Bumi Kelantan ditinggalkan dengan seribu kenangan lebih-lebih lagi kembara percutian kali ini turut disertai ayah dan ibu mertua.
Pagi semalam sebelum berangkat balik ke KL sempat berbual dengan pemilik Homestay, Pok Sin. Berusia 63 tahun dan menjadi nelayan sejak muda lagi. Punya lima anak dan beberapa orang cucu. Ada di antara anaknya kini turut mewarisi beliau hidup sebagai nelayan.
Pemilihan tanah beliau untuk dijadikan tapak homestay merupakan suatu keberuntungan. Setidak-tidaknya boleh dijadikan tempat tinggal.
Pagi itu Pok Sin baru balik dari laut. Beliau hanya mampu membawa balik kira-kira 30 kil0gram ikan kerapu yang menghasilkan pulangan sekitar RM200.00. Namun ada kalanya pulang dengan tangan kosong.
Menurut Pok Sin lagi ada juga antara penduduk kampung yang memperoleh pinjaman untuk membina rumah 'batu' dengan melunaskan pinjaman sebanyak RM100.00 sebulan. Cuma tambah Pok Sin lagi beliau tidak berminat untuk berbuat demikian kerana ia melibatkan soal kepartian.
Pagi itu sempat juga menemankan anak-anak, Zafir dan Zafirah bermain pantai. Fatin, anak sulung Mek Kiah menjadi penunjuk jalan.
Ketika anak-anak leka bermandi, sempat bertanya itu ini pada Fatin.
Terharu juga mendengarkan anak seusia 12 tahun ini masih belum mampu menjawab apakah cita-citanya apabila dewasa kelak atau dia berasa segan untuk menyatakannya. Apapun apabila ditanya apakah dia akan menjejaki ibu dengan mengusahakan cantingan batik, dia hanya mempu tersenyum.
Menurut Fatin lagi ada diantara anak-anak penduduk kampung itu yang tidak bersekolah lantaran kedaifan keluarga.
Sebagai kakak kepada dua adik yang masing-masing berusia 9 dan 6 tahun Fatin kini setidak-tidaknya sudah pandai mengurus diri termasuk sudah tahu menanak nasi dan menggoreng ikan.
Sebelum meninggalkan KB sejenak ke Pantai Cahaya Bulan(PCB) kerana anak-anak teringin sangat menyampaikan hajat 'mencelup' kaki di pantai yang kini dipenuhi batu-batu besar penghalang ombak.
Memandangkan perut sudah berkeroncong, berselera pula melihat gerai-gerai yang dipenuhi dengan jualan hasil laut. Cuma sayang ianya agak terdedah.
Tapi mujurlah sebelum dihidangkan, ia digoreng semula. Enak juga menikmati'colek' makanan laut seperti bebola ikan, ketam dan udang.
Masuk tengahari baru mencari jalan keluar dari bandar KB. Sebenarnya warga bandaraya Islam ini perlu lebih prihatin lagi khususnya tentang menjaga kerbersihan kerana ia merupakan antara ciri-ciri penting dalam kehidupan seorang muslim-buktikan pada masyarakat lain.
Ketika melalui Batu 30 Kampung Pek, Machang, sempat singgah untuk meneguk air nira atau tuak kelapa yang dijaja di pinggir jalan.
Berharga RM2.50 sebungkus, berasa manis-manis masam. Dalam kalangan famili yang turut serta hanya saya seorang yang teruja meneguk tuak di bawah terik matahari.
Sejenak terfikir, kalau ditempat lain jangan sembarangan meneguk tuak, kerana dikhuatiri ia adalah tuak yang boleh memabukkan.
Tetapi tuak yang ini, habis sebungkus, tambah sebungkus lagi.....
No comments:
Post a Comment