakan veteran RTM samada yang sakit atau meningal dunia untuk saya sampaikan pula kepada rakan-rakan setugas lain. Setidak-tidaknya itulah sekecil kebajikan yang sempat saya lakukan di celah-celah kesibukan yang entah bila akan berakhir.
Semoga Alwani diangerahi kesembuhan oleh Allah SWT. Kepada rakan-rakan yang masih belum berkesempatan melawat beliau, luangkanlah sedikit masa untuk menjenguk rakan kita itu.
No comments:
Post a Comment