Tuesday, September 30, 2008

RONDA-RONDA MELAKAfm

Detik dan ketika ini umat Islam di sebahagian besar dunia Islam sedang menantikan kehadiran Aidil Fitri. Saya katakan sebahagian besar kerana Arab Saudi dan negara-negara Arab lain yang berjiran kini sedang meraikan 1 Syawal.

Menjelang hari raya pastinya gelagat dan karenah orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing menjadi tumpuan sejak semalam(29/908) lagi. Apapun hari ini adalah kemuncaknya. Jalan-jalan raya akan penuh sesak. Kenderaan bertali arus. Kenderaan awam tak usah kira. Semuanya menuju ke satu matlamat-untuk berada di samping mereka yang tersayang ketika terbitnya fajar 1 Syawal.

Bagi saya ini merupakan pengalaman pertama berada dalam suasana menjelang raya berjauhan dari keluarga. Isteri dan anak-anak di Kuala Lumpur sedang sibuk mengemas rumah dan membuat itu ini sedangkan saya masih di Melaka melunaskan tugas. Pengalaman yang pastinya tidak boleh dijual beli. Sayu bercampur gembira.

Mulai semalam pejabat mulai lengang. Yang datang pun sudah dijangkiti mood bercuti. Terasa berat nak mengangkat pen ataupun menjawab telefon. Itulah dia penangan hari raya.

Pengalaman mengendalikan sebuah stesen seperti di Melakafm ini juga merupakan saat yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Kemungkinan ia tidak akan berulang dalam suasana yang sebegini.

Dalam pada sibuk bekerja, sempat juga memantau radio-radio swasta. Ternyata mood raya mereka meriah. Fikir punya fikir ini tak boleh jadi. Lantas berpakat dengan beberapa rakan untuk merancang program bagi ‘menghidupkan’ suasana menjelang hari raya ni walaupun dengan cara yang tidak keterlaluan kerana Ramadhan masih berbaki.

Akhirnya Amrina(Reen) bersetuju untuk berkolaborasi dengan Margaret(Meg) membuat tinjauan ke sekitar Bandaraya Melaka serta membuat laporan tentang persiapan di saat-saat terakhir menjelang hari lebaran. Haji Abdin juga terpanggil untk turung padang sama.

Mereka bersetuju untuk pergi ke beberapa lokasi seperti ke tapak menjual daging lembu segar dan membakar lemang di Semabok dan meninjau situasi sibuk di Melaka Sentral. Team ini dinamakan Team Ronda-Ronda Raya Melakafm.

Setidak-tidaknya menerusi tinjauan ini dapatlah juga merasakan kemeriahan menyambut Aidil Fitri di Melakafm. Walaupun ia tidak dirancang lebih awal namun hasilnya tidak mengecewakan. Ternyata Reen, Meg dan Haji Abidin bertindak dengan ‘profesional’ sekali. Inilah sebenarnya yang ingin digali daripada rakan-rakan penyiar. Mereka sebenarnya ada potensi Cuma barangkali perlu masa dan teknik tertentu untuk digilap bagi menyerlahkan 'keindahan' sebenarnya.

Di studio saya beraksi dengan Izad(Shahrizat). Ah, dah lama juga rindukan suasana bertugas di konti. Sejenak terkenang ketika bertugas di Radio 1(kini Klasik Nasional) lebih-lebih lagi ketika masih bertaraf bujang. Indahnya detik itu tidak tergambarkan.

InsyaAllah tahun depan jika masih lagi di Melakafm, pasti banyak lagi program yang akan dirancang tapi sudah tentu dengan kerjasama rakan-rakan.

Team Ronda-Ronda Melakafm terus menuju ke lokasi sekitar Bandaraya Melaka. Khabarnya ingin singgah di Terminal Feri untuk meninjau saudara kita dari seberang sedang menanti saat dan giliran untuk ‘mudik’ beramai-ramai.

Apapun petang ini selepas bertugas akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Selamat tinggal dulu Melaka Bandaraya Warisan Dunia. Nanti kita jumpa lagi. Dan sepeninggalan ini semoga Melakafm akan terus menemani pendengar dengan lancar.

No comments: