Petang tadi sempat memborong beberapa hasil batik daripada salah seorang pengusaha batik di sekitar Pantai Cahaya Bulan. Perbezaan harga memang ketara sekiranya membeli terus daripada pengusaha berbanding setelah berada di rak-rak pameran di kedai-kedai. Berbelanja sekitar 600 riyal(ikut penggunaan loghat masyarakat tempatan). Terpikat dengan kemeja batik berlengan panjang berwarna merah jambu untuk dipakai ke pejabat pada hari Khamis.
Siti Hajar Batik-milik pasangan suami isteri(Siti Hajar dan Zakaria) yang telah menjalankan bisnes lebih 20 tahun. Sempat meninjau kilang kepunyaan mereka yang terletak di belakang rumah. Melihat sendiri bagaimana proses pembuatan batik dijalankan.
Melihat pada fizikal rumah yang tersergam indah dan sebuah Mercedes Benz yang anggun , nyatalah perniagaan mereka telah membuahkan hasil yang lumayan. Namun di sebalik kejayaan ini pastinya berdiri mereka yang turut terlibat dalam menghasilkan cantingan batik yang unik dan menarik termasuklah Mek Kiah(tinggal di belakang homestay) yang mengambil upah membuat lakaran batik milik Siti Hajar Batik.
Terharu mendengarkan luahan Mek Kiah yang punya tiga anak serta suami seorang nelayan yang menyatakan beliau sendiri belum mampu untuk memiliki sehelai batik yang berharga ratusan ringgit untuk mmbalut tubuh sedangkan beliaulah yang melakar batik-batik berkenaan.
Salam Pantai Timur disapa angin kesayuan terkenangkan golongan yang sebegitu sedangkan penyewa homestay dari jauh datang bertandang sambil berbelanja seadanya.
Makan malam menikmati nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak dan ayam percik yang dibeli dari Pasar Malam Buluh Kubu.
Dan malam itu Mek Kiah seluarga turut menikmatinya......
No comments:
Post a Comment