Tuesday, January 20, 2009

Menatap Kali Terakhir Wajah Seorang Teman


Malam tadi dikejutkan dengan berita pulangnya ke rahmatullah teman sekerja yang juga seorang juruhebah sambilan di Melakafm, Rashid Saat(gambar) kerana menghidapi paru-paru berair. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 malam, Isnin 19 Januari 2009 di Hospital Jasin setelah dimasukkan ke hospital berkenaan hari Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada.Kali terakhir saya bertemu Allahyarham ialah pada Rabu lalu. Allahyarham sebenarnya telah diberi pelepasan dari bertugas sejak sabtu lepas memandangkan sejak kebelakangan ini beliau didapati tidak begitu sihat untuk mengendalikan konti.

Saya mengenali Allahyarham sejak bertugas di Melakafm iaitu kira-kira tujuh bulan. Allahyarham yang saya kenali merupakan seorang periang, banyak idea dan mempunyai sentuhan seni. Bakatnya terserlah apabila mengendalikan program bercorak puisi pada tahun lalu. Allahyarham sebenarnya bertugas dengan Jabatan Pelajaran dan terlibat sebagai juruhebah sambilan sejak tahun 2005.

Beliau pergi dalam usia 42 tahun meninggalkan balu dan dua orang anak. Sebagai anak sulung dalam keluarga. pemergian Allahyarham amat dirasakan oleh bapa dan ahli keluarga. Ramai yang datang berziarah di rumah orang tua Allahyarham di Bukit Lintang, Ayer Molek termasuk beberapa ahli yang berhormat yang mengenali Allahyarham semasa hayatnya.

Teringat pada hari raya tahun lepas saya membuat artikel tentang Dj-Dj Melakafm menyambut hari raya yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 28 September 2008. Sebaik artikel itu disiarkan Allahyarham datang bertemu saya sambil mengucapkan terima kasih kerana beliau memperoleh banyak maklumbalas daripada peminat dan pembaca.


Sahabat,Berbahagialah rohmu sahabat di sana. InsyaAllah kami juga akan menyusuli. Hanya doa kupanjatkan dan kesempatan menyembahyangkan jenazahmu buat kali terakhir pagi tadi menghadirkan sebak di dada kerana genggaman erat tanganmu petang Rabu lepas rupa-rupanya adalah sentuhan terakhir daripada rakan sekerja yang mesra dan periang.Al Fatihah.

1 comment:

::BLOGMASTER:: said...

Takziah buat keluarga Allahyarham DJ Rashid Saat. Sebutan 'pon-pon'nya masih terngiang-ngiang di telinga Teman MelakaFM. Semoga rohnya dicucuri rahmat-NYA. Al-Fatihah.