Wednesday, January 7, 2009

Akses Kepada Maklumat

Dalam beberapa ketika kebelakangan ini kita banyak dipaparkan dengan berita tentang situasi yang menjadi medan 'pertempuran'pihak-pihak tertentu yang tidak dapat tidak membabitkan 'kesejahteraan' rakyat. Memang seharusnya ia mengundang rasa simpati daripada kita yang waras dan mempunyai pertimbangan terhadap kewajaran yang optimum. Kebanyakkannya dipaparkan dalam slot berita. Yang jelas meninggalkan kesan yang mendalam adalah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sehingga kita rasa terpanggil untuk melakukan tindakan 'mengajar dan menghukum' golongan yang tidak pernah jemu menzalimi umat Islam.

Di sini saya suka menarik perhatian kepada beberapa insiden dalam negara yang menjadi fokus berita yang bagi saya jika dilihat dari sudut profesionalisme, hanya memerlukan akses yang wajar dan seimbang dari segi maklumat demi mencari penyelesaian. Jika kita terhalang atau dinafikan daripada akses maklumat yang jelas dan seimbang, sesuatu itu akan nampak hitam pada sebelah pihak dan seolah-olah memenangi pihak yang lain.

Tetapi menerusi berita yang saya saksikan di kaca tv malam ini, semacam ada sedikit ruang untuk akses kepada maklumat dari sudut pandang pelbagai pihak agar rakyat dapat membuat pertimbangan. Syukurlah harapan saya termakbul akhirnya.
Kita ketepikan dulu soal fahaman, pegangan mahupun pendirian. Hasrat kita ingin merungkai permasaalahan. Jadi akses kepada maklumat itu penting. Berilah peluang rakyat memperoleh maklumat yang jelas agar setiap tindakan itu tidak dinilai pada penghujungnya sahaja. Ini dikhuatiri boleh mengakibatkan persepsi yang berat sebelah sehingga mampu meretakkan perhubungan bukan memulihkan keadaan.

Saya juga turut tidak terkecuali melihat perkembangan tentang isu lif rosak di sebuah blok flat di Sentul yang berlanjutan sehingga membawa ke kamar tribunal. Bukan saya tidak menaruh simpati kepada mereka yang terlibat. Lebih-lebih lagi apabila dipaparkan dengan berita sayu yang membabitkan kematian salah seorang penduduk yang terhimpit dengan situasi yang membebankan itu hingga ke akhir hayat Allahyarham dan ia sepatutnya tidak berlaku. Kita melihat terjadinya pertikaman lidah, sindir menyindir dan penundingan jari. Cuma seingat saya, saya tidak didedahkan atau apa mungkin terlepas pandang tentang berita punca kenapa lif yang dimaksudkan itu rosak sehingga 'menyembah bumi'.

Ia mungkin rosak kerana peralatan yang digunakan tidak bermutu, lemah dari segi penyenggeraan atau kerana hasil dari penggunaan yang semberono dalam lain erti kata tidak ada sikap 'penjagaan' dari peringkat awal lagi. Yang diperkatakan ialah kekhilafan pihak pemaju dan sebagainya. Bagaimana dengan pihak pengguna? Apakah cara penggunaan yang diaplikasikan terhadap lif itu benar-benar dititikberatkan sejak dari hari pertama ia digunakan. Apakah yang menggunakan lif itu terdiri daripada 'malaikat' belaka tanpa ada tangan-tangan 'nakal' yang menyalahgunakannya sehingga besipun 'memohon ampun'. Saya memperkatakan ini kerena dalam kita asyik menunding jari ke arah pihak lain, jangan lupa kita juga tertuding dek jari sendiri samada mahu atau tidak.

Jadi sama-samalah kita cari jalan penyelesaian. Jangan lekas puas hati hanya kerana suara kita didengar setelah dicanang dengan kuat. Tengok juga pada kelemahan yang ada pada pihak kita. Biar sama-sama menyedari dan insaf dengan kelemahan masing-masing. Tetapi jika jelas ada pihak yang teraniaya, tafaddhal, ambillah tindakan apapun agar pihak yang tidak berhati perut itu diambil tindakan setimpal. Apapun balik kepada pokok perbincangan, akses kepada maklumat itu cukup penting. Percayalah.

No comments: