Monday, June 2, 2008

Selamat Tinggal Angkasapuri

Sebenarnya berita ini dah lama terpendam cuma tidak kesampaian untuk dipost kerana rasa terharu yang amat sangat. Segalanya bermula pada 8 Mei 2008 apabila menerima surat arahan bertukar ke Melaka Fm pada 15 Mei 2008. Aduhai setelah 27 tahun di Angkasapuri....
Apapun teringat pada ikrar hari pertama melapor diri dulu bahawa akan patuh pada sebarang arahan. Jadi inilah dia hasil ikrar itu....
Masih pada gred jawatan yang sama cuma tanggungjawab yang berbeza. Perlu mengawal keseluruhan hal ehwal rancangan di sebuah stesen radio negeri yang mempunyai lebih 60 kakitangan.
Pengalaman baru di tempat baru.
Apapun mohon penangguhan sehingga 9 Jun atas beberapa sebab. Antaranya ingin memastikan 'kelahiran' anak bongsu dalam penyampaian berita radio. Alhamdulillah mission accompalished! Anak bongsu berkenaan, Zakuan Azmi sudahpun dilepaskan ke udara pada 29 Mei lalu dan mula dijadualkan pada 1 Jun.
Menyusul adalah Angeline(bukan Melayu yang bakal menyampai berita Bahasa Malaysia). Mereka adalah generasi baru yang diharap dapat mewarnai penyampaian berita radio RTM.
Sekurang-kurangnya tidak rasa terkilan meninggalkan Pusat Berita Radio(tempat bertugas sekarang) kerana dapat mewariskan ilmu agar perjuangan diteruskan.
Sebelum ini sempat juga melatih penyampai-penyampai seperti Yoyo, Siti Aishah, Nizamiah, Norsyahidah, Aznarina dan Syamel . Pada merekalah terletak harapan agar berita radio terus diberi perhatian oleh audiens.
Berbalik pada cerita perpindahan, yang pasti tanggungjawab besar menunggu di Melaka fm. Yang uniknya Melaka fm turut menerima Pengarah baru. Jadi insyaAllah kami akan bergabung idea, tenaga dan kesungguhan untuk terus menjadikan Melaka FM pilihan ramai khususnya di bumi Hang Tuah.
Selamat tinggal Angkasapuri. Banyak kenangan pahit manis di sini. Nanti pada kesempatan lain akan cuba dikongsi bersama.
Apapun Taman Sinn di Samabok akan menjadi tempat tinggal baru. Tersentuh juga nostalgia sewaktu melangkah ke rumah sewaan semalam. Semasa di persimpangan untuk ke Taman Sinn terlihat Semabok Inn. Signifikannya hotel ini ialah di sinilah tempat menginap ketika bersama rombongan roadshow Pujaan Sepuluh Nescafe lebih 15 tahun lalu.
Bayangkan 15 tahun kemudian akan menetap lama di kawasan perumahan yang sama tetapi dengan misi yang berbeza.
Terimalah hamba aduhai bumi Melaka - bukan sebagai tetamu yang datang untuk bersantai tetapi petugas di salah sebuah stesen radio RTM tertua di Malaysia.

No comments: