Wednesday, May 7, 2008

Merenungi Masa Yang Berlalu

Terpapar di muka depan akhbar Harian Metro hari ini(Rabu 7 Mei 2008) tentang DJ radio yang dicekup ketika sedang dipengaruhi dadah. Siapalah DJ tu ya?

Cuma sayang kerjaya yang sebaik itu boleh menjebakkan diri ke kancah yang negatif? Betul apa sekalipun bidang kerjaya sekiranya kita lalai dan mengabaikan nilai-nilai murni, tidak mustahil gejala buruk akan menelanjangi. Tapi sekurang-kurangnya kerjaya ’ menyeru’ dan mendorong masyarakat untuk bersikap ampuh tentunya tidak wajar dibabitkan dengan aktiviti songsang sedemikian.

Cabaran ini sudah ada sejak dulu lagi. Cuma bergantung kepada kekuatan dalaman. Sekiranya berfikiran panjang, ingatkan keluarga,masa depan dan untung rugi apabila berpindah ke alam satu lagi insyaAllah perkara itu mampu dijauhi.

Teringat ketika terlibat dengan PJSN. Pernah rombongan PJSN yang menginap di hotel menjadi perhatian pihak berkuasa termasuk dari Pejabat Agama. Kecut perut juga apabila ada rakan artis yang mengadu pintu hotel mereka diketuk. Tapi mujur tiada ada apa-apa, sekadar serkap jarang atau aduan daripada mereka yang punya agenda tertentu. Tapi entahlah jika ada yang berlaku di luar pengetahuan.

Semoga rakan-rakan DJ/penyiar lain ambil iktibar. Ingatlah nak popular bukan satu perkara yang mudah, jangan pula apabila dah popular musnahkannya sekelip mata!




Menemubual tetamu dalam segmen
RS69 di Radio Satu pada tahun 2000


Masih dengan Harian Metro. Menyelak ke halaman tengah. Terpampang Sarimah ’Kah Mah” Ibrahim yang kini tengah sibuk mengacarakan Diari Akademi Fantasia 6.

Tak nak sentuh apa-apa. Cuma terbaca ungkapan buat saspen aje sudah menjadi trademark atau jenama. Maknanya menjadi sebutan ramai.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencipta ungkapan agar mudah bermain di bibir ramai.

Teringat pada ungkapan yang pernah menjadi jenama juga sepanjang program Pujaan Sepuluh Nescafe ke udara sejak akhir 89an….Jaga Diri Hiasi Peribadi.

Ianya timbul spontan sewaktu menaip skrip. Sampai pada penutup, tercari-cari apakah perkataan sesuai yang boleh digunapakai berulang kali. Biar mudah disebut dan tersirat makna yang mendalam.

Banyak yang dicuba akhirnya melekat pada Jaga Diri Hiasi Peribadi. Jaga diri sebenarnya pernah menjadi ungkapan pada lirik lagu yang hasilkan untuk dicipta dan dinyanyikan oleh Khairil Johari Johar .

Jaga Diri bersifat luaran dan perlu diseimbangkan dengan dalaman. Dari situlah timbul Hiasi Peribadi yang mungkin dikutip daripada tajuk buku Tasauf- Mengenai Diri Dan Wali Allah karya Mustafa Al Jiasi yang membahaskan ciri-ciri mulia kerohanian yang perlu ada dalam diri individu yang beriman. Dalam ertikata lain sifat-sifat murni yang perlu dipupuk.

Lalu terhasillah Jaga Diri Hiasi Peribadi. Ada unsur jasmani dan rohaninya.

Ungkapan itu bukan sahaja digunakan pada program PJSN malah setiap kali mengakhiri tugas di bilek hubungan(konti).

Tetapi sejak meninggalkan bilek hubungan ungkapan itu tidak lagi kedengaran di udara sehinggalah pada suatu hari ianya kedengaran diucapkan oleh seorang penyampai berita wanita RTM 1. Dan mengikut kata kawan-kawan, penyampai berita tersebut sering kali mengunakannya. Cuma belum kesempatan untuk bersemuka dengan beliau dan bertanya khabar dari mana ungkapan itu diperoleh? Apakah pernah kedengaran seseorang pernah mengucapkannya atau pernah tercatat di mana-mana?

Sehingga bertemu lagi..Jaga Diri Hiasi Peribadi.

No comments: