
Teringat masa kecil-kecil dulu pada seorang lelaki berusia lewat 50-an yang berkulit sawo matang dan bertubuh kecil. Beliau mempunyai semangat keusahawanan. Di belakang basikal tuanya terdapat sangkar buluh. Lelaki ini gemar bertopi ala koboi. Beliau juga tidak lupa membawa timbang dan dacing.
Setiap hari beliau akan berbasikal dari rumah di Kampung Batu 9, Ulu Chemor ke pekan Chemor. Dalam perjalanan beliau akan singgah bertanyakan orang-orang kampung samada ada ayam untuk dijual, termasuklah bapa saya.
Ayam-ayam yang akan dibeli ditimbang terlebih dahulu untuk menentukan harga. Sambil itu beliau akan berbicara dalam lpelat Jawa yang pekat. Dan saya memang sering menjadi usikan.
Lelaki keturunan Jawa ini mempunyai ramai anak. Usahanya itu adalah antara kewajipan demi mencari perbelanjaan membesarkan dan menyekolahkan anak-anak.
Ketika itu saya hanya mengenalinya sebagai Wak Raden. Sehinggalah sewaktu salah seorang anak beliau menjadi rakan persekolahan barulah nama sebenarnya saya ketahui iaitu Radin Sohadi.
Anak beliau yang menjadi rakan persekolahan saya ialah Radin Umar. Dalam kalangan teman-teman beliau kami panggil sebagai Radin sahaja.
Anak-anak Wak Raden memang dikenali bijak-bijak termasuklah Radin Umar. Beliau berada di kelas A sejak tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Sekolah kami adalah Sekolah Menengah Aminuddin Baki Chemor(SABC).
Seingat saya sepanjang tempoh itu beliau akan memperoleh nombor teratas samada dalam kelas atau tingkatan. Pencabar beliau ialah seorang lagi 'genius' ketika itu, Roslina. Mereka berdualah yang akan bersaing berebut nombor satu.
Setelah tingkatan tiga, Radin memasuki Maktab Tentera Di Raja. selepas itu melanjutkan pengajian di United Kingdom. Sejak itu kami 'terpisah'.
Sekembali dari sana beliau bertugas di UPM. Boleh dikatakan perkembangan beliau hanya saya ketahui menerusi perkhabaran daripada teman-teman sahaja.
Di UPM beliau terus menangga. Kemudian beroleh gelaran Doktor dan Professor di UPM juga.
Tahun lalu beliau dilantik menerajui Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya(MIROS). Terbaru iaitu 31 Mei lalu terpampang di dada akhbar bahawa beliau dilantik menjadi Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi mulai hari ini.
Itulah serba ringkas perjalanan hidup Prof, Datuk Dr. Ir. Radin Umar Radin Sohadi yang pernah menjadi teman 'berbasikal' ke sekolah setiap pagi lebih 30 tahun lalu.
Saya percaya sekiranya Wak Raden masih hidup beliau pasti tersenyum puas melihat kejayaan anak-anak setelah bertungkus lumus membesarkan mereka dengan seribu satu kepayahan.

No comments:
Post a Comment