Friday, September 5, 2008

Perginya Pak Samad

Hari ini dunia kewartawanan negara menangisi pemergian tokoh dunia persuratan tanah air, Tan Sri A.Samad Ismail pada petang Khamis di sebuah hospital swasta di ibu kota.
Tan Sri Samad atau Pak Samad memang digeruni kerana ketajaman pena serta akal fikirnya.

Sesungguhnya saya memang tidak layak untuk menulis tentang insan hebat ini kerana kekerdilan diri. Pak Samad bukan calang-calang manausia malah mereka yang di sekeliling Allahyarham sama ada anak didiknya, kenalan rapatnya atau yang pernah bekerja dengannyalah yang lebih layak menyusun ungkapan tinta buat mengenang jasa bakti beliau.

Cuma yang dapat dikongsi di ruang ini ialah secebis kenangan sewaktu menghadiri satu bengkel penulisan yang diadakan di Kuala Lumpur sekitar awal 80-an. Ketika itu saya memang kemaruk ingin menjadi wartawan/pemberita.

Pantang terdengar saja kursus atau bengkel penulisan pasti peluang untuk menyertainya tidak dilepaskan.

Salah satunya turut menjemput Allahyarham Pak Samad sebagai penceramah. Apa yang dapat digambarkan pada kotak kenangan ialah gaya Pak Samad ketika melontarkan buah fikir yang tidak ternilai itu. Beliau masak dengan pengalaman. Beliau menempuh pelbagai era kehidupan termasuk ketika di Singapura.

Yang jelas Pak Samad memang dikenali dengan sikap 'kasarnya'. Bagi beliau sikapnya itu adalah biasa baginya. Mungkin itulah cara beliau terdidik lantas terbawa-bawa dalam rutin kehidupan.

Namun bagi sebilangan besar anak didiknya, sikapnya itulah yang menyuntik mereka dengan semangat 'keras hati' ketika berperanan sebagai wartawan mahupun penulis. Dan hasilnya, kebanyakkan mereka juga berjaya menjejaki kehebatan beliau. Memang bak kata Pak Samad pada bengkel itu, seorang penulis yang berjaya perlu memiliki jiwa kental dan cekal demi melalui pelbagai cabaran.

Sesekali beliau akan berjenaka membuat peserta ketawa terbahak-bahak. Ada kalanya kelucuan yang dilontarken mempunyai makna kedua yang tersembunyi. Itulah Pak Samad.
Walaupun sekadar mengenali Allahyarham dari jauh, saya tetap kagum
dengan 'persembahan'nya di persada penulisan malah masih terbayang lagi kulit novel hasil karyanya "Patah Sayap Terbang Jua' yang sempat ditatap sekitar tahun 70-an.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga jasa murni Allahyarham diberkati Allah jua.

No comments: