Sunday, January 11, 2009

Apa Cheghite Hari Ni Yob?

Duduk melepak di kampung mentua sambil menikmati nyaman alam tanpa gangguan bingit kenderaan. Melihat dedaun nyiur melambai-lambai mengikut rentak sentuhan angin yang berpuput. Mandi dengan air kolam yang dinginnya menusuk ke tulang. Terhibur dengan muzik alam sewaktu hujan menimpa atap zink. Malah banyak lagi yang terlakar dari 'dunia' yang tersisih dari hingar bingar kota ini.

Sambil menanti makan tengahari, yang pastinya ada masak lemak ayam kampung, beserta tumis pucuk paku, pun ditambah ulaman jering, ulam raja, putat, bunga betik, sambal udang petai dan goreng cencaru masin, sempat juga menatap akhbar di bawah rumah sedang anak-anak sibuk meneroka dan berbicara dengan alam.

Terbaca kolum Di Luar Lingkaran tulisan Dato Johan Jaafar, saya tersenyum sendirian. Ini kerana minggu ini Dato Johan memperkatakan tentang keadaan tandas awam di negara kita yang memualkan. Saya tersenyum kerana posting saya Jumaat lalu turut menyentuh isu yang sama. Bermakna kisah tandas juga bermain di kepala kolumnis mapan yang semestinya menuntut sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi cerita tandas yang 'kotor' ini tidak terus dikotori oleh sikap kita yang jelek.

Terus beralih ke akhbar mingguan 'broadsheet'. Terpaku pada ungkapan-ungkapan berikut- sertai boikot, sertai larian, solat hajat, harus bantu dan jangan meterai. Semuanya berkisar pada isu yang melanda Genting Gaza. Setakat ini lebih 800 maut dan ramai lagi yang cedera. Berapai ramai lagi yang harus menjadi korban sebelum dunia dapat menyaksikan Israel patuh pada gesaan gencatan senjata. Setakat ini ia dengan selamba terus membedil penempatan awam.

Bagi pihak kita banyak yang telah dilakukan sekadar yang termampu seperti menyuarakan bantahan di PBB, mengadakan sidang khas parlimen, boikot barangan tertentu, demonstrasi dan solat hajat.

Jika mereka manusia yang berhati perut, saya percaya tindakan oleh tiga per empat masyarakat dunia ini pasti akan menjentik 'keakuan' rejim yang sangat tidak disetujui ini kecuali oleh kuasa mega seperti AS.

Bayangkan sekiranya ada negara lain selain Israel yang bertindak sebegitu, dengan pantas(bak kata Komeng, ketua gangster dalam Nasib Do RE Mi) Amerika akan menggodam negara terbabit.

Apakah kita umat Islam hatta masyarakat dunia sendiri hanya menanti 'keajaiban' terjadi untuk menyelesaikan kemelut ini?

No comments: