Monday, June 2, 2008

Menghitung Hari (I)

Sekadar berbaki beberapa sahaja lagi bertugas di Pusat Berita Radio(PBR) sebelum berhijrah ke Melaka fm. Bulan Jun ini genap dua tahun enam bulan menjadi keluarga PBR walaupun secara tidak langsung telah menjadi sebahagian daripada entiti PBR apabila mula membaca/menyampai berita sejak 1989.
Terasa sekali kepicikan masa sedangkan masih banyak yang perlu dilunaskan sebelum menutup tirai perpisahan. Semuanya kenal lancar agar pegawai yang akan mengambil-alih tugas dapat menyambung tanggungjawab tanpa masalah.
Hampir 20 tahun bergelumang di bidang penyampaian berita. Masa mula-mula dulu sempat juga berdampingan dengan beberapa nama besar seperti Hjh Yong Rafidah, Hajah Wan Chik Othman, Hajah Hasnah Abdullah, Siti Hawa Majid, Hj.Ngasri Sain, Haji Ramli Samad, Hj. Othman Haji Mohd, Amran Sharif, Hjh Salasiah Zakaria dan Hjh Mariamah Tijo. Terasa kerdilnya diri....
Banyak mengutip ilmu daripada mereka. Rajin bertanya. Suka mengaya-gayakan cara mereka menyampai berita. Berpeluang berduet menyampai Berita Perdana yang pada ketika itu disiarkan selama setengah jam.....fuyoh.
Lama-kelamaan mereka akhirnya bersara. Tinggallah generasi seterusnya yang boleh dikatakan seangkatan seperti Hjh Sharifah Hj. Yusof, Noraini Ibnu, Hj. Salehuddin Ab. Rahman dan Zamhuri Hamzah.
Kini ada pelapis yang bakal menggalas tanggungjawab mewarnai penyampaian berita radio RTM. Mereka adalah Yoyo, Siti Aishah, Syahidah, Aznarina, Nizamiah, Syamel dan Firdaus selain Anizan dan Fadley yang kini tidak lagi bersama. Terkini adalah Zakuan dan menyusul pula adalah Angeline.
Kelahiran mereka betul-betul di depan mata kerana saya terlibat secara langsung melatih dan membimbing mereka sekitar tahun 2005. Setidak-tidaknya telah membuktikan gelaran Penyampai Berita Radio Terbaik yang diraih pada Anugerah Seri Angkasa 1999 itu tidak dipersiakan.
Terpulanglah pada mereka untuk menyahut cabaran semasa yang adakalanya sukar dimengerti sekiranya masih kekal di PBR sebagai penyampai. Apapun khabarnya mereka kini sedang sibuk mempersiapkan diri untuk menjalani ujian bertulis ke jawatan tetap kerana boleh dikatakan kesemua mereka berstatus sementara atau kontrak. Semoga mereka memperolehinya. Kejayaan mereka adalah kejayaan saya juga.

No comments: