Sunday, September 7, 2008

Masak Lemak Kulit Lembu

Semalam adalah hari ke-6 dan Sabtu pertama berpuasa pada tahun ini. Kebiasaannya pada petang Sabtu destinasi saya dan keluarga adalah ke Pasar Malam Paya Jaras, Sungai Buloh.

Pasar malam itu tiada bezanya dengan pasarmalam-pasar malam lain. Beraneka barang jualan diniagakan. Dari bahan makanan ke barang keperluan harian termasuk pakaian, barangan dapur, permainan kanak-kanak, ceedee karoeke dan banyak lagi. Seronok melihat rakan saudara sebangsa berniaga.

Gerai-gerai yang pasti dikunjungi ialah gerai menjual ikan masin talang, ulam-ulaman dan yang paling istimewa gerai Pak CIK Bugis yang menjual masak lemak kulit lembu.

Beliau saya gelar Pak Cik Bugis memandangkan keturunanya dari suku Bugis. Hingga ke hari ini siapa nama beliau belum diketahui walaupun telah menjadi regular customer hampir dua tahun.

Menurut Pak Cik Bugis menyediakan masakan kulit lembu merupakan kerja yang remeh. Remeh yang dimaksudkan ialah untuk 'menyiapkan' kulit lembu. Mendapatkannya satu hal. Kerja-kerja membersihkannya satu hal pula. Belum lagi diambil kira masa yang digunakan untuk menjemurnya di bawah terik matahari. Hanya yang ahli saja yang sudi melakukannya.

Pak Cik Bugis menjual masak lemak kulit lembunya dengan kadar empat ringgit satu bekas plastik. Kebiasaannya saya akan beli paling kurang dua bekas. Anak-anak turut meminatinya.

Sayangnya destinasi semalam tidak berbaloi. Sudahlah berhadapan dengan kesesakan yang teruk sebaik masuk dari tol Sungai Buloh. Sampai saja langit sudah nampak seperti nak memuntahkan isi.

Terpaksa bergegas mencari gerai Pak Cik Bugis. Namun terpaksa berputih mata kerana hanya kuali kosong yang menanti.

Masa pula menghampiri jam 7.00 malam. Dalam rintik-rintik hujan sempat membeli kebab daging dan air tebu untuk berbuka .

Sebaik meninggalkan tapak pasar malam, hujan mula mencurah-curah. Singgah di Mesjid Sungai Perlong menantikan azan berkumandang. Hari itu berbuka dalam kereta di tengah curahan hujan rahmatlah nampaknya.

Azan maghrib pun berkumandang. Hujan pula mulai reda, Rahmat Allah. Selepas solat maghrib anak-anak mula menagih janji untuk mencari tempat makan.

Terjumpa dengan sebuah gerai yang kelihatan ramai pelanggan. Terus saja singgah dengan tanggapan gerai yang sarat pelanggan kebiasaannya menyediakan hidangan yang lazat walaupun sedar terpaksa menunggu lama.

Makannan ok. Itulah kebiasaannya setiap kali selesai menikmati juadah rezeki. Amat sukar mengatakan itu tak sedap, ini tak enak lebih-lebih lagi di hadapan rezeki. Sekiaranya tidak memenuhi selera, usik sedikit, tinggalkan dan reda saja.

Selesai makan terus mencari bilik air. Sewaktu ke bahagian belakang gerai itu terlihatlah betapa tidak ‘bersihnya’ tempat yang menyediakan makanan yang baru dinikmati itu. Aduhai. Apa nak kata. Tunggu sajalah nanti jika ada yang mengadu perut memulas. Alhamdulillah mujur tiada perut yang meragam malam tadi.

Hati tertanya-tanya. Kenapa aspek kebersihan sering diabaikan terutama oleh mereka yang terlibat dengan menjual bahan makanan. Bukankah Islam itu mengutamakan kebersihan. Apakah pengendali gerai tersebut tidak menyedari ini semua? Tidak mungkin. Seandainya keadaan itu diketahui lebih awal tentu gerai lain yang dicari.

Satu lagi ialah keadaan suasananya yang suram seperti situasi di kelab malam. Memang tidak nampak jelas apa yang dimakan. Bayangkan sekiranya ada tulang atau cili padi tentu aksn terus dikunyah. Belum lagi sekiranya ditakdirkan ada ‘makhluk’ asing dalam hidangan tersebut. Sekali lagi keluhan diluahkan.

Jadi tepatlah saranan agar lebih baik dan selamat makan di rumah daripada menjamu selera di luar. Walaupun masih ada restoran atau gerai yang bersih seperti yang terdapat di Pantai Baru berhadapan dengan Balai Bomba & Penyelamat Pantai. Memang siapapun yang masuk ke situ akan berasa puas hati melihat keadaan ruang makan yang bersih serta dapat juga menjenguk dapur yang kelihatan tidak bersepah.

Tidak salah sekiranya berdoa agar terbuka hati peniaga dan pengendali makanan di negara kita ini yang beragama Islam agar lebih prihatin dengan kebersihan kerana bahan yang mereka jual akan terus ke dalam perut pelanggan lalu menjadi darah daging.

No comments: