Saturday, August 30, 2008

Semangat Bendera, Semangat Merdeka

Esok genap usia kemerdekaan negara 51 tahun. Esok sekali lagi rakyat Malaysia akan menghidu harum kemerdekaan yang telah disemai oleh pejuang-pejuang terdahulu. Tengah malam ini 'gemuruh padang Kelab Selangor' akan terngiang-ngiang di telinga buat sekian kalinya. Tepat jam dua belas tengah malam malam ini 'roh' semangat kebebasan akan hidup kembali.

Namun setelah 51 tahun berlalu apakah semangat dan roh yang 'hidup'itu sama panas baranya? Sementelah bahu yang memikul tidak akan sama dengan mata yang melihat. Tapi jangan sampai tidak langsung terpanggil atau tercium harum kemerdekaan seperti yang dinikmati pada 31 Ogos 1957.

Generasi hari ini walaupun tidak berkesempatan merasai perit sakit menuntut kebebasan tanah air dari belenggu penjajah, setidak-tidaknya mereka jangan sampai melunasi tarikh keramat itu dengan sorakan 'lupa jatidiri'. Semoga para ibu bapa memberi perhatian serius dalam hal ini.

Namun ironinya apabila dihujani dengan persoalan kenapa sambutan ulangtahun kemerdekaan tahun ini kelihatan hambar, terjentik jauhh di sudut hati membuat beberapa andaian.

Mungkin kebetulan tarikh 31 Ogos tahun ini berjiran dengan kedatangan 1 Ramadhan. Mungkin juga langkah berjimat cermat rakyat. Atau mungkin iklim politik negara hari ini membuatkan rakyat merasa kurang 'bernafsu' untuk melaungkan kalimat kemerdekaan sehingga serak-serak suara.

Dalam pada itu ada yang menilai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dengan kibaran Jalur Gemilang di sana sini.

Jelas jumlah kebaran Jalur Gemilang juga tidak 'segemilang' tahun-tahun sebelumnya. Jumlah kenderaan yang memacakkan bendera merah putih juga boleh dikira dengan jari.
Malah ada juga pihak yang tergamak untuk mengibarkan bendera terbalik atas alasan protes tertentu.

Apapun, dengan perang ke atas rasuah yang sedang giat dijihad oleh BPR, pergelutan kerajaan BN kembali memenangi hati rakyat pasca kemelut politik selepas 8 Mac 2008, pastinya mentari 'pembaharuan' semangat setiap individu anak Malaysia akan mewarnai senario bumi tercinta ini. MERDEKA! MERDEKA!MERDEKA!

No comments: