Monday, January 19, 2009

Apa Cheghita Hari Ni Yob?

Khabarnya tahun ni genap 25 tahun usia TV3. Semakin dewasa deme ye. Cuma teringat di awal-awal tahun munculnya stesen tv swasta ini di ruang udara Melaysia. Masa tu saya berkhidmat di Unit Seranta TV. Tugas unit ini adalah untuk menguruskan publisiti rancangan-rancangan tv kepada akhbar-akhbar tempatan termasuk Bernama. Secara tak langsung di sinilah saya banyak bergaul dengan wartawan hiburan seperti Juwie, Huzz, Muzlina Abu Bakar, Ku Seman,Zubairi Zabidin selain wartawan dari akhbar berbahasa Inggeris, Tamil dan Cina.

Tugas saya setiap hari adalah menyediakan bahan sinopsis rancangan tv berserta jadualnya untuk kegunaan akhbar-akhbar terbabit. Pada masa inilah saya menjadi 'pemburu' untuk mendapatkan bahan samada rancangan syndicated(luar negara) atau tempatan(yang diterbitkan oleh RTM sendiri). Antara yang saya buru ialah penerbit-penerbit drama TV termasuk Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Abdul Rahman Hamid yang pada ketika itu merupakan antara penerbit drama RTM yang tersohor selain nama-nama seperti Allahyarham Rosli Jalil, Hasiah Ariffin, Husner Ahmad dan Abdullah Zainol. Pendekkan cerita dalam kalangan penerbit-penerbit drama berkenaan amat 'seriau' apabila melihat kelibat saya kerana kedatangan saya tidak lain ingin mendapatkan sinopsis drama terbitan mereka. Dan mereka pula tidak dapat tidak perlu menyediakan sinopsis walaupun sebaris kerana Pengawal Drama ketika itu Tuan Haji Abdul Aziz Abas(3A) adalah seorang yang mengambil berat tentang publisiti khususnya drama. Kerana jika tiada publisiti untuk drama siaran hari Ahad(slot Drama Minggu Ini), keesokkannya hari Isnin, beliau akan 'bising'. Yang terkena 'hayun' pastinya penerbit terbabit. Jadi begitulah secebis senario 'kesibukan' bekerja era berkenaan.

Berbalik pada kewujudan TV 3, pada ketika itu TV1 memang terasa pukulan kehadiran TV swasta pertama ini. Saya masih ingat lagi, Pengawal Rancangan TV masa itu ialah Encik Ahmad Noor yang 'berserabut' memikirkan cara untuk menyaingi program-program yang disiarkan oleh TV 3. Antara yang diperkenalkan ialah sebuah sitcom yang jika ramai masih ingat, Mind Your Language, kisah sebuah kelas dewasa belajar bahasa Inggeris yang dikendalikan oleh pengajar bernama Mr. Brown. Ternyata ia berjaya menarik perhatian penonton ketika itu.Nampaknya kini wujud sebuah sitcom tempatan berjudul Kelas Nombor 1 yang mirip dengan program tersebut. Itulah sebahagian dari ribut yang melanda RTM khususnya TV sewaktu kehadiran TV yang muncul dengan tagline, Berita Terkini,Hiburan Sensasi 25 tahun lalu. Dan saya sendiri dapat menyaksikannya.Apapun betapa pantas masa berlalu.

No comments: