Wednesday, August 20, 2008

Ingat Lagi

Hari-hari yang dilalui di Melakafm merupakan saat dan detik penuh penglaman. Sarat dengan panggilan mesyuarat. Sarat dengan jemputan ke majlis-mejlis negeri. Ditambah pula dengan tugas-tugas pemantauan program dan pengawasan sumber manusia. Isy, isy, isy.
Apapun, segalanya dilalui dengan semangat untuk menabur bakti Kerjasama daripada rakan-rakan terus menerus diperoleh. Pandangan, nasihat dan saranan dalam mengendalikan stesen diperoleh pada bila-bila masa.
Bulan pertama dipenuhi dengan mendengar dan mengenali program dan rakan-rakan setugas. Biasalah, tak kenal maka tak cinta....
Melakafm yang bersiaran 18 jam sehari memiliki kira-kira 50 kakitangan-terdiri daripada bahagian rancangan, kejuruteraan, berita & ehwal semasa dan pentadbiran.
Yang berada secara langsung di bawah Ketua Bahagian Rancangan(KBR) semestinyalah bahagian rancangan.
Di bahagian rancangan petugas-petuganya merangkumi barisan lama dan baharu. Ada pegawai tetap dan sambilan.
Ikut statistik pendengar Melakafm kira-kira 200,000 ribu. Sebagai sebuah negeri kecil uang berpenduduk kira-kira 1/2 juta, jumlah 200,00 ribu tidaklah mengecewakan.Ia juga ada sahabat atau teman. Jumlah teman pula menjangkau 17 ribu.
Rancangan Melakafm seperti juga stesen-stesen RTM lain merangkumi hiburan, maklumat, berita, agama, budaya dan lain-lain. Boleh kata majoriti persembahan adalah melalui kaedah infotainment-dalam hiburan ada informasi.
Stesen beroperasi seawal 6.00 pagi dan melabuhkan tirai tepat 12 tgh malam.Setakat ini petugas atau dj sebelah malam ditangani oleh petugas sambilan yang dalam lingkungan umur di bawah tiga puluhan.
Rancangan yang digemari adalah segmen lagu-lagu 60-an pada pukul 5.15 ptg hingga 6.30petang. Dan semestinyalah audiennya juga berusia di atas 40-an.
Perihal Melakafm sepintas lalu.
Cuma nak dijadikan cerita apabila genap sebulan bertugas di Melakafm. Terdapat dua perkara besar berlaku. Pertama tentang pemilihan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh Unesco dan kembalinya ke rahmatullah mantan TYT Yang Di-pertua Negeri, Tun Syed Ahmad Shahbudin.
Perkara pertama disambut dengan penuh keceriaan. Azhari yang bertugas pagi pada 8 Julai telah menghubungi Ketua Menteri, Datuk Seri Ali Rustam yang berada di Quebec, ketika itu.Berkat kemudahan yang ada pada hari ini.
Perkara kedua sebenarnya menjadi cabaran pada KBR yang baru 'sebulan jagung'.Pagi-pagi lagi dapat alert daripada Pengarah yang kebetulan bermesyuarat di KL mengatakan tentang mantan TYT yang kembali ke rahmatullah di KL dan akan disemadikan di Melaka.
Phuh, ini kes besar yang perlu ditangani tanpa sebaranmg persiapan awal yang terancang.
Dikhabarkan juga bahawa Dato SUK akan datang ke studio untuk membuat pengumuman rasmi. Alhamdulillah berkat pengalaman dan kerjasama rakan-rakan segalanya berjalan lancar.
Tepat 10.30 pagi Dato SUK bersama Datuk Speaker datang untuk live di studio. Pengumman pun dibuat. Sejurus selepas itu segala bentuk program hiburan atau pendek kata segala rancangan 'normal' akan dihentikan untuk menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al quran bagi menghormati pemergian mantan TYT.
Agenda hari itu ialah : jenazah akan dibawa dari KL ke Seri Negeri untuk penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Mesjid al Azim bagi disemadikan di Makam Pahlawan. Satu gerak kerja adhoc perlu dilaksanakan berpandukan kepada Panduan Siaran apabila berhadapan dengan kematian pembesar atau pemerintah negeri.
Sekali lagi kerjasama rakan-rakan 'senior' diperoleh dan pembahagian tugas pun dilakukan.
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Semua pihak melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin sehingga ada yang bercuti pun sanggup dipanggil bertugas.
Cuma merasa sedikit terkilan sewaktu membuat liputan secara langsung pengkebumian di Makam Pahlawan. Sewaktu krew sudah bersedia untuk ke udara, talian yang sepatutnya dibekalkan oleh Telekom Malaysia tidak kedapatan. Entah di mana silapnya. Akhirnya liputan siaran secara langsung bertukar kepada laporan lintas langsung sahaja menggunakan telefon bimbit. Apa pun, pendengar pastinya tidak mengetahui apa yang berlaku di belakang tabir memandangkan laporan upacara pengkebumian dapat diikuti di corong radio mereka dengan profesional sekali. Terima kasih kawan-kawan untuk semua yang terlibat pada hari itu.
Setelah segalanya selesai dan sewaktu melangkah keluar dari perkarangan Mesjid Al Azim hati berbisik.....baru sebulan tapi sudah berhadapan dengan insiden sebegini, apa lagi agaknya yang menanti pada masa-masa mendatang? KL pengalaman yang kugali sewaktu berada di dadamu banyak membantuku ketika di bumi Melaka ini.

No comments: